Dalam bicara sedih kewafatan Baginda, orang Melayu sering didedahkan bahawa lafaz terakhir Baginda sebelum dijemput Allah adalah lafaz kerisauan tentang nasib umatnya. “Sudah agak lama lafaz “Ummati! Ummati! atau “Aduhai umatku” disemat di hati orang Islam.

Lafaz kecaknaan Baginda ini seakan-akan menusuk menikam hati kecil kita sehingga tikaman itu membuahkan kecintaan bersulam kesedihan. Lalu hati kita berkata: “Aduh! Mulia sekali hatimu Ya Rasulullah! Sehingga nafasmu yang terakhir pun, keprihatinanmu tetap terjurus pada kami.” Kenangan ini pastinya menitiskan air mata bagi orang beriman.


BETULKAH?

Persoalannya, adakah benar itu lafaz paling penghujung yang dituturkan oleh Baginda?

Benar sekali, kadang-kadang ilmu warisan sangat sukar disanggah. Masyhur pada lidah seakan-akan sudah menjadikannya suatu ilmu pasti lagi sahih. Sebarang cubaan teguran pasti mengundang sanggahan.

Walaupun pahit, yang salah perlu ditegur. Yang bengkok perlu diluruskan kerana inilah warisan sebenar Baginda SAW.

Baginda meninggalkan agama yang sentiasa tegak teguh dengan hujah dan fakta. Islam bukan agama penglipur lara yang nampak seakan-akan benar setelah digarap dengan seni penceritaan atau sinematografi penuh meyakinkan. Sebaliknya Islam adalah agama fakta. Gunung sekalipun akan runtuh apabila fakta merempuhnya.

l Dalam sebuah hadis Aisyah r.a. menyebut:

“Baginda Rasulullah SAW ketika masih sihat pernah berkata: Para nabi tidak diambil nyawanya sehinggalah dia melihat kedudukannya dalam syurga kemudian dia (nabi tersebut) akan diberikan pilihan. Apabila Rasulullah SAW sedang sakit yang membawa kepada kewafatannya ketika kepala Baginda SAW berada di atas paha Aisyah Baginda pitam. Apabila tersedar Baginda SAW membeliakkan matanya ke arah bumbung rumah kemudian berkata: Ya Allah! ke pangkuan yang tertinggi,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

l Dalam hadis lain, sebelum mengucapkan perkataan di atas, Rasulullah mengucapkan:

“Bersama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para nabi, orang yang benar (imannya), orang yang mati syahid, serta orang yang soleh (al-Nisa’ 4:69),” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Berdasarkan kedua-dua lafaz tersebut dapat disimpulkan bahawa ketika hampir wafatnya, Baginda Rasulullah SAW membuat pilihan untuk kembali ke pangkuan yang tertinggi di sisi Allah bersama roh manusia pilihan yang terdiri daripada para nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang yang soleh.

Adapun lafaz ummati dalam versi yang sahih diucapkan oleh Baginda SAW jauh sebelum kewafatannya. Dalam sebuah hadis disebut:

“Abdullah bin Amru bin al-‘As meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW membaca firman Allah yang mengisahkan doa Nabi Ibrahim a.s. yang bermaksud: Wahai Tuhanku, berhala itu telah menyebabkan sesat banyak antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat)” (Ibrahim 14:36).

Juga doa Nabi Isa a.s. yang bermaksud: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Ma’idah 5:118).

Baginda lalu mengangkat dua tangannya sambil berdoa: Ya Allah Umatku, umatku. Lalu Baginda menangis. Allah berfirman: Wahai Jibril pergilah kepada Muhammad (sedang Tuhanmu lebih mengetahui) dan tanyakan padanya apa yang membuatkan kamu menangis. Jibril pun mendatangi Rasulullah, lalu Baginda memberitahu Jibril (sebab tangisannya). Allah kemudiannya berfirman: Wahai Jibril pergilah kepada Muhammad dan katakan padanya: Sesungguhnya Kami akan meredaimu pada umatmu dan tidak akan berlaku buruk padamu,” (Sahih Muslim).

Hadis ummati versi sahih yang disebutkan dalam Sahih Muslim ini menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan Rasulullah SAW kepada umatnya. Selain itu, ia juga menunjukkan kemuliaan yang khusus diberikan kepada umat Baginda SAW berikutan tangisan Baginda.

Cinta kepada Rasulullah SAW adalah tanda iman yang wajib dimiliki semua Muslim. Bagaimanapun, iman itu tidak akan bererti jika hanya berpaut pada cerita warisan yang tidak sahih. Ia seumpama yakin selamat ketika bergantung hanya pada sebatang ranting yang rapuh.

Baginda SAW mendidik kita agar berpegang kepada nas dan dalil yang sahih. Ia adalah syiar dan tunggak Islam. Berpegang teguh kepada yang sahih termasuk antara makna cinta kepada Baginda SAW.

Ayuh kita bugarkan cinta ini dengan yang sahih.