Kemahiran bersyair dalam kalangan masyarakat Melayu pada hari ini mungkin sangat sukar ditemui dan ia juga kurang diminati kerana jarang didengar serta diketengahkan.

Hari ini, warisan syair hanya dapat dilihat dan dibaca sebagai teks manuskrip. Antara tajuk-tajuk syair lama Melayu ialah seperti Syair Siti Zubaidah, Syair Pelanduk Jenaka dan Syair Perahu.

Satu daripada genre syair terkait dengan kesenian Islam ialah syair yang mempunyai nilai dan ingatan untuk berdakwah serta mengajar masyarakat tentang Islam.

Syair berkait dengan ajaran tentang Islam mempunyai empat bait ayat yang disusun dengan baik mengikut format dan gaya syair Melayu.

Iaitu setiap perkataan hujungnya mempunyai bunyi yang sama. Malah pemilihan perkataan juga adalah secara langsung tidak sukar untuk difahami dan ada yang disusun dalam bentuk penceritaan serta jenaka.

Gaya penulisan kreatif ini menjadikan isinya sesuai untuk setiap lapisan umur sama ada untuk pengajaran atau untuk diulang kaji.

Terdapat syair-syair lama ini dilagukan melebihi 100 tahun yang lalu.

Antara bait-bait syair berkaitan dengan nilai dan ajaran Islam yang digunakan dalam syair Melayu lama ialah seperti di bawah yang dipetik daripada Syair Syurga:

“Nahi jangan kamu hampiri,

Amarnya buat setiap hari,

Selagi ada akal berdiri,

Di alam barzakh nikmat diberi,

Rukun kelima rukun sembahyang,

Datanglah rahmat malam dan siang,

Ramai seperti menonton wayang,

Malam yang gelap serasa siang”

Dalam menjadikan syair lebih menarik, penceritaan seperti perbualan unggas turut digunakan bagi menyampaikan pesanan tentang ajaran Islam seperti yang terkandung dalam Syair Unggas Bersoal Jawab.

Dalam syair ini pelbagai jenis burung diketengahkan sebagai watak yang mengajarkan perkara-perkara asas tentang ajaran Islam seperti rukun solat, wuduk, berbuat baik, kepentingan ilmu dan kehidupan di alam barzakh.

Selain mengajarkan, ia turut menyelitkan sindiran, ingatan bagi yang membaca dan mendengar, tetapi dalam bentuk bahasa yang mudah serta indah seperti berikut:

“Bersoal jawab berganti-ganti,

Supaya ilmu kita nan pasti,

Barang siapa tiada mengerti, Bolehlah segera kita tuntuti,

Kebanyakan kita di dalam dunia,

Banyak yang hidup dengan sia-sia,

Akan Allah tiada percaya, Mabuklah dengan tekebur dan ria”

Pengajaran dan perkongsian menggunakan syair adalah kaedah pendidikan tidak formal yang mampu menyampaikan isinya kepada golongan masyarakat tanpa mengira umur.

Ia boleh disampaikan secara berkumpulan atau berseorangan baik lelaki mahupun perempuan yang mempunyai kemahiran melagukan syair.

Kaedah ini juga mampu membantu golongan buta huruf dalam kalangan ahli masyarakat dewasa pada masa dahulu untuk sama-sama mempelajari tentang agama sambil berhibur.

Ini adalah antara kaedah dakwah menggunakan warisan tradisi yang dekat dan difahami oleh masyarakat bersesuaian dengan zaman.