Perjalanan jauh ke kem pelarian memperlihat suasana yang lebih dahsyat berbanding perjalanan-perjalanan terdahulu. Kesibukan jalan raya dengan manusia, kenderaan, haiwan dan pelbagai macam benda lain seolah-olah di luar kebiasaan, mungkinkah kerana faktor hujan, kehadiran polis dan tentera dalam jumlah ramai menjadi penyebab?

Beberapa kali saya melihat anggota polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan awam. Anggota tentera menahan satu demi satu kenderaan keluar masuk kem termasuk kenderaan yang dinaiki.

Misi kemanusiaan saya bermula dengan masalah. Pembantu warga Bangladesh yang sepatutnya mengiringi perjalanan ini dari awal lagi sudah menarik diri dengan alasan tidak munasabah dan digantikan dengan seorang warga Bangladesh yang kurang dikenali. Sebelum itu, seorang warga tempatan yang menemani kami sewaktu membeli barangan untuk pelarian juga tergesa-gesa meninggalkan kami. Sebaik sahaja tiba di kem, pembantu ini juga mengundur diri.

Akhirnya seorang rakan warga Rohingya yang pernah bekerja di Malaysia dan boleh berbahasa Melayu sudi menolong untuk meneruskan misi yang sudah ditetapkan. Adakah ini petanda buruk?

Kami tidak dihiraukan

Kem Kuthupalong menempatkan kira-kira 200,000 pelarian Rohingya. Sudah lima bulan saya meninggalkan kem ini dan keadaannya meskipun kelihatan sama tetapi sebenarnya ada perbezaan. Begitu juga dengan kem Balukhali yang lebih besar penempatannya dengan sekitar 300,000 pelarian.

Ringkasnya, suasana di kem pelarian kini sudah berbeza berbanding beberapa kali misi kemanusiaan terdahulu.

Keadaan di kem agak tenang. Jika dahulu manusianya tanpa mengira umur dan jantina sibuk berjalan ke sana ke mari tanpa tujuan yang jelas, sibuk mencari buluh, sibuk membina rumah dan bangsal untuk tempat tinggal, mendapatkan bantuan dan sebagainya, kini pemandangan itu sudah berkurang.

Hiruk pikuk manusianya juga jauh berkurangan, aktiviti penghuninya juga tidak sesibuk dahulu, malah kehadiran saya tidak dipedulikan, masing-masing dengan urusan sendiri.

Kenapa begitu? Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Apakah maksud semua ini? Adakah pelarian ini sudah tidak dihimpit masalah lagi? Adakah semuanya sudah terkawal dan selesai?

Sebenarnya, apa yang berlaku adalah petunjuk bahawa kem sudah menyerap pelbagai hirup-pikuk manusia dan ragamnya. Setelah lebih 13 bulan sejak bermula konflik pada Ogos 2017, kini kem dan pelarian sudah bersatu, ya inilah realitinya.

Saya dimaklumkan hanya bilangan kecil pelarian masih menyeberang masuk ke Cox’s Bazar dari wilayah bergolak Rakhine di Myanmar.

Meskipun begitu, ketenangan ini membawa maksud dan mesej berbeza, itulah yang sebenarnya terjadi. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.

Kisah kanak-kanak dengan lolipop

Kanak-kanak paling gembira meskipun hanya menerima sebiji lolipop yang diberi dalam keadaan mereka berebut-rebut untuk mendapatkannya. Mereka menjerit-jerit kegembiraan sambil berlari-lari pergi dan kemudiannya menyelinap masuk semula di celah rakan-rakan mereka yang masih belum dapat. Tidak cukup satu mereka mahukan lagi!

Begitulah gelagat kanak-kanak di kem pelarian ketika saya menyampaikan sumbangan bagi pihak beberapa penderma Malaysia. Kanak-kanak ini bersemangat menyebut ‘terima kasih Malaysia’ apabila disuruh berbuat demikian. Gembira melihat telatah mereka.

Menjadi pelarian di negara orang bukanlah mudah untuk makan meskipun sekadar lolipop. Dalam mesej yang lain, bukannya sukar untuk menolong dan menggembirakan orang lain yang dalam kesusahan.

Pemberian sumbangan terpaksa dipercepat setelah dimaklumkan adanya anggota keselamatan menuju ke arah kami.

Majoriti kanak-kanak pelarian kelihatan buncit perutnya, tanda banyak cacing. Ketiadaan vitamin dan zat daripada makanan harian yang bukan-bukan mendorong Isman Hijjaz mencari dana untuk membeli ubat cacing.

Alhamdulillah, kira-kira 2,000 kotak ubat cacing sumbangan rakan-rakan di Malaysia yang baik hati dapat dibeli. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Meskipun kanak-kanak ini teruja untuk menerimanya, namun tidak semua ibu bapa dan penjaga mahu menerimanya.

Alasannya, sesetengah daripada kanak-kanak ini sudah menerima ubat cacing daripada pihak-pihak tertentu, mereka bimbang akan timbul mudarat sekiranya ubat cacing diambil berlebihan. Sebelum ini, ada NGO dari Malaysia yang bantuan ubat cacingnya dirampas pihak berkuasa.

Bagaimanapun, masalah ini berjaya diselesaikan, hanya kanak-kanak yang belum mengambilnya akan menerima ubat cacing dengan pemantauan ibu bapa masing-masing.

Apa yang berlaku menjelaskan keadaan bahawa kanak-kanak ini sudah didatangi badan-badan kemanusiaan atau sudah mendapatkannya di hospital meskipun jumlahnya saya percaya sangatlah kecil.

Alhamdulillah usaha murni ini diharap dapat membantu kesihatan kanak-kanak pelarian yang terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan.

Kisah disoal siasat empat lelaki

Ketika sedang minum petang, kami didatangi empat lelaki tempatan yang kemudiannya menyoal siasat kami. Dari mana, apa tujuan, mana pasport dan pelbagai soalan lain.

Meskipun tidak meminta tanda pengenalan mereka, tetapi saya percaya mereka adalah mata-mata atau anggota polis tempatan.

Setelah menerangkan dengan baik, kami dibenarkan beredar meskipun rakan kami warga Rohingya ditahan. Dia dengan linangan air mata merayu agar dilepaskan.

Pada malam kejadian, saya membaca Khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang kenalan Malaysia di sana. Mesej dihantar pada pukul 2.30 petang itu tertulis, ‘Sila keluar sebelum 3 petang dari kem. Pihak berkuasa mengadakan operasi membanteras jenayah. Semua warga asing dinasihatkan beredar.’