Kesibukan itu tanpa sedar membuatkan ada yang terlepas peluang merebut ganjaran pahala pada bulan Ramadan. Padahal pada 10 malam terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan perbanyakkan amalan dan ibadah untuk mencari kelebihan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lailatulqadar.

MOHD. KHAIRUL AZMAN MD. DAUD
MOHD. KHAIRUL AZMAN MD. DAUD

Menurut pendakwah bebas, Mohd. Khairul Azman Md. Daud atau lebih dikenali dengan nama MK Azman, Allah turunkan malam lailatulqadar sebagai ganjaran berganda untuk umat Nabi Muhammad SAW yang tidak diberikan kepada umat nabi-nabi terdahulu.

Beliau berkata, Ramadan adalah penghulu segala bulan, yang dijanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah juga terbuka luas. Amalan sunat yang dilakukan pada bulan ini akan diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda.

“Jadi, dengan masa yang berbaki hanya dua minggu ini, kejarlah malam lailatulqadar dan beribadah bersungguh-sungguh sehingga akhir Ramadan, maka Allah akan gandakan pahala ibadah tersebut.

“Jangan pula pada malam-malam terakhir Ramadan, kita sibuk membawa keluarga membeli-belah persiapan hari raya sehingga terabai solat tarawih.

“Sebolehnya, manfaatkan segala kesempatan yang diberikan Allah kerana kita mungkin tidak akan berpeluang merebut pahala Ramadan pada tahun hadapan,” katanya.

MK Azman berkata, bukan menghalang umat Islam berbelanja untuk persiapan Aidilfitri, tetapi semua itu boleh dirancang awal sebelum tiba Ramadan.

Dalam pada itu tambahnya, banyak lagi amalan dan ibadah sunat lain yang boleh dilakukan antaranya membaca al-Quran, berzikir, beristighfar serta bersedekah.

“Kalau penat hingga tidak mampu lakukan amalan sunat tersebut, maka beriktikaf sahaja dalam masjid. Itu juga memberikan pahala kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, semangat mengejar pahala itu perlu diterapkan dari rumah. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melakukan sembahyang tarawih, bukannya membawa ke bazar Ramadan.

Jelasnya, jika dari kecil dilatih, akhirnya anak-anak akan membesar dengan fahaman bahawa falsafah puasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi turut menitikberatkan berkaitan amalan sunat yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan.

“Kita tanamkan dalam diri mereka bahawa Ramadan bukanlah pesta makanan, tetapi adalah pesta beribadah yang perlu direbut peluangnya kerana hanya berlaku setahun sekali,” katanya.