Dalam ayat lain, hari kiamat juga disebut sebagai hari mandul tanpa malam atau hari yang tiada kebaikan. - Tafsir Ibn Kathir

Firman Allah ertinya: “Dan orang kafir tetap dalam keraguan terhadap al-Quran sehingga datang kepada mereka saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab (hari mandul tanpa malam) hari yang tiada kebaikan untuk mereka.” - (al-Hajj [22:55]).

Manakala, dalam Surah Ghafir, Allah menceritakan seorang lelaki beriman dalam kalangan pengikut Firaun menasihati kaumnya agar beriman kepada Allah.

Dia terlibat dalam mesyuarat ketika Firaun mencadangkan agar nabi Musa a.s. dibunuh. Dengan bijak lelaki tersebut menghalang niat Firaun dengan sudut ‘pengurusan risiko’ pada kedudukan atau populariti Firaun jika keputusan itu diambil. Kandungan ‘minit mesyuarat’ itu direkodkan Allah:

Ertinya: “Dan (pada saat itu) berkatalah seorang lelaki yang beriman daripada orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki (hanya) kerana dia menegaskan: “Tuhanku ialah Allah? - sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian daripada (azab) dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang melampaui batas, lagi pendusta.” - (Ghafir [40:28]).

Banyak lagi sudut nasihat yang diajukan lelaki ini. Antara nasihatnya adalah amaran terhadap ancaman azab pada hari manusia saling panggil memanggil:

Ertinya: “Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit Saling Panggil Memanggil (memohon pertolongan).” - (Ghafir [40:32]).

Agak pelik apabila dikatakan hari kiamat adalah hari panggil memanggil. Untuk memahami maksudnya kita perlu merujuk pada ayat lain yang menceritakan peristiwa berlaku pada hari itu. Panggilan yang berlaku pada hari kiamat adalah ‘panggilan menghina atau panggilan rindu yang belum kesampaian.’


SEKSAAN MENTAL


Panggilan menghina menjadi seksaan mental kepada penghuni neraka. Seksaan mental? Ya! Mengenang peluang beriman (semasa hidup di dunia) yang sudah berlalu tanpa kemampuan mengubahnya adalah suatu seksaan mental sangat dahsyat:

1 Penghinaan penghuni syurga terhadap penghuni neraka:
- Ertinya: “Dan (apabila penghuni syurga berada pada tempat masing-masing), mereka memanggil penghuni neraka seraya berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?” (Penghuni neraka) menjawab (dengan penuh sesalan): “Benar ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) antara mereka (kedua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa kepada orang yang zalim.” (al-A’raf [7:44]).

Panggilan penghinaan oleh penghuni A’raf (tempat tertinggi antara syurga dan neraka di mana ditempatkan orang beriman yang sama berat amalan baik dan buruk mereka) terhadap penghuni neraka:
- Ertinya: Dan apabila dialihkan pandangan mereka (penghuni A’raf ke arah penghuni neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau tempatkan kami bersama orang yang zalim”. Dan penghuni al-A’raf menyeru beberapa orang (ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu - tidak dapat menolong kamu”. (Mereka bertanya pula kepada ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang (penghuni syurga) yang kamu ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat daripada Allah?” - (al-A’raf [7:47-49]).

Panggilan penghuni neraka yang kehausan dan kelaparan dibalas hina oleh penghuni syurga:
- Ertinya: “Dan penghuni neraka memanggil penghuni syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit daripada air atau rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu (dalam syurga itu)”. mereka (penghuni syurga) menjawab (dalam keadaan menghina penghuni neraka): “sesungguhnya allah telah haramkan keduanya kepada orang kafir.” - (al-A’raf [7:50]).

Panggilan rindu yang belum kesampaian oleh penghuni A’raf:- Ertinya: “Dan antara keduanya (syurga dan neraka) ada tembok ‘al-A’raf’ (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok itu ada sebilangan orang lelaki yang mengenal setiap seorang (daripada penghuni syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun memanggil penghuni syurga (dengan memberi salam, katanya): Salam sejahtera kepada kamu. Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.” - (al-A’raf [7:46]).

Walaupun situasi panggil memanggil ini belum berlaku, tetapi ia sudah disebut oleh Allah sebagai suatu perkhabaran ghaib untuk kita teladani.

Sungguh! Hari kiamat adalah hari panggil memanggil, cuma apa pilihan kita semua? Adakah menjadi orang yang dipanggil hina atau dipanggil dengan mulia?

Jika mahu menjadi penghuni syurga yang dipanggil dengan mulia, maka berusaha mencapai ciri penghuni syurga semasa di dunia dengan sepenuh jiwa dan raga.

Semoga kita semua bakal bertegur sapa dan panggil memanggil dengan mulia dalam syurga pada hari kiamat kelak.