Gempa bumi adalah antara bentuk ujian Allah SWT yang berlaku disebabkan pergerakan mengejut permukaan bumi berbatu. Pergerakan ini terjadi apabila tenaga yang tersimpan dalam bumi terlepas dalam bentuk geseran batu.

Kekuatan gempa bumi digredkan dari 1 hingga 9 berdasarkan skala Richter. Skala 7 sehingga 10 merupakan tahap gegaran yang paling kuat yang boleh menyebabkan kehancuran dahsyat dan mencetuskan tsunami.

Sejarah menunjukkan, dunia telah menyaksikan beberapa siri kejadian gempa bumi yang amat dahsyat sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia dalam sekelip mata.

Terkini, pada Jumaat 28 September lalu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.4 skala Richter dan tsunami yang melanda bandar Palu dan Donggala di Sulawesi, Indonesia.

Sejumlah 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan 1.5 juta penduduk menerima kesan yang teruk akibat bencana alam tersebut, manakala seramai 1,234 penduduk terkorban dan sebahagian besar lagi mangsa mengalami cedera parah.

Kita semua menzahirkan rasa simpati atas musibah ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sesungguhnya ini adalah merupakan ujian dan ketentuan takdir Allah buat hamba-Nya yang tidak mampu untuk dihalang.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu), maka kepada Allah jualah hendaknya orang beriman dan bertawakal.” (AT-Taubah: 51)

Sebagai orang yang beriman, kita pasti akan diuji oleh Allah dengan pelbagai cubaan dan dugaan bagi mengetahui kualiti keimanan hamba-Nya. Kita juga akan menyedari kedaifan diri dan mengakui kekuasaan Allah melalui ujian yang ditempuh.

Di samping itu, Allah akan menguji manusia melalui bencana, malapetaka, kesusahan dan kepayahan bagi melatih kesabaran serta memperteguh keimanan dalam melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 155-156: bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.”

Setiap ujian daripada Allah menjadi medan tautan kasih sayang umat Islam kepada saudara seagama yang ditimpa penderitaan sehingga mendorong kita membantu mereka atau sekurang-kurangnya mendoakan kesejahteraan mereka.

RAHMAT SELURUH ALAM

Islam sebagai agama rahmatan lilalamin (membawa rahmat kepada sekalian alam) amat mengambil berat tentang kebajikan seluruh umat manusia tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, agama dan bangsa.

Ajaran dan panduan Islam meliputi segala perilaku manusia dalam apa jua keadaan dan situasi, termasuklah ketika berada dalam kesenangan ataupun ketika ditimpa musibah serta malapetaka.

Dengan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah melancarkan Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi menerusi masjid-masjid dan surau di bawah pentadbiran Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai inisiatif membantu mangsa dan keluarga.

Justeru rakyat Malaysia diharap dapat sama-sama menyumbang dan mendoakan agar Allah mengembalikan kesejahteraan kepada penduduk Sulawesi, Indonesia.

Harus juga diingatkan, bencana alam seperti gempa bumi yang sering berlaku di negara-negara lain berkemungkinan boleh berlaku di negara ini pada masa akan datang. Oleh itu, kita harus menginsafi dan mengambil iktibar daripada segala kejadian yang berlaku di sekeliling.

Dalam menikmati kesenangan, umat Islam diingatkan supaya tidak lalai dan leka dengan tanggungjawab sebagai Muslim dengan menjalani kehidupan menurut Islam atau dalam erti kata sebenar sentiasa patuh melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Allah.