Tertarik dengan bacaan al-Quran dalam kelas Pengajian Islam selain cemburu melihat kegembiraan rakan-rakan beragama Islam menyambut hari kebesaran Islam, menyentuh hati wanita Orang Asli kelahiran Kampung Panderas, Kuala Krau, Temerloh, Pahang itu untuk memeluk Islam.

Apatah lagi rakan-rakannya itu yang tidak putus-putus berjenaka mengajak memeluk Islam untuk bersama-sama mereka merasai kemeriahan sambutan Islam terutama Aidilfitri.

Ternyata keputusan diambil hampir 37 tahun lalu itu adalah langkah terbaik, sekali gus memberi sinar kehidupan kepadanya kerana bukan sahaja menjadi saudara Muslim berjaya, tetapi cemerlang dalam bidang diminati.

“Ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Paya Luas Kuala Krau, saya sangat tertarik mendengar bacaan al-Quran dalam kelas Pendidikan Islam. Kebetulan ustaz yang mengajar pada masa itu membenarkan saya mengikuti kelas tersebut.

“Sering mengikuti kelas itu, sehingga ada yang bertanya ‘bila kau nak masuk Islam, seronok tau’. Hal ini menaikkan semangat saya untuk memeluk Islam,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Penggerak Masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata ketika ditemui pada program Breakfast Talk Bersama Media: Kejayaan Orang Asli di Putrajaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Datuk Paimuzi Yahya.

Siapa sangka, bermula dengan jenaka rakan-rakan itu mendorong Salmiah untuk memeluk Islam diikuti seluruh ahli keluarganya pada usia 11 tahun.

Pendakwah Orang Asli itu berkata, terpesona dengan keindahan al-Quran menyuntik semangatnya untuk mempelajari kitab suci itu dengan bersungguh-sungguh secara berlagu.

Sehinggalah beliau cuba menyertai pertandingan Tilawah al-Quran Masyarakat Orang Asli, walaupun belum menguasai taranum dengan baik.

“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya apabila dipilih sebagai johan pada tahun itu, malah tiga tahun berturut-turut diikuti pada 2002 dan 2003. Ini menguatkan lagi semangat saya mempelajari semua lagu dalam taranum,” ujarnya.

Selain itu, Salmiah turut menyertai Tilawah al-Quran peringkat Temerloh anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan memperoleh naib johan pada 2011 dan 2013.

Berbeza dengan masyarakat bandar, Salmiah berkata, cabaran dihadapi Orang Asli adalah dalam aspek kemudahan pembelajaran dan juga sebutan lidah semula jadi.

“Kami masyarakat Orang Asli kurang mendapat pendedahan sama ada guru mahir mahupun alat bantu belajar tambahan. Apa yang penting adalah usaha dan buang perasaan malu untuk belajar dan bertanya.

“Bagaimanapun, cabaran lebih besar bagi saya adalah untuk menyesuaikan sebutan mengikut makhraj dan fasohah Arab atau al-Quran. Namun, kerana minat saya terus mencuba. Alhamdulillah, setakat ini saya sudah mampu membawa dua jenis lagu tarunum dan menyasarkan untuk menguasai kesemua tujuh lagu,” jelasnya.

CABARAN 
RAKAN SEBAYA

Sementara itu, berbeza dengan kanak-kanak seusia, pelajar Maahad Tahfiz Zaid Bin Tsabit, Marjan Abdullah, 14, sanggup mengorbankan masa mudanya untuk bermain dan menjalani hidup biasa seperti rakan seusia di kampung.

Ini kerana nekad hidupnya untuk mengubah persepsi kanak-kanak Orang Asli yang sering dianggap selesa dengan kehidupan dalam kelompok mereka selain kurang mengambil berat soal masa hadapan serta pendidikan.

Atas suntikan semangat itu, anak keempat daripada enam adik beradik itu cuba mendalami al-Quran dan bercita-cita menjadi guru al-Quran dengan berusaha menghafaz 30 juzuk al-Quran sebelum usia 17 tahun.

“Setakat ini, saya hafaz tiga juzuk al-Quran. Memang susah pada awalnya untuk menghafal al-Quran, selain cabaran untuk berdepan dengan kemampuan diri sendiri, ditambah pula rakan-rakan di kampung yang biasanya seronok bermain pada usia ini.

“Apatah lagi dalam keluarga saya sendiri, hanya saya seorang yang menghafaz al-Quran. Tetapi alhamdulillah, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga sentiasa memberi sokongan dan semangat untuk saya terus mendalami pengajian al-Quran.

