Sebagai umat Islam, produk yang halal lagi baik (halalan toyyiba) perlu menjadi pilihan utama manakala sumber haram dan syubhah perlu dijauhi dan dihindari.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan haram itu jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (meragukan) yang orang ramai tidak mengetahuinya. Sesiapa menghindari perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara diharamkan...” - Riwayat Bukhari

Antara yang perlu diberikan perhatian adalah penggunaan bahan ramuan dalam pembuatan makanan dan minuman.

Ini kerana, terdapat pelbagai jenis bahan ramuan yang digunakan untuk meningkatkan kualiti dari segi rasa, rupa bentuk dan memanjangkan jangka hayat sesuatu produk.

Maklumat berkaitannya boleh didapati pada bahagian belakang botol atau kotak pembungkusan. Ada dinyatakan dengan jelas, tetapi apa yang menjadi masalah jika sekadar meletakkan kod tertentu.

Antaranya bahan ramuan yang ditandakan dengan kod E. Kod E untuk bahan tambah (aditif) dan ia selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah.

Bahan aditif itu dikategorikan sebagai selamat dimakan dan jika ada sebarang penambahan dilakukan dalam kuantiti yang sedikit bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, pemprosesan, penyediaan serta pembungkusan makanan.

Namun, jika ia merupakan produk tempatan dan mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai kod E.

BERHATI-HATI KOD E

Sebaliknya, jika produk itu bukan tempatan dan tidak mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia walaupun menggunakan kod E yang sama, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati atau lebih baik jika ditinggalkan terus.

Gesaan sedemikian perlu kerana terdapat segelintir peniaga tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna seperti pemalsuan logo halal atau menggunakan logo itu pada produk haram.

Walaupun matlamat berniaga untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, tetapi aspek keberkatan dan keikhlasan tidak boleh dipandang remeh kerana tanpa kedua-duanya boleh dianggap mengkhianati masyarakat.

Bagi membantu pengguna Islam terutama menangani isu syubhah dalam makanan dan minuman, maka penggunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia adalah panduan terbaik.

Menjadi tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk memastikan makanan, minuman dan barang kegunaan seharian mendapat pengesahan halal.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah: 168, bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”