Dendam kesumat, hasad dengki, permusuhan dan kebencian adalah penyakit berbahaya. Ia bukannya ‘koleksi rasa’ perlu disimpan dalam hati. Walau sedap pada rasa dek kerana tambahan ‘perencah syaitan’, ia seumpama barah yang memakan hati saban hari.

Orang beriman juga tidak terkecuali daripada terkena jangkitan penyakit ini. Jika tidak, masakan orang beriman pun boleh berselisih pendapat dan bermasam muka sesama mereka.

Bukti paling terang bahaya penyakit ini adalah janji Allah yang akan membuang jauh perasaan ini daripada jiwa ahli syurga. Jika ia baik, sudah pasti Allah tidak akan membuangnya.

Firman Allah ertinya: “Sesungguhnya orang yang bertakwa adalah ditempatkan dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman”. Dan Kami cabut akan apa yang ada dalam hati mereka perasaan hasad dengki (permusuhan dan kebencian) sehingga jadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk saling menghadap di atas pelamin.” (al-Hijr: 45-47).

Syurga adalah tempat istimewa yang sangat suci. Ia tidak lagi dicemari dengan sistem perkumuhan fizikal seperti yang berlaku di dunia.

Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “(Ahli syurga) tidak kencing, tidak buang air besar, tidak meludah, tidak berhingus, sikat mereka daripada emas, peluh mereka seharum kasturi, fizikal mereka seperti fizikal ayah mereka iaitu Adam a.s. setinggi 60 hasta ke langit.” - Sahih Bukhari dan Muslim

DICABUT DI SYURGA

Amat canggung jika sebuah tempat suci seperti syurga dicemari oleh penyakit batin yang sungguh busuk itu seperti dengki, dendam, benci dan marah.

Oleh sebab itu, Allah mencabut segala penyakit hati sesama penghuni syurga agar syurga itu kelak menjadi suci putih sesuci-sucinya. Penyucian hati ahli syurga daripada sebarang penyakit hati diulang sebut dalam firman Allah yang lain ertinya:

“Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki (permusuhan dan kebencian) daripada hati mereka, (dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiq-Nya); sesungguhnya telah datang Rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga diberikan kamu warisi dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.” (al-A’raf:43).

Paling tepat bagi menggambarkan maksud ayat ini adalah kisah perang Jamal. Perang ini berlaku selepas kewafatan Khalifah Uthman r.a. iaitu antara pihak Sayidatina Aishah r.a., Talhah r.a. dan al-Zubayr r.a. dengan pihak Sayidina Ali r.a.

Ia berlaku disebabkan banyak faktor antaranya salah faham dan hasutan musuh dalam selimut. Dalam perang ini Talhah dan al-Zubayr mati dibunuh oleh pihak Ali. Selepas perang itu anak Talhah iaitu ‘Imran bin Talhah masuk bertemu Ali.

Ali kemudiannya berkata: “Aku sangat berharap agar hubunganku dengan ayahmu (Talhah) seperti apa yang disebut oleh firman Allah ini; (dibacakan ayat al-Hijr 15:47)” - Tafsir al-Tabari

BENCI JADI KASIH

Pelik juga jika mahu difikir, bagaimana segala kebencian boleh bertukar menjadi kasih sayang? Lihat ayat ini:

Allah berfirman ertinya: “Ahli syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang tangan daripada perak; dan mereka diberi minum oleh tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.” (al-Insan: 21)

Ahli syurga minum daripada air yang bersih lagi suci. Tidak mustahil jika dikatakan air suci itu akan mengubah struktur tubuh ahli syurga sehingga menjadikan tubuh mereka tidak lagi memerlukan sistem perkumuhan seperti wujud di dunia.

Justeru, tidak hairanlah ahli syurga tidak lagi membuang air kecil atau besar selama-lamanya. Malah, peluh mereka bertukar harum bak kasturi (Tafsir al-Tabari).

Juga tidak mustahil air suci ini turut menyucikan jiwa mereka bersih daripada segala macam rasa dendam, hasad, marah dan benci.

Selepas ini jika api dendam, marah dan benci terhadap teman kita mulai menyala, segeralah padamkannya dengan siraman ilmu, iman dan takwa. Mohonlah keampunan daripada Allah agar apinya segera bertukar menjadi bara dan abu.

Jangan sampai ‘gelojak api itu’ menyukarkan laluan kita ke syurga.