KUTIP dan salurkan dana, kemudiannya proses sama berulang lagi seperti tiada kesudahan. Itu tanggapan segelintir terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan terutama yang menjalankan misi-misi bantuan kepada golongan memerlukan sama ada dalam atau luar negara.

Bagi Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) Zawahir Abdullah, definisi bantuan kepada yang memerlukan adalah subjektif kerana dalam kebanyakan misi kemanusiaan penderitaan mangsa berpunca daripada bencana alam yang tidak diketahui bila ia bakal berlaku.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, IAM turut mengutamakan bantuan bersifat projek sara hidup bagi memastikan kesinambungan kehidupan kumpulan sasar.

Kepada Mega Mimbar, beliau antara lain menceritakan mengenai konsep menyediakan ‘pancing’ kepada kumpulan sasar, bukannya sekadar memberi ikan khususnya dalam misi kemanusiaan di Sri Lanka dan tempat-tempat lain.

MEGA MIMBAR: Perancangan jangka panjang IAM di Sri Lanka?

ZAWAHIR: Selain program sumbangan daging korban atau projek one off seperti membina telaga, IAM turut merancang projek sara hidup.

Antaranya bantu tambah pendapatan petani miskin melalui projek ternakan lembu dan kambing. Kami sumbang haiwan ternakan untuk dibela hingga cukup umur sebelum dibeli semula oleh IAM semasa Aidiladha.

Projek bantuan telaga IAM sebenarnya turut menambah pendapatan kerana mereka dapat menjalankan aktiviti pertanian seperti kacang tanah dan bendi yang mendapat permintaan tinggi penduduk.

Kami juga melihat beberapa industri kampung lain iaitu pembuatan produk makanan tempatan dan aktiviti kraf tangan bagi menjana pendapatan.

Sejak bila misi kemanusiaan di Sri Lanka bermula dan perinciannya?

Sejak tiga tahun lalu dan kini IAM telah membina 100 unit telaga, 90 unit daripadanya telaga manual dan bakinya pam air elektrik.

Sehingga kini bantuan lembu, kerbau, kambing untuk korban dan akikah anjuran IAM mencecah 300 ekor serta memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk Islam miskin di sekitar Daerah Trincomalee.

IAM turut sumbang bantuan makanan asas harian kepada hampir 250 keluarga ibu tunggal miskin di daerah itu.

Bagi sektor pendidikan - pembinaan sekolah khusus untuk pelajar wanita yang hanya bermula dengan sebuah kelas dan kini memiliki tiga buah bangunan termasuk bangunan pejabat dan asrama kediaman untuk anak-anak yatim, miskin yang belajar serta tinggal di situ.

Pencapaian IAM dalam tempoh beberapa tahun lalu?

Sejak ditubuhkan pada 2011, IAM terlibat dalam pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan seperti sektor pendidikan iaitu seragam sekolah melalui projek Back to School untuk lebih 15,000 pelajar miskin seluruh Malaysia, pembinaan perpustakaan untuk rumah anak-anak yatim dan madrasah tahfiz sejak 2011, tuisyen dan yuran pengajian kepada lebih 1,000 pelajar miskin di daerah Baling, Kedah.

Sektor sara hidup - bantuan pukat, tong ikan, jaket keselamatan, alatan menangkap ikan untuk nelayan pesisir pantai, tasik kepada lebih 1,000 nelayan di Johor, Kelantan, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang.

Sektor kesihatan - bekalan penapis air bersih untuk lebih 200 buah masjid dan pusat kebajikan dalam dan luar negara, projek pembinaan telaga dalam dan luar negara.

Sektor perlindungan - antara kejayaan paling manis sejak IAM ditubuhkan ialah ketika Bah Kuning melanda Pantai Timur pada 2014, kami bina sebanyak 76 unit rumah kekal untuk mangsa banjir bernilai hampir RM5 juta, keseluruhan pembiayaan melalui sumbangan rakan-rakan korporat IAM dan penyumbang persendirian.

Sektor bantuan bencana - kami turut terlibat dalam beberapa program bantuan kecemasan di luar negara seperti bantuan mangsa gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, mangsa Gunung Berapi Kelud di Jawa Timur, mangsa gempa bumi di Nepal, dan untuk peringkat tempatan turut membantu mangsa-mangsa banjir di Beaufort, Sabah serta pelarian Rohingya melalui projek jangka pendek dan panjang.

Program bermusim - bantuan Ramadan, Syawal dan Ziarah Korban di Nepal, Thailand, Indonesia, Kemboja, Sri Lanka, Vietnam dan Bangladesh.

Program Jejak Tirai Besi ialah kunjungan ke penjara dalam dan luar negara seperti Indonesia dan Thailand bagi menjejaki banduan dari Malaysia. Ia bagi mengesan ahli keluarga mereka yang ditinggalkan tanpa nafkah dan memerlukan bantuan termasuk membiayai persekolahan anak-anak mereka serta bantuan barangan keperluan dapur.

Kenapa rakyat Malaysia perlu menyumbang dan menyokong IAM?

Sumbangan dapat membantu meringankan beban penduduk Islam miskin yang tinggal di daerah pedalaman termasuk luar negara, mereka ini adalah golongan minoriti dan kurang mendapat perhatian daripada kerajaan mereka.

Antara kekurangan yang dikenal pasti ialah sektor pendidikan bagi pelajar-pelajar miskin beragama Islam. Musim korban antara waktu paling menggembirakan bagi kebanyakan penduduk Islam miskin, yang mana rata-rata daripada mereka hanya berpeluang menikmati daging hanya setahun sekali kerana faktor kemiskinan.

Sesiapa yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan kepada IAM secara online di www.iam.org.my atau hubungi 019-3973558/03-89485939 untuk maklumat lanjut berkaitan aktiviti kemanusiaan IAM sepanjang tahun.