“Mengikut laman web itu, perubatan moden banyak terikat dengan penggunaan dadah yang sebenarnya tidak benar-benar merawat, tetapi menahan sakit secara sementara. Kita perlu menggunakan perubatan herba yang lebih alami seperti produk yang saya guna dan jual. Para doktor yang merawat terlalu ikut buku dan tak sedar mereka sudah diperdaya oleh agenda Yahudi. Kita perlu sedar Yahudi memang berhasrat memusnahkan umat Islam dengan berbagai-bagai cara sebagaimana ditegaskan Allah di dalam al-Quran (al-Baqarah 2:120).”

Jika anda berada dalam bilik rawatan bersama doktor, pesakit dan penutur dialog di atas, apa agaknya pilihan anda? Nasihat doktor yang menghabiskan masanya bertahun-tahun belajar perihal rahsia tubuh manusia dan pelbagai penyakit yang wujud atau si pengkritik yang banyak berguru melalui Internet?

JANGAN MEMANDAI-MANDAI

Tubuh manusia memang misteri Allah yang luar biasa, sehingga dalam bidang perubatan pun kepakaran para doktor dipecah kecil kepada pelbagai bidang tersendiri. Doktor telinga tidak akan memandai-mandai dalam masalah jantung. Doktor tulang tidak akan menjawab soalan berkaitan buah pinggang yang kompleks.

Berdasarkan pengalaman saya berurusan dengan para doktor, mereka tak segan silu berkata: “Maaf soalan encik tu saya tak boleh jawab kerana ia bukan bidang saya.”

Seakan-akan para doktor menjiwai sabda Rasulullah SAW ini: “Sesiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa yang mungkin berlaku kepada pesakit),” - Sunan Abu Daud.

Jika kita teliti ayat al-Quran, Allah memang mendidik kita agar bertanya pakar bidang apabila keliru dan bukannya memandai-mandai. Percayalah, kita tak akan jadi pandai jika sekadar tunjuk pandai atau memandai-mandai. Firman Allah SWT: “Dan Kami tidak utus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka tanyalah kepada orang berilmu jika kamu tidak mengetahui,” (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli Kitab tentang ‘kemanusiaan para rasul’. Ia berpunca daripada kedegilan orang Mekah pada zaman Nabi SAW yang tidak boleh menerima manusia seperti Rasulullah SAW sebagai utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul daripada spesies malaikat.

Setelah ditanya kepada Ahli Kitab atau orang Yahudi dan Nasrani mengenai isu ini, mereka akui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).


PANDUAN UNTUK HIDUP SELAMAT

Perkataan "orang berilmu" dalam ayat ini boleh kita terjemahkan dengan makna ‘pakar bidang’. Cantik! Ini cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahli bidang yang menghabiskan masa bertahun-tahun belajar dan mengkaji, bukannya percaya cakap orang yang cuma merujuk kepada lambakan laman web yang kabur integriti kesahihan bahannya.

Bahan yang wujud dalam lambakan laman web bukanlah suatu rujukan ilmu meyakinkan. Ia ‘boleh dioperasikan’ oleh sesiapa sahaja terutama sekali penjual produk ajaib yang tidak bertanggungjawab.

Dakwa-dakwi atau fakta separuh masak dalam lambakan laman web wajib diteliti terlebih dahulu sebagaimana firman Allah ini: “Wahai orang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik (orang atau sumber yang meragukan serta tidak boleh dipercayai) membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan,” (al-Hujurat 49:6).

Kewajipan merujuk kepada ahli bidang seperti bidang perubatan memang disarankan Rasulullah SAW, antaranya:


1. “Pernah suatu ketika seorang sahabat nabi mengalami luka sehingga darahnya tidak berhenti mengalir. Lalu dua lelaki daripada Bani Anmar dipanggil untuk merawatnya. Nabi pun bertanya kepada mereka berdua: “Siapa antara kalian berdua yang lebih pandai merawat?” Mereka berdua bertanya: “Adakah pada ilmu perubatan itu ada kebaikan Wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tuhan yang menurunkan penyakit turut menurunkan ubat.” (Muwatta’ Imam Malik, hadis ini dinilai lemah oleh sesetengah ulama hadis, tetapi saranan Baginda SAW itu tidak bercanggah dengan semangat Islam yang menuntut kita bertanya kepada ahli bidang).

2. Dalam satu peristiwa lain, Sa’ad bin Abi Waqqas RA menceritakan: “Aku sakit lalu Rasulullah SAW menziarahiku. Baginda meletakkan tangannya pada tengah dadaku sehingga terasa sejuk tangan Baginda pada dadaku. Baginda bersabda: Kamu sedang sakit dada, pergilah berjumpa al-Harith bin Kaladah dari kabilah Thaqif kerana dia tahu mengubat. (Nabi mencadangkan) Hendaklah Al-Harith mengambil tujuh biji kurma Ajwah Madinah, kisar dengan bijinya kemudian menyuapnya (Sa’ad),” (Sunan Abu Dawud).

Siapa al-Harith bin Kaladah ini sehingga Baginda menyarankan sahabatnya berubat dengannya? Beliau adalah doktor Arab yang terkenal. Belajar ilmu perubatan di Yemen dan Jandaysabur Parsi. Adakah beliau berstatus sahabat? Para ulama sejarah masih berselisih pendapat tentang status Islamnya.

Walau apa pun status agamanya, apabila namanya disarankan Baginda SAW, jelas menunjukkan kepada kita semua pengiktirafan betapa Rasulullah SAW mahu umatnya mendalami ilmu dan menghormati ahli bidangnya.

Anda mahu buat eksperimen mudah mengenai kepentingan merujuk pakar bidang? Cubalah keluarkan dana besar untuk membina rumah idaman yang akan didiami ahli keluarga tercinta. Adakah kita mahu mengupah si tukang rumah untuk membina rumah idaman itu atau mengupah orang yang tidak arif tentang besi, simen, bata yang menjadi rencah sebuah bangunan dan binaan.

Jika salah matematik bahan binaan, nyawa ahli keluarga tercinta mungkin tergadai! Jika anda mahu jaminan keselamatan untuk keluarga tercinta ketika membuat rumah idaman, aspek kesihatan tubuh badan dan nyawa anugerah Allah sepatutnya lebih diutamakan. Fikirkanlah!