Pengembaraan haji bukan perjalanan untuk bersuka ria. Bahkan ia adalah perjalanan rohani untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan-amalan yang boleh mendapat keampunan daripada Yang Maha Kuasa. Oleh itu, persiapan ke arah itu perlu kepada perjuangan yang penuh dengan kesabaran utuh. Sanggup diuji dengan pelbagai ujian demi kemartabatan darjah ketakwaan kepada Allah, ganjarannya adalah syurga yang kekal abadi.

Allah mewajibkan ibadat haji hanya sekali sahaja dalam seumur hidup manusia Muslim. Kenapa dan mengapa? Ini harus disedari oleh semua jemaah haji bahawa peluang ini seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk memperoleh haji mabrur. Kita harus merasakan ini adalah haji kali terakhir untuk kita dan tiada peluang untuk kali yang kedua.

Oleh itu, jadikan haji kita:

1.Sebagai kenikmatan rohani yang boleh membawa perubahan kepada jiwa dan hati kita. Daripada sifat buruk kepada lebih dan seterusnya terbaik. Untuk itu, persiapan dari segi rohani, jasmani dan hukum-hakam adalah penting untuk mencapai keredaan Allah.

2. Senjata bagi mendapat pahala yang sungguh hebat hendaklah perbetulkan niat dan tujuan perjalanan ke sana. Kata Ibnu Qayim: “Keutamaan sebuah amalan itu tergantung apa yang ada di dalam hati seseorang seperti keimanan, keikhlasan, kecintaan, ketakwaan dan segala sesuatu yang menjadi hajatnya.” Pandanglah sesuatu amalan itu dengan penuh kenikmatan bukannya satu bebanan yang dipikul. Baik sangka dengan Allah akan memudahkan segala amalan kita.

3. Pengembaraan kerohanian ini merupakan perjalanan keamanan dan ketenangan dengan janji-janji pahala. Jika perjalanan ini berlaku dengan kematian ganjaran pahala haji sehingga hari kiamat. Sebagaimana dalam hadis riwayat Tabrani: “Sesiapa keluar untuk mengerjakan haji lalu meninggal dunia maka Allah akan tulis pahala haji untuknya sehingga hari kiamat, sesiapa keluar untuk mengerjakan umrah lalu meninggal dunia maka Allah akan tulis pahala umrah untuknya sehingga hari kiamat, sesiapa keluar untuk berjihad di jalan Allah kemudian meninggal dunia maka Allah tulis untuknya pahala jihad sehingga hari kiamat.”

GANJARAN SETIMPAL

Kesusahan dan kepayahan semasa melakukan amalan ibadat di Tanah Suci akan dibayar dengan pahala. Sebagaimana hadis daripada Aisyah: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya di saat Aisyah melakukan umrah: “Sesungguhnya engkau memperoleh pahala sesuai dengan kadar kepayahan dan perbelanjaan yang engkau keluarkan.”

Semasa pergerakan pergi melontar setiap titik peluh dan kepenatan akan dibayar dengan pahala. Perkhabaran gembira dengan balasan yang ada di sisi Allah itu lebih baik, lebih kekal, lebih suci, lebih banyak, lebih tinggi dan lebih mulia dengan apa yang wujud di dunia ini.