Namun, di saat berada di puncak kariernya sebagai seorang ‘taikun’ media disegani, Allah menghadirkan hidayah kepadanya untuk mencintai al-Quran kira-kira lapan tahun lalu.

Mengimbau kembali peristiwa bersejarah itu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub berkata, sebagai seorang yang sudah lewat usia apatah lagi dikenali ramai, sudah tentu terbit perasaan malu untuk mempelajari al-Quran.

Sehubungan itu, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf itu mengambil keputusan belajar membaca al-Quran di Indonesia.

“Bapa saya sebenarnya seorang ustaz, tetapi entah bagaimana saya sendiri tidak berapa pandai membaca al-Quran. Adakah ini secara kebetulan, saya tidak pasti. Saya hanya tahu asas yang saya hafal dalam solat.

“Ketika berada di Indonesia, saya mula belajar membaca al-Quran dan memberi fokus sepenuhnya.

Alhamdulillah saya boleh membaca dan apabila memahami serta menghayati isi kandungnya, hidup saya berubah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Hussamuddin, hatinya tergerak memulakan gerakan menggalakkan orang ramai membaca al-Quran melalui kempen #QuranHour apabila mendapat tahu ramai dalam kalangan rakannya juga tidak pandai membaca kitab Allah itu.

BANGKITKAN UMMAH

Sementelah memiliki kilang percetakan sendiri, beliau nekad untuk menerbitkan al-Quran dengan reka bentuk lebih menarik, terjemahan lebih baik dan harga lebih murah supaya lebih ramai tertarik untuk mendekati mukjizat terbesar umat Islam itu.

Keuntungan hasil jualan al-Quran pula digunakan sebagai dana untuk menjayakan kempen #QuranHour.

“Hari-hari terakhir sebagai seorang seniman, saya hendak gunakan pengalaman yang ada untuk menimbulkan kebangkitan orang Islam menerusi al-Quran.

“Sekarang barulah saya faham kenapa dulu ayah saya biarkan saya tidak pandai baca al-Quran walaupun dia seorang ustaz.

“Rupa-rupanya dia mahu saya belajar dan mencari sendiri keseronokan belajar al-Quran supaya apabila saya sudah ada perniagaan dan ada kekuatan kewangan, saya boleh mulakan inisiatif seperti ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan beliau selanjutnya setelah memiliki kilang al-Quran dan mengasaskan kempen #QuranHour, Hussamuddin mahu memanfaatkan kedudukannya untuk wujudkan satu lagi program iaitu Sahabah al-Quran.

Program itu jelas beliau, merupakan rangkaian yang menghimpunkan individu dari pelbagai latar belakang yang mempunyai sistem operasi dan kerangka fikiran al-Quran.

“Kita mahu wujudkan satu suasana atau ekosistem al-Quran sekali gus menguatkan ukhuwah mereka yang berada dalam rangkaian Sahabah al-Quran,” jelasnya.