Tersentak saya seketika apabila mendapat panggilan daripada seorang kawan bertanya kesahihan berita kelahiran puteri kedua saya, Asma Sofiah pada 1 April 2002.

Benar! Itulah tarikh lahir puteri saya, tetapi ramai yang ingat saya cuma bergurau.

Itulah hakikat yang berlaku setiap kali menjengah awal bulan April. Istilah April Fool akan dikumandang seolah-olah manusia perlu diperbodohkan dengan gurauan pelik sebagai melengkapkan kalendar tahunan mereka. Tambah malang apabila ada segelintir Muslim turut sama menjadi jahil terpalit perkara ini.

Saya tidak mahu mengulas ‘asal surat beranak’ istilah atau budaya itu, cuma apa yang pasti budaya gurau senda perlu dilihat menurut kaca mata Islam agar menjadi kunci syurga dan bukannya saham ke neraka.

Antara karya moden mengulas isu ini adalah buku bertajuk al-Muzah Fil Islam atau Gurauan Menurut Islam tulisan pengajar di Universiti Raja Su’ud, Riyadh, Arab Saudi, Prof. Dr. Abdul Ghani Abu Ghuddah.

Islam tidak melarang senda gurau yang biasa berlegar dalam kehidupan manusia. Inilah cantiknya Islam sebagai syariat manusiawi. Tidak dinamakan manusia jika hidupnya kosong tanpa gurau, ketawa, gembira, sedih, tangis dan pelbagai cerminan emosi lain.

Allah sendiri tegaskan bahawa ketawa dan tangis antara bukti kehebatan-Nya maksudnya: “Sesungguhnya, Dia (Allah) lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” (al-Najm 53: 43)

Kita mungkin tersentak seketika apabila tahu bahawa gurauan boleh menjadi sebab bahagia atau duka di akhirat kelak. Kalau kena cara gurauannya, kegembiraan yang berputik daripada senda menjadi sebab ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam semakin kukuh.

Pastinya ia menjadi saham ke syurga. Manakala jika senda gurau menyebabkan runtuhnya ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam, ia akan menjadi stok dosa yang menyempitkan laluan manusia ke syurga.

Rasulullah selalu bergurau bagi menaikkan ceria orang. Bahkan baginda pernah bergurau dengan seorang kanak-kanak yang selalu bermain dengan anak burung kesayangannya.

Anas bin Malik r.a. menceritakan ertinya: “Rasulullah SAW adalah orang paling baik akhlaknya. Aku ada seorang adik kecil digelar dengan nama Abu ‘Umayr. Aku kira usianya baru lepas susuan (3-4 tahun). Setiap kali Nabi datang menziarahi kami, Baginda akan bergurau dengan adikku sambil bertanya: “Wahai Abu ‘Umayr! Apa yang dilakukan oleh si anak burung (mu)?” - Sahih Bukhari dan Muslim


BATAS GURAUAN


Berikut disenaraikan beberapa syarat mudah sebagai penanda aras patuh syariah dalam apa sahaja bentuk gurauan:

1. Tidak mempersendakan isi agama

Agama bukanlah bahan gurau. Silap bergurau dengan isi agama boleh mendatangkan musibah dosa yang berat. Tambahan pula ia menjadi celaan Allah kepada orang munafik:
Ertinya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek gurau mereka) tentulah mereka (orang munafik) akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya berbual dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah, ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu persenda dan ejek?” (al-Tawbah 9:65).

2. Tidak berdusta

Mungkin ada berkata apa salahnya sedikit dusta dalam gurauan bagi menceriakan suasana. Islam menegaskan matlamat tidak menghalalkan cara.

Rasulullah mengingatkan umat Islam dengan bersabda: “Celaka (binasalah) bagi orang yang berbicara secara berdusta untuk menimbulkan gelak tawa orang. Celaka baginya! Celaka baginya!” - Sunan Abu Dawud

Juga sebuah hadis lain maksudnya: “Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Tuan pun bergurau dengan kami?” Baginda menjawab: “Aku tidak berkata (walaupun dalam gurauan) melainkan yang benar sahaja.” - Sunan Tirmizi

3. Tidak mengejutkan atau menakutkan orang

Pernah para sahabat bermusafir bersama Rasulullah. Apabila mereka singgah di satu tempat, beberapa sahabat bergurau dengan mengambil barang milik seorang lelaki yang sedang tidur. Apabila lelaki itu sedar dan mendapati barangnya hilang, dia terkejut dan kumpulan yang menyembunyikan barangnya ketawa besar.

Setelah tahu perihal gurauan tersebut, baginda menegur keras dengan sabdanya: “Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan),” - Sunan Abu Dawud

Kita dapati gurauan sebegini sering dijadikan bahan tarikan sesetengah stesen radio. Pengacara radio berpakat dengan kenalan mangsa untuk membuat panggilan palsu bagi menimbulkan rasa cemas si mangsa.

Tambah parah apabila gurauan ini disiar secara meluas sehingga mengaibkan mangsa gurau. Jika ia berlaku, dosanya bukan hanya dosa gurau palsu tetapi diiringi bersama dosa mengaibkan orang.

4. Berniat mengejek atau merendahkan mangsa gurau

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat 49:11 maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”

5. Elakkan terlalu banyak bergurau kerana boleh membuang masa dan mematikan hati

Hati yang banyak ketawa senang lupa akhirat. Cukuplah firman Allah kepada orang Munafik sezaman Nabi SAW ini menjadi teguran untuk kita semua:

Ertinya: “Oleh itu biarkanlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.” (al-Tawbah 9:82).