Populariti pemandangan itu turut menjadikan alatan besi perubatan yang digunakan untuk menstabilkan tulang patah atau cedera pada lelaki berkenaan disebut sebagai ‘kaki Gaza’.

Suasana sedemikian diakui penyelaras kesihatan Gaza untuk Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Dr. Gabriel Salazar.

“Terdapat lebih daripada 1,300 orang dengan komplikasi kesihatan akibat kecederaan, manakala kira-kira 400 orang mengalami kecacatan sementara atau kekal,” katanya.

Keganasan meningkat di kawasan sempadan Gaza sejak akhir Mac lalu itu mengakibatkan berpuluh-puluh kematian dan ribuan cedera, majoritinya terkena peluru hidup.

Hospital-hospital di Gaza kini telah mencapai had kapasiti mereka. Kakitangan perubatan selalu menghadapi dilema sama ada membenarkan pesakit keluar awal walaupun belum pulih sepenuhnya atau tidak mempunyai ruang untuk menerima pesakit yang baharu.

Bebanan yang tidak dapat ditangani hospital itu telah berpindah ke atas bahu keluarga dan ini menambah lagi tekanan emosi, kewangan dan logistik yang kini sudah pun sukar.

Tambahan pula, Gaza sendiri sedang mengalami krisis ekonomi paling teruk sejak perang pada 2014 dan hampir separuh penduduknya menganggur.

Antara mangsanya adalah seorang nelayan berusia 25 tahun yang hanya dikenali sebagai Omar. Beliau mengalami kecederaan pada kedua-dua kakinya akibat tembakan oleh rejim Israel dalam siri keganasan di Gaza, baru-baru ini.

“Memang sakit tetapi saya tidak mahu ‘menangis’ bagi mengelakkan keluarga saya membelanjakan lebih banyak wang untuk beli ubat,” katanya.

Kedua-dua kakinya berbalut simen itu disandarkan pada dua bantal. Batang logam dan pin menonjol daripada tulang. Bilik yang sederhana di rumah keluarga Omar itu diubah menjadi wad sementara. Ia adalah usaha pengubahsuaian yang telah menjadi satu pemandangan biasa di kebanyakan rumah di Gaza.

“Seseorang harus bersamanya 24 jam sehari,” kata abang Omar, Abdallah, seorang pekerja binaan tetapi sejak kemalangan itu, beliau lebih banyak menghabiskan masa untuk menguruskan Omar.

Selain Abdallah, tugas tersebut turut dikongsi dengan kakak Omar iaitu Asmaa.

Ternyata keadaan sedemikian begitu menggusarkan Omar kerana menyedari beban kewangan keluarganya kini meningkat akibat kecederaan yang dialaminya.

“Saya rasa telah melumpuhkan kehidupan dua orang,” kata beliau yang pada wajahnya menampakkan keletihan dan kebimbangan berhubung masa depan keluarga itu.