Hakikatnya ramai yang tidak menyedari, bukan hanya diundang dengan disediakan pelbagai kemudahan dan ganjaran, sebaliknya mereka juga terpaksa bersusah payah, di samping melaburkan sejumlah wang sendiri bagi misi dakwah.

Itulah yang dilakukan oleh bekas peserta dakwah realiti, Imam Muda, Mohd. Fakhrurrazi Hussin, 30, dalam usaha berdakwah kepada seramai mana mungkin masyarakat di negara ini.

Tidak terhad pada lokasi atau golongan tertentu, graduan Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Sains dan Teknologi, Yaman itu lebih memfokuskan usaha mengembangkan agama Islam kepada golongan pedalaman yang berstatus bukan Islam.

Tidak sesekali mengharap layanan istimewa, sebaliknya beliau pernah diugut bunuh selain dicaci maki dengan pelbagai ungkapan kesat dan diminta untuk tidak kembali menyampaikan ajaran Islam ke beberapa kawasan.

Berkongsi pengalaman tersebut, Farkhrurrazi berkata, insiden itu berlaku ketika dia bersama pertubuhan dakwah dan kebajikan yang disertai berjaya menarik beberapa individu memeluk Islam ketika.

“Malangnya, keputusan yang dibuat oleh individu tersebut tidak disenangi dan tidak mendapat persetujuan oleh ahli keluarga mereka. Perkara itu mengundang kemarahan dan kami sebagai orang yang bertanggungjawab mengislamkan individu tersebut menjadi sasaran.

“Rentetan daripada itu, saya sendiri pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan memberi amaran diugut bunuh oleh individu yang tidak dikenali selain diminta untuk tidak kembali menyampaikan ajaran Islam ke dalam kawasan itu lagi.

“Perkataan caci maki pula sudah lali didengari oleh pelbagai pihak yang tidak sukakan Islam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun baginya, bukan itu cabaran utama, tetapi untuk mendidik hati agar ikhlas dan sabar dalam berdakwah menjadi penghalang utama baginya untuk menanamkan nekad dan semangat dalam menyampaikan dakwah.

“Menyertai program dakwah realiti bukanlah satu peluang untuk diambil kesempatan. Sebaliknya berbekalkan sedikit populariti yang ada boleh dijadikan kelebihan dalam menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan dan diterima masyarakat umum.

“Sebaliknya pelbagai dugaan yang mendatang dilihat dari sudut yang positif iaitu bagi merasai sunah perjuangan dakwah Rasulullah SAW yang juga menerima pelbagai ujian daripada kaum Quraisy ketika ingin menyampaikan dakwah kepada golongan Jahiliah ketika itu.

“Segala dugaan itu juga akan menjadi kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila usaha yang dilakukan berhasil ketika mendengar ungkapan syahadah daripada orang yang didakwah,” ujarnya.

TIDAK hanya tertumpu kepada usaha dakwah, Fakhrurrazi turut dilantik sebagai Pengerusi Kelab Relawan Duat (Rindu) yang berfungsi memupuk kesedaran masyarakat umum khususnya beragama Islam terhadap kepentingan dan tanggungjawab berdakwah.

Terdiri daripada peserta Imam Muda, artis, pendakwah dan pelajar, beliau berkata, usaha dakwah bukan hanya terletak kepada individu tertentu, tetapi semua manusia yang bergelar Muslim.

Justeru katanya, Rindu menyediakan platform untuk melatih masyarakat bagi turut sama menjadi agen dakwah Islam dengan membawakan penceramah yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang masing-masing.

“Menerusi kelab Rindu ini, kita akan berkongsi dengan peserta yang mengambil bahagian berkenaan kaedah untuk menyampaikan dakwah yang betul dan berkesan.

“Ini penting kerana dakwah perlu disampaikan dengan cara yang betul bagi memudahkan lagi untuk diterima oleh golongan sasar, selain mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini.

“Dalam kursus ini, peserta akan mengenali kepelbagaian bangsa dan budaya dan juga agama yang terdapat di negara ini dalam mencari kesamaan daripada kepelbagaian tersebut,” katanya.

Fakhrurrazi berkata, antara program yang dianjurkan Kelab Duat termasuk kursus berperingkat dan juga dakwah di lapangan.

“Terdapat tiga modul asas ditawarkan iaitu mengenal agama, kaedah pendekatan dan praktikal yang setiap kursus selama tiga hari dua malam.

“Antara penceramah undangan bagi membincangkan topik seperti pendakwah terkemuka Adam Lawrence, Rafiq Ravi, Imam Muda Asyraf yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing,” jelasnya.

Info

Fakhrurrazi

Peserta program dakwah realiti, Imam Muda musim kedua

Bergiat dalam dakwah sejak belajar

Memfokuskan dakwah kepada golongan pedalaman

Menggemari aktiviti lasak

Seorang yang ceria dan peramah