Tapi aku tak mampu. Ya, adakala aku merasakan diri bukan suami yang baik. Mengabaikan keperluan dan kehendak isteri semata-mata mahu memenuhi kehendak ibu.

Aku tahu, sekalipun mulut isteri membenarkan, namun di sudut hatinya dia kecewa. Apa yang harus aku lakukan?

Sejak berkahwin, belum pernah lagi hujung minggu ku diluangkan untuk isteri secara bersama-sama.

Walaupun teringin juga berjalan berdua-dua, namun acap kali jualah hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Setiap hari Jumaat, panggilan ibu akan berdering. Ada sahaja alasannya untuk menyuruh aku balik ke rumah.

Adakala isteri menolak untuk ikut serta balik ke rumah ibu. Aku faham. Dia juga perlukan ruang untuk melepaskan lelah hujung minggu setelah penat bekerja. Bahkan turut mengharapkan agar kami dapat meluangkan masa bersama-sama.

Namun setiap kali itulah hasratnya tidak tercapai. Timbul rasa kasihan dan kesal di dalam diri. Aku sudah sedaya upaya mengelak, namun masih belum berjaya menepis kehendak ibu.

Pernah juga si isteri mencadangkan agar kami pergi bercuti. Tapi, setiap kali perancangan bercuti dibuat, setiap kali itulah si ibu dapat menghidu. Apa lagi, dah tentulah aku perlu membawanya bersama apabila dia meluahkan hasrat untuk ikut serta. Tak sampai pula hati untuk menghampakan hasratnya. Isteri? Dia hanya diam seribu bahasa.

Aku tahu, ibu masih sukar untuk melepaskan aku kerana aku satu-satunya zuriat yang dia ada. Tapi ibu juga harus faham bahawa aku juga telah menjadi milik orang lain. Aku juga ada tanggungjawab sebagai suami.

Aku juga tahu bahawa tanggungjawab anak lelaki terhadap ibunya adalah satu keutamaan. Apa lagi yang boleh aku lakukan. Menjaga kedua-dua hati membuatkan aku dalam dilema.

Aku mengharapkan si isteri dapat memahami. Tapi aku tahu, sampai bila dia harus bersabar dengan ku.

TIP KAUNSELOR

  • Hidup berumah tangga menuntut kematangan diri lebih-lebih lagi bagi anak lelaki. Sebagai ketua keluarga dalam rumah tangga yang dibina, dia juga perlu menjaga hak ibunya ke atas dirinya. Ini jelas apabila Islam meletakkan kedudukan untuk taat kepada si ibu adalah selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.
  • Sebagai suami dan ketua rumah tangga, bersifat adil kepada isteri dan anak-anak termasuk kepada keluarga juga adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Perlu bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan berhemah ketika mengeluarkan pandangan.
  • Sesungguhnya setiap perlakuan, perbuatan atau apa sahaja yang kita lakukan akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak. Firman Allah maksudnya: “Pada hari itu Kami tutup mulut mereka; dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.” (Yaasin: 65)
  • Berbincang dengan baik saat meluahkan keperluan diri dan keluarga di hadapan ibu, bukanlah satu kesalahan. Perbanyak berdoa agar si ibu dapat memahami keperluan anak dan menantunya.
  • Menghubungi ibu dengan kerap akan mewujudkan rasa kasih sayang antara anak dan ibu. Apabila ini dapat dilakukan, maka rasa kehilangan dalam diri si ibu tidak akan wujud.
  • Selalulah memberikan si ibu hadiah agar tidak timbul rasa prasangka bahawa kasih sayang anaknya telah beralih kepada si isteri sebaik si anak bernikah. Ingatlah, reda seorang ibu itu akan menjamin kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

PANDANGAN KAUNSELOR

Hidup berumah tangga hakikatnya penuh dengan cabaran dan dugaan. Mustahil kalau sesebuah rumah tangga itu tidak diuji. Ujian, cabaran dan dugaan, itulah sebenarnya mengajar kita untuk menjadi seorang yang matang.

Apatah lagi apabila kita membina kehidupan dengan insan yang hanya dikenali dalam beberapa tahun atau mungkin bulan, pasti banyak kelemahannya tidak diketahui. Inilah yang harus kita hadapi dan terima seadanya.

Yang pasti, dalam fasa mengenali hati budi masing-masing terutama dalam tempoh tiga bulan pada awal perkahwinan, adakala membuatkan kita menjadi goyah. Akan ada sahaja nilai-nilai atau perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan prinsip diri selama ini.

Di sinilah menuntut seseorang untuk banyak bersabar dan berfikiran terbuka. Bukan mudah untuk mengajak orang lain menerima apa yang kita mahu. Lebih-lebih lagi pada awal perkahwinan, masing-masing punya ego yang mahu dipertahan.

Apatah lagi apabila melibatkan soal keluarga. Cara didikan keluarga yang berbeza pastinya membuatkan kita kekok dengan nilai-nilai yang mereka terap.

Lantas dalam situasi sebegini, cubalah sedaya upaya untuk bersifat empati terhadap pasangan. Pasangan yang saling memahami apa yang dirasakan oleh pasangannya, akan dapat mengelak berlakunya ketegangan dalam rumah tangga. Berbincang dan berkomunikasilah dengan baik agar masing-masing dapat bertindak dengan matang.

Apa pun, sebaik sahaja lafaz akad nikah disahkan, masing-masing harus tahu peranan masing-masing. Mengutamakan keluarga itu tidak salah, namun dalam masa yang sama, perlulah bersifat adil kepada pasangan.

Kalau perlu, bawalah berbincang secara baik dengan si ibu agar dia juga boleh memahami keperluan anak dan menantunya. Berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan mengakibatkan satu keadaan yang lebih teruk.

Tidak dinafikan, ikatan antara anak dengan ibu cukup kuat. Berilah masa, untuk si ibu memahami bahawa si anak juga sudah menjadi kepunyaan orang lain. Sememangnya si anak menjadi hak si ibu selama-lamanya, namun dalam masa yang sama, berilah ruang untuk si anak membina kehidupan mereka sendiri.

Hadirkan diri saat diperlukan. Bertolak ansur dalam semua perkara, agar perasaan hormat dan sayang antara satu sama lain tidak akan luntur.