Perkara itu ditegaskan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menjelaskan, Islam hanya membolehkan prosedur itu jika bertujuan mengembalikan semula keada­an tubuh badan yang terjejas kerana kemalangan, penyakit atau semula jadi.

MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD 

“Contohnya, katakanlah seorang wanita itu ada masalah pada mukanya kerana disimbah asid dan sebagainya. Dengan suntikan itu dapat baik maka itu dibenarkan agama.

“Tapi kalau semata-mata kecantikan dengan niat untuk memperdayakan agar nampak muda, di situlah salah dan hukumnya pula adalah haram,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mingguan Malaysia hari ini melalui laporan khasnya mendedahkan trend suntikan filler di negara ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan berikutan penawarannya turut dimonopoli oleh pihak-pihak tidak bertauliah.

Ini kerana, carian menerusi laman sosial Facebook dan Instagram membawa kepada ratusan akaun yang menawarkan khidmat berkenaan dengan harga ditawarkan pula adalah pelbagai.

HARUSSANI ZAKARIA
HARUSSANI ZAKARIA 

Dalam pada itu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut mengulas trend suntikan tersebut dan memberitahu rawatan kecantikan untuk membesarkan payu­dara dan punggung adalah haram di sisi syarak.

“Dari segi syarak, Islam tidak melarang umatnya melakukan sesuatu terhadap tubuh badan untuk tampil cantik sebagai contoh, mencerahkan kulit yang gelap atau membuat pembedahan untuk memancungkan hidung yang pesek (tidak mancung),” katanya.

“Namun, umat Islam harus tahu bahawa mengubah bentuk badan seperti membesarkan payudara atau punggung adalah diharamkan apatah lagi dengan menggunakan kaedah yang boleh memudaratkan kesihatan seperti suntikan dermal filler (filler),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap individu tidak bertauliah yang menjalankan perniagaan berkaitan rawatan kecantikan sehingga menyebabkan kesan serius terhadap kesihatan pengguna.