“Sepanjang Ramadan lepas daddy habis baca juzuk satu dalam solat Maghrib bersama keluarga di rumah. Daddy akui! Menghafaz al-Quran agak sukar. Baca surah hadapan, surah belakang pula hilang.”

Ayah angkat saya ini, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Aziz, sudah berusia 72 tahun, tapi semangatnya mendalami ilmu terutama berasaskan al-Quran tetap kekal muda remaja. Beliau pernah khatam talaqqi al-Quran dengan saya lama dahulu.

Beliau menghadiri kelas bahasa al-Quran setiap minggu bersama pensyarah Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Wan Rusli Wan Ahmad. Kelas ini sangat unik kerana mendalami nahu dan sastera bahasa Arab secara terus daripada al-Quran.

Selain itu, ayah angkat saya ini banyak menghafaz surah al-Quran. Matlamatnya mahu jadi hafiz al-Quran suatu hari nanti. Menurutnya, hafaz al-Quran dan latihan berfikir menjadi riadah otak yang berguna untuk manusia.

Niat murni itu sewajarnya dicontohi semua Muslim kerana kita belum pernah terlewat untuk hafaz al-Quran.

Rasulullah SAW sendiri pun mula hafaz al-Quran pada usia 40 tahun dan proses itu berterusan selama 23 tahun.

Berdasarkan pengalaman, hafazan al-Quran perlu sentiasa dibajai agar menjadi semakin masak dan ranum.

Banyak baja yang diperlukan para penghafaz al-Quran seperti penjagaan syariat dan akhlak. Pun begitu, baja utama adalah ‘proses ulangan’.

Ustaz kami dahulu pernah sebut bahawa ulangan berterusan melebihi 10 tahun akan menjadikan al-Quran yang dihafaz ‘masak’. Apabila sudah masak ranum bak buah-buahan di pokok, ia boleh dipetik dan dibaca pada bila-bila masa sahaja tanpa melihat mushaf.


FORMULA HAFAZAN


Benar pepatah Arab yang bermaksud: “Sesiapa yang tak rasa (sesuatu), tak akan tahu (susah payah atau nilai sesuatu perkara)”. Pengalaman 24 tahun dengan hafazan al-Quran (1993 – kini) mengajar saya beberapa formula yang mungkin berguna untuk semua, sama ada yang baharu, sedang atau pernah menghafaz al-Quran:


DUA FASA

Melancar hafazan baharu

  • Saya biasa melancarkan hafazan selepas Asar. Itu rutinnya selama setahun 10 bulan saya menghafaz al-Quran di Darul Quran dahulu.
  • Hanya baca ayat yang mahu dihafaz (bersama terjemahan) melebihi 10 kali (tanpa hafaz).

Hafazan sebenar

  • Selepas maghrib, saya mula hafaz secara serius ayat yang sudah diulang baca Asar tadi.
  • Cara ini sangat berkesan bagi memudahkan hafazan baharu. Surah yang mahu dihafaz jadi mudah dan lancar.
  • Sentiasa ulang kaji hafazan sebagai wirid atau makanan harian. Ulangan hafazan bagi penghafaz al-Quran sangat kritikal.
  • Nisbah hafaz dan ulang adalah 1:3. Ayat yang dihafaz senang terlucut ikatannya seperti unta liar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 


“Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia tambat (ulangkaji hafazan), unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya….apabila seorang penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan ingat (hafazannya). Jika dia abai, dia akan lupa hafazannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

  • Membuat ulangan hafazan dalam solat, sama ada dalam solat tarawih atau solat malam. Peluang khatam hafazan dalam solat tarawih selama sembilan tahun (1995, 1996, 1997, 1998, 2000, 2001, 2002, 2003 & 2004) sangat membantu saya mengekalkan hafazan.

Abdullah Ibn Masud r.a.pernah menceritakan pengalamannya solat bersama nabi:

“Abdullah menceritakan, aku pernah solat (malam) bersama Rasulullah SAW. Baginda memanjangkan bacaannya sehingga aku terlintas melakukan sesuatu yang kamu fikirkan itu? Beliau menjawab: “Aku berhasrat untuk duduk atau meninggalkan Baginda,” - Sahih Muslim.

Pada akhir ziarah, saya ucap:

“Teruskan menghafaz. Mungkin daddy tak sempat habis khatam hafazan 30 juzuk, Allah dengan sifat Pengasih dan Pemurah-Nya boleh tulis kita semua sebagai hafiz al-Quran kerana niat kita. Lihat sahaja para sahabat nabi berjumlah 70 orang yang dibunuh oleh musuh dalam peristiwa Bir Maunah.

“Mereka dikenali sebagai para Qari (penghafaz al-Quran) walaupun belum habis menghafaz al-Quran kerana peristiwa syahidnya mereka berlaku pada tahun keempat Hijrah sedangkan al-Quran sempurna penurunannya pada tahun ke-10 Hijrah.”

Tekadkan niat murni mahu menghafaz al-Quran secara lengkap kerana Islam mengiktiraf ‘niat’ sebagai ‘langkah pertama’ menuju kebaikan. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa berhasrat melakukan satu kebaikan tetapi tidak melakukannya, (tetap) ditulis baginya satu kebaikan. Sesiapa yang berhasrat melakukan satu kebaikan dan melakukannya, ditulis baginya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda.

“Sesiapa yang berhasrat melakukan satu kejahatan tetapi tidak melakukannya, tidak ditulis apa-apa pun (baginya), jika dia melakukan kejahatan itu, ditulis satu kejahatan (sahaja),”- Sahih Muslim.

Ayuh kita hafaz al-Quran!