Ketegasan itu berteraskan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 bahawa kepelbagaian tersebut bukan bertujuan untuk bermusuh tetapi sebaliknya, berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Perpecahan atau konflik, jika dikaji dengan teliti, semuanya berpunca daripada sikap segelintir manusia yang mempunyai kepentingan diri atau bersikap fanatik secara membuta tuli.

Ini selaras dengan pandangan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Islam & Budaya’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

“Untuk itu, wacana yang terbaik adalah melalui dialog dan kaedah tersebut banyak kali diperkata dalam al-Quran serta hadis Rasulullah SAW,” katanya.

Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali; pensyarah; dan pelajar-pelajar UKM.

Namun begitu, Siddiq mengingatkan bahawa kejayaan kaedah tersebut dalam menyatupadukan manusia adalah bergantung kepada sejauh manakah manusia boleh menerima sifat kepelbagaian berkenaan.

Tanpa sikap tolak ansur tersebut, beliau percaya, walaupun sudah beratus-ratus atau beribu-ribu kali diadakan majlis dialog, ia tetap tidak akan berjaya menjadi titik penyatuan yang berkesan.

“Jadi, jika kita tidak boleh menerima kepelbagaian itu, mana mungkin majlis dialog tersebut boleh dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Siddiq berkata, sikap positif kepada kepelbagaian itu juga bukan hanya aspek penyatuan dapat dicapai, bahkan boleh mengubah musuh menjadi kawan.

Malah, tambahnya, sikap terbuka itu akan turut mewujudkan satu kekuatan roh untuk bersatu dan bekerjasama dalam mempertahan sesuatu yang dimiliki secara bersama.

“Sebab itulah, saya menyangkal pandangan bahawa agama, termasuk Islam tidak hanya penyumbang kepada permusuhan, bahkan perpecahan kaum di negara ini.

“Ini kerana kita hidup bersama sudah lama, tetapi kerukunan hidup itu selalu tidak aman apabila wujud politik perkauman atau sikap taksub melulu,” katanya.

Ketegasan sebegini, kata Siddiq, kerana Islam sendiri memberi penekanan kuat untuk mewujudkan persekitaran hidup yang damai dan sejahtera.

“Walaupun peperangan turut mewarnai sejarah perkembangan Islam, tetapi ia sebenarnya adalah pilihan paling akhir sekali,” katanya.