Dalam sebuah hadis Nabi SAW menyebut ujian dunia dan wanita (atau jantina berbeza) sangat bahaya dan sukar dihadapi:

“Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Israel adalah pada (godaan wanita),” - Sahih Muslim.

Ujian godaan jantina berbeza sukar dihadapi manusia kerana mereka dicipta lemah: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah,” (al-Nisa’ 4:28).

Sifat lemah manusia pada ayat ini membawa maksud lemah ketika berhadapan dengan nafsu berlainan jantina (Tafsir Jalalayn).

Oleh itu, sesiapa yang tak mampu ‘secara kewangan’ berkahwin dengan wanita merdeka dibenarkan berkahwin dengan wanita hamba kerana mahar wanita hamba lebih murah (lihat ayat 25 surah al-Nisa’). Mengapa kelonggaran kahwin hamba diberikan Allah dalam ayat ini? Tidak lain kerana manusia dicipta lemah ketika berhadapan godaan jantina berbeza. Itu konteks sebenar perkataan ‘manusia lemah’ dalam ayat 28 di atas. 


GODAAN JANTINA

Ketika berhadapan godaan jantina berbeza, Allah mengajar panduan kepada kita daripada dua kisah berbeza dengan dua jantina berbeza. Mari kita lihat dua situasi ini:

1. Lelaki digoda wanita. Situasi ini pernah berlaku kepada Nabi Yusuf a.s. yang digoda isteri ‘Aziz Mesir:

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup semua pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku (atau tuanku yang juga suami kamu wahai wanita) telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya,” (Yusuf 12:23).

Tindakan Baginda yang segera ingat kepada Allah seiring dengan sebuah hadis Nabi SAW:

“Ada tujuh golongan yang bakal dilindungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari (kiamat) yang tiada naungan melainkan naungan-Nya sahaja iaitu:

  • Pemimpin yang adil
  • Anak muda yang membesar dalam ibadat kepada Tuhannya
  • Lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
  • Dua lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerananya
  • Lelaki yang digoda (berzina) oleh wanita yang memiliki pangkat dan kecantikan lalu dia berkata “sesungguhnya aku takutkan Allah"
  • Lelaki yang menyembunyikan sedekahnya sehingga (seakan-akan) tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya
  • Seorang lelaki yang mengingati Allah secara bersendirian lalu mengalirlah kedua-dua air matanya (kerana gentarkan Allah),” - Sahih Bukhari dan Muslim.

2. Wanita yang didatangi lelaki asing. Situasi ini disebut Allah dalam kisah kedatangan Jibril a.s. yang menjelma masuk kamar Maryam a.s. dalam rupa seorang lelaki:

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam Kitab al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya daripada mereka, maka Kami hantarkan kepadanya: Roh daripada kami (malaikat Jibril a.s.) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa,” (Maryam 19:16-18).

Kedua-dua ayat ini menunjukkan Yusuf dan Maryam adalah manusia pilihan Allah yang dikurniakan sifat takwa yang tinggi. Takwa seumpama ‘penggera kecemasan’ yang mengingatkan mereka kepada Allah:

“Sesungguhnya orang yang bertakwa, apabila mereka diganggu (bisikan) oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar),” (al-A’raf 7:201).

BAHAYA NAFSU

Setelah takwa mereka mengambil alih akal yang dikepung godaan berbahaya, mereka segera meminta perlindungan daripada satu-satu Tuhan yang mampu menjaga mereka.

Walaupun miliki iman seteguh gunung yang tak mampu dirempuh oleh sesiapa, mereka tetap mohon keselamatan kepada Allah kerana faham antara makhluk jahat yang paling mudah mengkhianati manusia adalah nafsunya sendiri. Tambah bahaya apabila nafsunya berjaya ditunggang syaitan yang sentiasa mencari dan mencuri peluang:

“Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang yang rugi,” (al-Mujadalah 58:19).

Dua situasi terdahulu adalah bentuk godaan jantina berbeza yang berlaku secara fizikal di dunia hakiki. Bagaimana pula godaan dalam ruang maya seperti media sosial?

Ledakan media sosial yang mengambil alih peranan ruang fizikal nampaknya jauh lebih mengancam dan bahaya.

Wanita dan lelaki boleh terdedah kepada ‘khalwat maya’ dan ‘godaan lain jantina’ di mana sahaja mereka berada. Teknologi moden telefon pintar membuka segala batas dan dinding pemisah sehingga manusia boleh ‘ditelanjangkan' di mana-mana sahaja.

Oleh itu, kita yang hidup dalam zaman fitnah ini lebih utama memohon perlindungan Allah daripada ditunggangi syaitan. Semoga Allah selamatkan kita semua.