“Ini adalah keputusan saya sendiri bukan paksaan daripada sesiapa. Oleh itu, saya bertekad menghabiskan hafazan 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun lagi dan untuk menjadi pakar al-Quran suatu masa nanti,” katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Sawah Batu, Pekan, Pahang.

Mula mempelajari al-Quran pada usia 12 tahun, Marjan mendapat didikan awal al-Quran daripada guru sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Muadzam Shah, Kuantan.

Beliau turut bercita-cita melanjutkan pengajian al-Quran dan kitab agama di Indonesia bagi menambah pengetahuan agama, di samping memperoleh pengalaman luar daripada kelompok Orang Asli.

Berkongsi kaedah hafazan, Marjan berkata, menjadi rutin harian dia dan pelajar di maahad pengajian al-Quran untuk bangun tidur seawal pukul 4 pagi bagi memulakan hafazan al-Quran dan mengulangnya.

Marjan turut menasihatkan agar masyarakat Orang Asli terutama kanak-kanak supaya berani mencuba dan menerokai kehidupan luar yang baharu berbanding tinggal di kampung.

“Apa yang penting untuk berjaya adalah usaha, sabar dan sedikit pengorbanan. Siapa sahaja tidak kira latar belakang, miskin atau kaya, masyarakat bandar atau Orang Asli boleh berjaya jika berusaha dengan bersungguh-sungguh dan nekad ingin berubah,” jelasnya.

Asal fobia, kini jadi imam

Bermula memandang serong terhadap agama Islam, siapa sangka keputusan diambil untuk memeluk agama suci itu melonjakkan kejayaan Orang Asli Kampung Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan, Aris Rami, 58, daripada insan biasa kepada tokoh penduduk di kampungnya.

Beliau yang kini Imam Masjid Hidayah, Pos Hendrop tidak menyangka dipilih Allah sebagai individu bertanggungjawab bagi menyebarkan Islam kepada penduduk kampungnya, di samping menyemarakkan syiar Islam di kawasan tersebut.

“Jika difikirkan semula agak pelik dan hendak tergelak, kerana pada asalnya saya adalah antara orang yang fobia bila menyebut agama Islam. Cabaran paling besar kami masyarakat Orang Asli adalah menganggap apabila peluk agama Islam kena masuk jawi (berkhatan).

“Selain itu, kami juga bimbang orang Islam perlu berpuasa dan tidak boleh makan selama sebulan. Seterusnya, maklumlah masyarakat Orang Asli, apa yang ada dekat hutan semua dimakan, Islam pula mengharamkan sesetengah makanan itu.

“Ini menjadikan penghalang utama dan membuatkan saya takut untuk memeluk Islam sehingga bertangguh membuat keputusan itu, walaupun pendakwah Islam sering masuk ke kampung kami,” katanya.

Beliau bersyukur kerana akhirnya terpilih sebagai insan bertuah yang dikurniakan hidayah daripada Allah untuk memeluk Islam.

“Sehinggalah pada ketika itu saya berusia 20 tahun. Entah kenapa ketika duduk bersendirian sambil memikirkan tentang agama, terdetik dalam hati ini untuk memeluk Islam.

“Tanpa membuang masa saya berjumpa dengan pendakwah dari Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Kelantan yang ditempatkan di kampung ini dan terus menyatakan hajat kepadanya untuk memeluk Islam,” katanya.

Bermula dengan mengikuti kelas Agama Islam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia selama satu tahun bagi mendalami ajaran Islam, Aris seterusnya meneruskan pengajian dengan menyertai kursus latihan dakwah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Keningau, Sabah selama tiga tahun.

“Alhamdulillah berkat kesungguhan dan tunjuk ajar daripada ustaz-ustaz, saya pulang ke kampung menjadi pendakwah dan alhamdulillah dalam masa dua tahun saya diberi kepercayaan dilantik sebagai imam di masjid kampung ini,” ujarnya.

Beliau menasihatkan, orang ramai terutama masyarakat Orang Asli agar tidak mudah terpengaruh dengan tanggapan negatif sekeliling terhadap agama Islam sehingga menghalang niat untuk memeluk Islam.

“Sebaliknya, lihat dan kaji dahulu benarkah apa yang dikatakan dengan bertanyakan persoalan itu kepada individu berpengetahuan.

“Setelah peluk Islam baru saya tahu bahawa Islam ini agama yang syumul (sempurna), ia tidaklah membebankan seperti yang diperkata, malah Islam menyediakan jalan keluar terhadap segala permasalahan umatnya,” jelas beliau.