Jawapan:

Isu suntikan kolagen pada anggota badan untuk tujuan kecantikan dibahaskan oleh para ulama kontemporari. Ia tidak dibincangkan oleh ulama silam kerana perbezaan teknologi pada zaman berkenaan.

Namun, ini tidak menghalang para ulama kontemporari untuk mengambil manfaat daripada fatwa ulama silam apabila hal sama ditemukan dalam perkara perselisihan.

Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan menetapkan tiga syarat untuk mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan iaitu:

1. Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu disembelih

Ada kelonggaran untuk menggunakan najis sebagai ubat. Kelonggaran itu tertakluk kepada situasi darurat yang merujuk kepada keadaan mendesak. Jika diabaikan akan membawa kebinasaan, penderitaan dan kesakitan yang berpanjangan.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Keadaan darurat ialah suatu keadaan apabila seseorang takut sekiranya dia tidak memakan benda haram, maka boleh menyebabkan kematian, penyakit yang ditakuti, bertambah penyakit, bertambah tempoh penyakit, terputus hubungan dengan peneman (ketika musafir), atau ditakuti lemah untuk berjalan atau menunggang kenderaan, dan tidak ditemui barang halal untuk dimakan melainkan terdapat barang haram seperti bangkai, daging khinzir, dan makanan orang lain, maka harus mengambil (makan) barang haram itu.”

Namun, kadar yang dimakan mestilah hanya untuk menyambung hidup sahaja dan bukan untuk berlazat-lazat atau kenyang, melainkan jika seseorang itu berada di kawasan yang jauh dan ditakuti akan membinasakannya jika gagal pergi ke tempat selamat.

“Adapun untuk tujuan pengubatan menggunakan najis, adalah dibenarkan jika tiada bahan suci memiliki kesan mujarab sama atau lebih baik daripada najis itu mengikut pendapat yang sahih. Maka jika ditemui penggantinya, maka diharamkan menggunakan najis.” - Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/562-565)

Ini bersesuaian dengan kaedah fikah: ‘Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.’ - Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hal. 172) oleh Imam al-Suyuti .

Namun jika kolagen itu diambil daripada produk soya, maka tiada masalah bagi syarat pertama ini.

TIADA MUDARAT

2. Doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut

* Syarat ini penting kerana kaedah fikah menyatakan: ‘Suatu kemudaratan itu tidak dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.’

Contohnya, tidak boleh seseorang dalam keadaan darurat makan makanan yang akan membuatnya berada dalam keadaan darurat juga (seperti minum racun kerana dahaga dan memakan makanan yang sudah rosak kerana lapar). - Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hlm. 86)

Justeru, pastikan bahan yang digunakan untuk suntikan itu bebas daripada kesan sampingan yang mendatangkan keburukan ketara kepada kesihatan. Ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan dan bukan hanya berdasarkan andaian semata-mata.

MERAWAT AIB

3. Hendaklah tujuan suntikan itu untuk merawat keaiban bukan asli dan menghilangkan kehodohan

* Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada tadlis (penipuan) atau mengubah ciptaan Allah, maka tidak harus, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang tua. - Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah (hlm. 351)

Ini berdasarkan firman Allah SWT tentang perkataan Iblis maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdaya mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata.” (al-Nisa’: 119)

Syeikh Muhammad Tahir ibn Asyur: ‘Ayat ini mendedahkan tentang perbuatan orang jahiliah mengubah ciptaan Allah kerana motif merepek. Contohnya perkara yang dilakukan oleh pengikut ajaran berhala seperti mengorek mata al-Hami, iaitu unta yang terpelihara belakangnya daripada ditunggangi akibat banyak memberikan keturunan, dan membiarkannya untuk para taghut (berhala-berhala).

Termasuk juga dalam (celaan ini) ialah tujuan yang tercela seperti membuat tatu untuk tujuan berhias, sedangkan itu memburukkan, begitu juga menoreh muka dengan api.Tetapi bukanlah daripada mengubah ciptaan Allah akan menggunakan makhluk-makhluk yang diizinkan oleh Allah untuk digunakan (untuk dimakan dan dikasi bagi menambahkan daging).

Bukanlah juga mengubah ciptaan apabila melakukan perkara tahsiniyyah (mengelokkan), maka berkhitan itu adalah mengubah ciptaan Allah, tetapi padanya ada faedah kesihatan. Begitu juga mencukur rambut kerana faedah menolak sebahagian kemudaratan, memotong kuku untuk memudahkan amalan yang dilakukan oleh tangan, begitu juga mencucuk telinga bagi perempuan untuk memasang anting-anting dan berhias.’ - Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (5/206)

Justeru, jika suntikan kolagen soya itu menyebabkan perubahan ketara daripada ciptaan Allah, maka perbuatan itu diharamkan. Jika tidak, maka dibenarkan.

KESIMPULAN

Berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah bahawa hukum menyuntik kolagen pada anggota badan adalah bergantung kepada keadaan.

Haram menyuntik kolagen pada tubuh badan dengan tujuan menunjukkan kecantikan kepada lelaki asing, menggunakan bahan bernajis atau berbahaya untuk kesihatan, tanpa kebenaran suami dan mengubah ciptaan Allah.

Hukumnya menjadi harus jika bertujuan mengembalikan kecantikan yang hilang, bukan akibat penuaan semula jadi, tetapi berdasarkan pemakanan tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya.

Ini berdasarkan hadis sahabat Nabi SAW bernama Arfajah yang kehilangan hidungnya akibat peperangan lalu dibenarkan Rasulullah SAW untuk dipasang hidung buatan daripada emas.

Harus juga hukumnya jika tujuan suntikan kolagen adalah tujuan kecantikan dengan izin suami. Suntikan itu sendiri tidak berdosa kerana syarak membenarkan bekam dan fasdu (venesectomy – pemotongan pada salur darah) untuk mengeluarkan darah yang berlebihan menggunakan kaedah cucuk dan torehan, atas alasan hajat (seperti rawatan penyakit dan pencegahan).

Begitu juga syarak mengharuskan tusukan pada telinga bagi tujuan memasang anting-anting, atas alasan kecantikan. Syarak juga mengharuskan pengambilan makanan tambahan berkhasiat untuk kesihatan dan kecantikan.

Namun suntikan kolagen tersebut mestilah tidak begitu ketara, melebihi khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras standard), sehingga boleh dianggap mengubah ciptaan Allah.