Cukup bagi mereka memiliki rumah usang untuk berteduh selagi berpeluang mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan walaupun jauh di sudut hati ingin memiliki tempat tinggal selesa.

Prihatin terhadap golongan tersebut, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful Berhad (Etiqa Takaful) tampil menghulurkan bantuan menerusi Projek Baik Pulih Rumah Warga Miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Baru-baru ini tiga keluarga miskin dan satu pasangan suami isteri OKU sekitar Kelantan terpilih sebagai penerima manfaat projek tersebut.

Projek itu merupakan inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Korporat Etiqa Takaful untuk membantu dan meringankan beban mereka yang memerlukan khususnya warga miskin dan kurang berkemampuan.

Projek Baik Pulih Rumah Warga Miskin dan OKU itu melibatkan pembinaan sebuah rumah baharu di Kampung Kuang, Alor Pasir, Tanah Merah dan tiga lagi rumah telah dibaik pulih iaitu di Kampung Gual Tualang, Lubok Setol, Rantau Panjang serta Kampung Tempoyak dan Kampung Loak di Jelawat, Bachok.

Kerja-kerja pembinaan dan baik pulih itu berjaya disempurnakan dalam tempoh dua bulan dan golongan itu turut menerima bantuan barangan keperluan harian.

Dalam masa sama, kunjungan pihak Etiqa Takaful dan IAM turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila 16 unit penapis air ‘Outdoor Master Filter’ diagihkan kepada pusat tahfiz, madrasah, masjid dan rumah kebajikan terpilih sekitar daerah Tanah Merah melalui Projek Bekalan Air Bersih.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, golongan miskin ini perlu dibantu memandangkan mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan ditambah pula dengan keadaan rumah yang usang dan kurang selesa.

BANGKITKAN SEMANGAT

Beliau berkata, rumah yang dibina dan dibaik pulih ini diharap dapat meringankan beban golongan miskin di samping dapat membangkitkan semangat mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih tenang serta selesa.

“Sebagai sebuah NGO, IAM memainkan peranan sebagai pengantara mana-mana individu mahupun golongan korporat yang berhajat melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian dua Projek Baik Pulih Rumah Warga Miskin dan OKU.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Etiqa General Takaful Berhad & Etiqa Family Takaful Berhad, Datuk Majid Mohamad.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Pantai Timur Etiqa, Tengku Saiffudin Tengku Zainal Abidin.

Sementara itu Zafri memberitahu, projek dibiayai oleh peruntukan dana amal jariah yang diuruskan oleh Etiqa Takaful bagi pihak peserta takaful dan ia selaras dengan moto Etiqa dalam menginsankan perkhidmatan takaful.

Beliau mengharapkan sumbangan yang dihulurkan dapat membantu meningkatkan tahap kehidupan harian penerima khususnya mereka yang kurang berkemampuan di luar bandar.

“Beberapa aktiviti tanggungjawab sosial korporat sebegini telah disusun oleh Unit Korporat dan Syariah bagi memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik melalui program kemanusiaan bersama masyarakat di sekitar Kelantan dengan kerjasama IAM,” katanya.

MOHD. ROZAMAN YAACOB
MOHD. ROZAMAN YAACOB 

APA KATA PENERIMA MANFAAT

"Alhamdulillah, akhirnya kami dapat tinggal di rumah baharu yang selesa dan lengkap dengan tandas, bilik serta dapur. Ini merupakan hadiah teristimewa buat kami sejak mendirikan rumah tangga.

“Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki rumah seperti ini kerana kesusahan yang kami hadapi. Walaupun kami tidak dapat melihat rumah tersebut, namun kami percaya ia pasti cantik.”

Penerima OKU, Mohd Rozaman Yaacob, 55

Kampung Kuang, Alor Pasir, Tanah Merah, Kelantan


"Dalam masa beberapa minggu sahaja pembinaan ruang hadapan dan bilik dapat disiapkan. Sebelum ini bahagian tersebut diperbuat daripada kayu dan sudah reput.

MOHD NOOR BIN DAUD
MOHD NOOR BIN DAUD 

“Bumbungnya pula bocor di sana-sini. Keadaan lebih sukar apabila hujan kerana terpaksa menadah air hujan dengan menggunakan baldi.”

Warga emas, Mohd. Noor Daud, 65

Kampung Gual Tualang, Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan.


"Kini segalanya telah berubah. Tangga yang reput telah diganti dengan tangga simen, dinding berlubang telah ditampal dan dinding yang suram telah dicat baharu.

“Terima kasih kepada IAM dan Etiqa Takaful, nampaknya janji mereka betul-betul dilaksanakan. Makcik sangat gembira kerana rumah ini dibaiki, kalau tidak pasti rumah ini akan terus mereput dek dimakan anai-anai.”

Meksah Awang, 70

Kampung Loak, Jelawat, Bachok, Kelantan


"Sebelum ini bumbung rumah kami kerap tercabut apabila ribut. Kami sering tidur dalam keadaan basah apabila bumbung rosak. Saya tidak sangka pihak IAM sanggup datang ke rumah kami dan membaiki tingkap serta dinding yang rosak.

“Kami memang tidak termampu, malah mengharapkan bantuan anak-anak yang juga kesempitan hidup kerana hanya mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung.”

Ramlah Mamat, 56

Kampung Tempoyak Jelawat, Bachok, Kelantan.