Itulah yang ditanam dalam jiwa anak-anak selain bergembira pada hari raya dengan berpakaian baharu meraikan kemenangan. Namun, tanpa sedar kita kurang menjelaskan kepada ahli keluarga tentang hakikat raya sebenar, selain amalan sunat yang dituntut ketika menyambut hari mulia itu.

Mungkin ada yang tidak mengetahuinya atau beranggapan amalan tersebut bukan wajib hingga tidak rasa rugi membiarkan ia berlalu yang akhirnya terus dilupakan.

Pendakwah bebas, MK Azman berkata, seharusnya umat Islam tidak menghentikan usaha menghimpunkan pahala biarpun setelah berakhirnya Ramadan kerana kehadiran Hari Raya Aidilfitri turut diserikan dengan amalan-amalan sunat yang hampir dilupakan oleh umat Islam terutama generasi muda.

Beliau berkata, tidak dinafikan sebahagian masyarakat tetap mengejar pahala ketika tibanya raya, tetapi tidak kurang yang sekadar mengejar ‘syoknya raya’.

Katanya, tidak salah memikirkan kegembiraan pada hari raya, tetapi jadikan ia lebih bererti dengan melakukan amalan-amalan sunat yang juga hanya boleh dilakukan setahun sekali. Pahala yang diperoleh itu membuatkan pengertian ‘syoknya raya’ akan lebih bernilai.

“Jadi, apa kata tahun ini kita terapkan amalan-amalan sunat bermula dengan takbir pada malam raya. Tidak semestinya bertakbir di masjid, kita juga boleh bertakbir bersama anak-anak dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Didik anak-anak dengan amalan takbir raya dari kecil supaya mereka terbiasa. Apa yang dilihat, ada umat Islam sudah berusia pun tidak pandai bertakbir,” katanya.

SUNAT HARI RAYA

MK Azman berkata, pada awal pagi raya seharusnya diingatkan anak-anak supaya melakukan mandi sunat raya. Ramai umat Islam yang seakan melupakan amalan itu apatah lagi hanya dilakukan dua kali dalam setahun.

Jelasnya, mandi biasa untuk membersihkan diri sebelum mengerjakan sembahyang turut memberi ganjaran pahala kepada umat Islam, tetapi mandi sunat hari raya ganjaran pahalanya lebih dari itu.

Tambah beliau, sebelum bergerak ke masjid bagi mengerjakan solat sunat Aidilfitri disunatkan juga untuk makan terlebih dahulu. Jika ingin mengikut langkah Rasulullah, cukup sekadar mengambil kurma.

Katanya, jika lokasi masjid dekat hanya sekadar berjalan kaki maka digalakkan untuk mengikuti jalan berbeza pergi dan balik. Hikmahnya, supaya kita dapat bertemu dengan orang berbeza bagi membolehkan kita mengucapkan salam dan berdoa kepada Allah supaya menerima ibadah tersebut.

“Inilah yang perlu kita tekankan setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri supaya kita sekeluarga dapat mengamalkan amalan sunat yang dituntut oleh agama Islam.

“Tidak ada maknanya menyambut raya jika hanya sibuk memikirkan tentang baju, langsir, kuih raya yang semuanya hanyalah satu ganjaran duniawi,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah berbelanja untuk hari raya asalkan mengikut kemampuan. Sebaiknya anak-anak tidak dididik dengan kemewahan ketika hari raya, sebaliknya dengan amalan sunat raya.

Jelasnya, menggayakan pakaian baharu juga tidak salah kerana sesetengahnya hanya membeli pakaian setahun sekali, tetapi dalam ghairah menggayakan pakaian raya perlu juga diingat adakah pakaian tersebut yang terbaik di sisi Islam.

“Pakaian terbaik adalah yang menutup aurat bagi perempuan, bukannya semata-mata cantik kerana fesyen. Tidak salah berbelanja untuk hari raya demi menggembirakan anak-anak supaya mereka tahu bahawa hari tersebut adalah hari istimewa.

“Tetapi, pilih mana penting sahaja dan hanya menukar keperluan yang memberi kesan kepada emosi anak-anak terutama pakaian bukannya yang lebih menjurus kepada emosi ibu bapa,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, niat mengadakan rumah terbuka juga digalakkan kerana menjamu orang makan.

“Cuma, apa yang tidak baiknya apabila majlis diadakan sehingga bertentangan syariat, melalaikan, tidak solat dan mendedahkan aurat,” jelasnya.