Jauh dalam hati kecil menyangka mungkin teguran itu akan mengganggu mereka yang ingin mengisi perut apatah lagi pada waktu itu jam menunjukkan pukul 11.15 malam.

Namun, sangkaan itu ternyata tersasar. Dengan mesra kedua-dua sahabat itu bukan sahaja memberi maklum balas positif kepada saya, tetapi turut menjemput bersama-sama mereka menjamah juadah disediakan.

“Tuan dah makan ke? Jom makan bersama kami. Kami hanya berdua, biasanya satu talam cukup untuk empat atau lima orang dewasa makan,” kata seorang daripada mereka, Anuaruzaini Sanusi, 46.

Saya cuba untuk menolak tetapi disambut pula oleh rakan kedua, Husain Musman, 45, “kata orang rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari”.

Mendengar kata-kata itu tiada alasan untuk saya mengelak dan ini juga peluang bagi saya untuk mengenali peserta Ijtimak Ummat Islam 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Kuala Lumpur yang berlangsung bermula 3 November lalu sehingga semalam dengan lebih dekat.

Dianggarkan lebih 30,000 peserta yang terdiri daripada jemaah tabligh sekitar Lembah Klang termasuk jemaah luar negara iaitu dari Bangladesh, Myanmar, India dan Pakistan menyertai perhimpunan umat Islam tersebut.

HIDUPKAN SUNNAH

Memulakan bicara, saya bertanya kepada mereka, apakah kelebihan makan dalam dulang memandangkan ramai sedia maklum bahawa amalan ini merupakan budaya bagi jemaah tabligh?

Anuaruzaini berkata, bukan budaya tetapi amalan itu adalah sunah amalan Baginda Rasulullah SAW bersama para sahabat yang terkandung pelbagai manfaat.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan (bersama-sama), kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian.” - Riwayat Abu Daud

“Secara tidak langsung dapat mencipta kemesraan dan meningkatkan rasa kasih sayang terhadap satu sama lain. Sebagaimana dituntut bagi umat Islam untuk mengasihi saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri. Malah, amalan makan satu dulang ini juga dapat mengelakkan pembaziran.

“Lebih daripada itu, makan dalam satu dulang ini juga mempunyai maksud tersirat iaitu, kita makan dalam bekas yang sama, siapa pun kita, apa juga latar belakang dan pangkat, itu semua tiada beza antara manusia. Tetapi yang membezakan kita adalah iman dan amal kepada Allah SWT.

“Ini kerana di akhirat kelak, walaupun harta dunia yang banyak, anak dan isteri, tiada siapa pun dapat menolong, semuanya bergantung kepada amalan serta bekalan dibawa dari dunia,” katanya yang merupakan bekas anggota tentera itu.

Atas suntikan tarbiah itu, semua jemaah yang hadir tanpa mengira peringkat umur dan pangkat mampu berhimpun bersama bawah satu bumbung untuk berkongsi fikiran, mendengar ceramah tentang iman serta amal dalam majlis tersebut.

Hanya beralaskan tikar disediakan penganjur dan kain cadar milik masing-masing sebagai tambahan, dijadikan alas tidur bagi jemaah yang berkampung di dewan besar Maeps itu selama empat hari.

Jauh berbeza dengan segala kemudahan dan kesenangan di rumah, ijtimak turut melatih peserta yang hadir untuk mengikiskan sifat cintakan dunia, sebaliknya mengejar kelebihan akhirat.

PERSINGGAHAN SEMENTARA

Sementara itu, menurut Husain, hidup manusia di dunia ibarat musafir yang singgah sebentar untuk bercucuk tanam, manakala hasilnya dituai di akhirat kelak.

“Apa guna mempunyai rumah besar, harta yang banyak, tetapi hati kosong dengan iman. Kelak mereka ini adalah golongan sangat rugi.

“Sebagaimana yang dinyatakan oleh penceramah dalam penerangannya tadi, satu orang yang mati dengan iman hanya sebesar zarah, Allah SWT akan mengurniakan kepadanya ganjaran sebesar lapan kali ganda bumi dan seisinya.

“Orang yang mati dalam keadaan tiada setitik iman pula, mereka itu adalah golongan gagal dan tiada penyesalan selama-lamanya,” katanya.