Ia digunakan untuk kefahaman yang mendalam atau ilmu meluas dalam sesuatu jurusan seperti ilmu matematik, akidah dan sebagainya. Dari segi istilah ialah ilmu berkenaan hukum-hukum taklif seperti halal, haram, makruh, wajib dan sunat yang diperoleh melalui al-Quran dan Sunah. Fikah turut membicarakan hukum syarak melalui ijtihad para fuqaha.

Istilah fikah lazim digunakan dalam pengajian klasik Fiqh al-Ibadat, al-Munakahat, al-Muamalat, al-Jinayat dan sebagainya. Hari ini, para fuqaha mengembangkan perbincangan ilmu ini kepada Fiqh al-Zakat, al-Da’wah, al-Aulawiyat, Maratib al-A’mal dan sebagainya. Hasil inovasi dan penyelidikan semasa, perbincangan ilmu ini dilanjutkan kepada skop baharu seperti Fiqh al-Bii-ah (alam sekitar), al-Waqi’ (realiti), Fiqh uli al-Amri wa al-Hukumah (pemimpin dan kerajaan), Fiqh Tabayyun (pencerahan) dan sebagainya.

Berdasarkan kemelut politik hari ini yang banyak berasaskan spekulasi dan cubaan menjatuhkan kerajaan di luar proses undang-undang. Sewajarnya skop fikah dikembangkan kepada Fiqh Wala’ dan taat daripada perspektif Islam.

Ia penting bagi dan menyebar luas kefahaman mengenainya dalam memastikan persekitaran sihat antara pemimpin dan rakyat demi kelangsungan negara serta membawa kemajuan menurut tuntutan agama.

Wala’ dan taat merupakan antara asas penting dalam urusan kenegaraan.

Wala’ ialah perasaan seseorang terhadap sesuatu yang bersifat positif seperti cinta, sedia membantu dan berkorban, secara khusus bererti perasaan positif terhadap negara.

Taat adalah tonggak penting dalam sistem pemerintahan dan politik. Tidak akan wujud sistem pemerintahan yang baik tanpa adanya ketaatan rakyat terhadap pemerintah. Keadilan pemerintah dibayar dengan ketaatan warganegara. Begitu juga pentingnya kerjasama (taawun) dan perundingan (syura) antara pihak kerajaan dan rakyat.


PEMBAHAGIAN 
WALA’ OLEH ULAMA

Antaranya:

Wala’ kepada Allah dan Rasul

* Cinta hamba kepada Allah dan Rasul-Nya dengan memberi keutamaan kepada apa yang dicintai oleh-Nya dan Rasul-Nya walaupun bercanggah dengan kehendak naluri semula jadi manusia.

Firman Allah: “Ada antara manusia yang mengambil selain daripada Allah sebagai sekutu, mereka mencintainya seperti mana mereka mencintai Allah, sedang orang yang beriman itu lebih cintakan Allah. Dan kalaulah orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (hari akhirat kelak), bahawa sesungguhnya kekuatan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawasanya Allah Maha Berat seksa-Nya,” (Surah al-Baqarah : 165).

l Wala’ kepada Allah dan Rasul-Nya adalah antara tuntutan dua kalimah syahadah. Namun bukanlah bererti seseorang itu menjadi fanatik melulu melakukan penindasan terhadap penganut agama lain dengan membunuh, merampas dan menghina kehormatan mereka.

Wala’ kepada negara:

* Warganegara sama ada Muslim atau sebaliknya dituntut memberi wala’ kepada negara berdasarkan kebaikan dan kelebihan negara tanpa menyebut keburukan atau menghina negara lain.

* Wala’ kepada negara ditumpukan kepada kebaikan perlembagaan negara yang memberi manfaat kepada semua warganegara tanpa mengira perbezaan agama, etnik dan kebudayaan yang bertujuan menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.


PANDUAN WALA’ 
DAN TAAT

Perang Uhud sebagai panduan terbaik merakamkan kekalahan tentera Islam kerana pasukan pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di bukit strategik tidak mematuhi arahan diberikan apabila melihat harta rampasan perang yang banyak.

Rasulullah SAW pada asasnya mengingatkan pasukan pemanah agar tidak meninggalkan posisi mereka sama ada kalah mahupun menang.

Kedua-duanya bermaksud kesetiaan melalui nilai kasih sayang, kepatuhan, sumpah setia, taat dan baiah yang wajib diberikan kepada pemimpin yang sah.

Ketaatan kepada pemimpin tertakluk kepada perkara kebaikan, tidak melanggar syarak, mencegah kemungkaran, bukannya menyokong secara membuta tuli tanpa ilmu pengetahuan dan usul periksa.

Sesebuah negara akan hancur kerana perpecahan dan rakyatnya gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan wala’ dan taat kepada ketua, pemimpin dan negara.

Dalam realiti ini, Fiqh Wala’ dan taat perlu diarusperdanakan dalam urusan kenegaraan dan disesuaikan dengan cita rasa serta landskap politik sekali gus menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran; mengelak perselisihan dan konfrontasi rakyat serta pemerintah; mengelak ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negara; membendung budaya memperkotak-katik rakyat melalui pelbagai bentuk manipulasi dan menutup ruang terhadap campur tangan kuasa asing dalam negara.

Wala’ dan taat merujuk kepada semangat berpasukan sebagai pasukan yang kukuh, pemimpin tidak terpisah daripada rakyat.