Kesetiaan seumur hidup ini diganjari anugerah terbesar yang diimpikan semua wanita solehah kepada suaminya iaitu rahim yang mengandungkan zuriat si suami. Zuriat ini pula bukan sembarangan, anak yang bakal menjadi bapa kepada ‘ratusan nabi Bani Israel’.

Bagaimana kita tahu beliau setia bersama Nabi Ibrahim sehingga usia tua? Allah memuji beliau dalam kisah ini:

Ertinya: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Dia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang yang tidak dikenal. Kemudian dia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”. (Setelah dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), maka dia merasa takut daripada keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: “Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)”. Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan. (Mendengarkan berita yang menggembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: “aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?” Mereka berkata: “Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.” (al-Dhariyat: 24-30)

Frasa “aku sudah tua, lagi mandul” diulang sekali lagi oleh Allah dalam ayat lain. Cuma kali ini ditambah “suamiku juga sangat tua” ertinya:

“Isterinya berkata: “Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak “padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua?” Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan”. Malaikat-malaikat itu berkata: “Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahan-Nya.” (Hud 11:72-73).

Soalan yang bagus untuk ditanya, mengapa disebut tua? Dalam kisah lain pula disebut ketika Nabi Ibrahim berhadapan kaumnya baginda ‘masih muda’. Lihat firman Allah ini:

Ertinya: “Lalu dia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: “Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah dia daripada orang yang zalim”. (Setengah daripada) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.” (al-Anbiya’ 21:58-60).

DIBAKAR DAN DIUSIR

Setelah bertindak keras memusnahkan berhala kaumnya ketika masih muda, Nabi Ibrahim dibakar dan diusir keluar dari negerinya:

Firman Allah ertinya: “(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua) mereka berkata: “Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu”. Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). Dan Nabi Ibrahim pula berkata: “Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar).” (al-Saffat 37:97-99).

Nabi Ibrahim sangat tabah, baginda sanggup meninggalkan tanah air dan keluarga yang rosak akibat rasukan syaitan berhala. Ketabahan baginda bersama ‘pengikutnya’ diabadikan al-Quran bagi menjadi suri ikutan kita semua:

Ertinya: “Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan ‘Nabi Ibrahim dan para pengikutnya - contoh ikutan yang baik”, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata.” (al-Mumtahanah 60:4).

“Para pengikutnya” dalam ayat ini merujuk kepada para nabi yang sezaman baginda atau nabi daripada zuriat baginda yang membawa misi tauhid sama (Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir).

SETIA SEJAK MUDA

Tapi menurut segelintir para ulama tafsir, yang bersama Nabi Ibrahim ketika baginda diusir keluar hanya isterinya, Sarah dan anak saudaranya, Nabi Lut. Ringkasnya, Sarah adalah wanita yang setia beriman kepada Nabi Ibrahim sejak ‘mereka muda’ lagi.

Kesetiaan seperti ini jugalah menjadi sebab dalamnya cinta Rasulullah kepada Khadijah. Kasih baginda kepada kesetiaan Khadijah mengundang cemburu sayang Aishah:

Ertinya: “Aisyah berkata, Rasulullah SAW selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada Baginda SAW: Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik daripadanya. Rasulullah SAW berkata: “Sungguh dia itu tiada ganti.” Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak,” - Musnad Ahmad

Subhanallah! Rupanya Sarah yang menjadi teman setia kepada datuk kita semua Nabi Ibrahim sebenarnya tidak kurang hebat berbanding Khadijah.

Jangan pula ada yang emosi menyempitkan setia bermaksud tidak berpoligami. Nabi Ibrahim dan Rasulullah setia dalam poligami. Pun begitu, poligami mereka tetap dibimbing agama bukan nafsu semata.

Jadilah insan soleh dan setia kepada Allah serta Islam seperti mereka, semoga kesetiaan bersama pasangan menjadi sebab untuk kita semua bersatu bersama keluarga para nabi di akhirat kelak. Insya-Allah.