Panorama kerja-kerja tersebut dianggap penting bagi projek pemulihan artifak sejarah Mesir yang sebelum ini diabaikan atas pelbagai sebab.

Antaranya, pengabaian itu disebabkan protes bagi menggulingkan diktator Hosni Mubarak pada 2011 dan pergolakan politik serta ekonomi yang melanda negara itu.

Tetapi pada bulan lalu, kerja pemulihan masjid era Dinasti Mamluk itu dimulakan kembali. Kerja-kerja sama turut dilaksanakan terhadap sebuah masjid kurun ke-14 iaitu Masjid al-Maridani.

Projek pemulihan di Tapak Bersejarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 1979 itu turut merangkumi kira-kira 600 monumen bersejarah lain.

Tetapi usaha untuk membaiki dan membaik pulih kerosakan berabad-abad lama itu sesuatu yang sangat sukar. Pihak berkuasa Mesir bertungkus lumus untuk memperoleh dana untuk projek itu.

Mereka bukan hanya berdepan dengan pemotongan peruntukan tahunan dan konflik militan sebelum ini juga telah menakutkan para pelancong untuk berkunjung ke Kaherah.

Bagi Ketua Aga Khan Trust for Culture, Luis Monreal, kerja-kerja membaik pulih artifak sejarah kawasan itu ibarat projek yang tidak ada kesudahannya.

“Apabila siap di satu bahagian, kamu kena mulakan semula pada bahagian lain bermula daripada kosong,” katanya.

KEMEROSOTAN PANTAS

Selepas kejatuhan Mubarak pada 2011, banyak bangunan tradisional dirobohkan dan digantikan dengan struktur lot komersial setinggi enam hingga lapan tingkat.

Walaupun rompakan artifak bersejarah dan pembinaan haram telah berkurangan, tetapi menurut pihak berkuasa, tapak sejarah utama Mesir itu masih dicengkam dengan pencemaran teruk, dan jalan rayanya dipenuhi dengan longgokan sampah.

Selain itu, UNESCO telah memberi amaran beberapa kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung peningkatan kemerosotan pada artifak atau objek bersejarah di Kaherah itu.

Pada 2017, Jawatankuasa Warisan Dunia itu menggesa pihak berkuasa Mesir untuk mengambil langkah yang diperlukan bagi menghentikan kemerosotan pesat di seluruh kawasan berkenaan.

Menteri Kepurbaan Mesir, Khaled el-Enany ketika mengadakan lawatan pada Oktober lalu untuk memantau kerja pemulihan tersebut mengakui bahawa isu peruntukan antara cabaran utama yang dihadapi dalam usaha tersebut.

“Ia juga adalah satu fakta apabila ramai yang menyatakan barangan antik Islam itu kini berada dalam keadaan sangat teruk,” katanya.

Walaupun sektor pelancongan kini telah mula meningkat selepas dilaporkan turun pada 2011 - dicatatkan sebanyak 8.2 juta orang yang melawat Mesir pada 2017 - tetapi masih jauh di belakang sebelum tahun konflik itu yang mencatat kira-kira 14.7 juta orang.

Justeru, kerja-kerja pemulihan tersebut bergantung kepada sumbangan dana asing. Kazakhstan menaikkan sumbangannya kepada AS$5.5 juta (RM23.1 juta) bagi membiayai kerja pemulihan di Masjid Baybars.

Sementara itu, Kesatuan Eropah menyumbang 1.2 juta euro (RM5.64 juta) untuk masjid al-Maridani dan begitu juga dengan Yayasan Aga Khan yang menyumbang sebanyak 133,000 euro (RM625,100). – AFP