Mari kita renungi firman Allah menuntut umat Islam menghargai mata zahir bagi membuka mata hati yang menjadi pintu iman dan yakin:

Ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan bumi daripada segala kejadian menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya. Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (menyampaikan perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya,” (Yunus 10:101).

Berjalan, mengembara dan mengambil ibrah tempat orang mampu membuka mata hati sebagaimana firman Allah maksudnya: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya melihat kesan umat lampau dan alam semesta, mereka menjadi orang yang ada hati jantung dan dengannya dapat mereka faham atau ada telinga yang dengannya dapat mereka dengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi buta itu ialah mata hati dalam dada.” (al-Hajj 22:46).

Banyak lagi ayat lain menyarankan kita melihat alam ciptaan Allah antaranya dalam Surah al-Baqarah 2:164, Ali ‘Imran 3:191, al-A’raf 7:185, al-Naml 27:51-52, al-‘Ankabut 29:20, al-Ghasiyah 88:17-20.

Benar! Sudah lama kita terkurung dalam penjara telefon pintar yang semakin hari kian ‘tidak memintarkan’ kita. Tanpa sedar, ia sudah menjadi ‘oksigen tiruan’ yang memberi kesan sampingan yang besar kepada akhlak, hubungan sosial dan kesihatan tubuh badan.

Lihat sahaja ketika bersama, semua mata tertumpu pada skrin kecil telefon pintar seakan ia lebih jauh mempesona daripada bumi ciptaan Allah yang maha luas.

Skrin telefon pintar seakan sudah menyihir fikiran manusia. Mereka terpesona melihat yang palsu sehingga lupa barang asli di sekeliling. Belum lagi dikira radiasi peranti itu yang saban hari menyentuh mata dan tubuh manusia.

Ramai kanak-kanak terpaksa bergantung harap pada kaca mata akibat ketagihan melihat skrin gajet moden. Sungguh! Ini adalah satu pandemik yang perlu ditangani segera.

Untuk itu, sudah sampai masanya untuk kita bebaskan diri daripada penjara maya ini dan melihat alam dari sudut pandang sebenar sang retina mata. Jangan dipandang enteng dengan mata zahir! Ia mampu menjadikan mata hati kelabu berkarat diconteng syaitan.

Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya pandangan mata (kepada perkara haram) adalah satu panah iblis beracun. Sesiapa meninggalkannya kerana takutkan Aku (Allah), maka Aku akan menggantinya dengan iman yang dirasai kemanisan dalam hatinya.” - Riwayat Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani


JEJAK HAMKA


Baru-baru ini penulis bersama sekumpulan peminat buku dan sejarah Nusantara yang menamakan diri mereka ‘Komuniti Jejak Tarbiah’ meluangkan masa selama empat hari di Padang, Sumatera Barat, Indonesia.

Ziarah ini kami namakan sebagai ‘Jejak Hamka’. Banyak tempat dikunjungi seperti Pusat Kebudayaan Minangkabau, Perpustakaan Haji Rasul Amrullah iaitu bapa kepada Buya Hamka, rumah kelahiran Hamka serta beberapa lokasi lain.

Kami turut didedahkan dengan kebijaksanaan tempatan dalam kerangka masyarakat Minangkabau. Kami kagum dengan jati diri mereka serta sistem hidup masyarakat Melayu Minangkabau yang unik.

Antara lokasi lawatan paling memberi kesan kepada kami adalah ziarah ke dua lokasi indah iaitu kemuncak Lawang dari atas Danau Maninjau dan Nagari Tuo Pariangan yang punyai kecantikan desa luar biasa.

Puncak Lawang yang berketinggian 1,210 meter dari aras laut, kami melihat keajaiban ciptaan Allah. Tampak jelas betapa dahulunya Danau Maninjau sebuah kawah gunung berapi. Segar saujana mata memandang mendesak jiwa untuk mengucapkan lafaz Subhanallah tanpa paksa!

Benar sekali firman Allah ini ertinya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pertukaran malam serta siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk atau semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka,” (Ali ‘Imran 3:190-191).

Rasa sama turut kami kecapi ketika berada di Puncak Mortir yang terletak di kaki Gunung Merapi dalam daerah Nagari Tuo Pariangan. Daerah ini pernah dinobatkan antara lima desa tercantik dunia.

Tepat sekali penobatan itu kerana penulis terbayang gambaran syurga akhirat ketika melihat kawasan sekeliling. Aliran air gunung menyelusuri parit berhampiran sawah padi sangat segar. Jika dicedok ke mulut akan terasa tawar segarnya tanpa sebarang pencemaran.

Pun begitu, syurga akhirat masih jauh bezanya dengan tempat ini sebagaimana hadis Rasulullah maksudnya: “Rasulullah bersabda, bahawa Allah berfirman; Aku sudah sediakan untuk hamba-Ku yang soleh (nikmat) yang belum pernah dipandang mata, belum pernah didengar oleh telinga, dan belum pernah terlintas oleh fikiran manusia. Maka bacalah jika kamu mahu ayat ini (bermaksud); Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) sangat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal soleh mereka kerjakan.” (Sahih al-Bukhari)

Memang tiada kata, tiada bahasa indah atau syair pujangga yang mampu menjelaskan keindahan alam ciptaan Allah yang dianugerahkan di bumi Padang. Bahkan pena pujangga akan tumpul, lidah penyair akan kelu tergamam apabila diselaputi keindahan alam ciptaan Allah di Danau Maninjau dan Puncak Mortir.

Berhentilah sekejap! Simpan segala gajet. Gunakan gajet asli pada deria lihat, dengar, hidu dan rasa! Lakukan ‘detoks digital’ dengan terapi alam ciptaan Allah agar segala racun digital berhenti merebak.

Terapi alam ini pula jangan dihentikan hanya pada kanvasnya, tetapi kagumi dan sembahlah Penciptanya itu. Inilah fikir yang menjadi zikir, lantas zikir itu akan mendesak rasa hamba agar segera hadir!