Hakikatnya, tidak semua pelaburan haram dan meragukan, malah ulama telah menggariskan beberapa kriteria yang perlu dipastikan sebelum membuat pelaburan bagi membolehkan umat Islam memilih syarikat mematuhi syarat pelaburan syariah.

Bagi berkongsi strategi pelaburan dan pendedahan saham patuh syariah, Asri Ahmad Academy Sdn. Bhd. (AAA) baru-baru ini menganjurkan Simposium Saham Syariah 2018 (SSS 2018) di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pengarah AAA, Asri Ahmad berkata, menurut statistik Bursa Malaysia, daripada 900 syarikat yang disenaraikan, terdapat 694 berstatus syarikat patuh syariah.

“Peluang yang ada sangat besar dan dengan jumlah dagangan harian mencecah RM2 bilion ringgit setiap hari mengapa tidak kita mengambil peluang serta ruang melabur di tempat yang betul,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program itu.

Beliau berkata, masyarakat terutama pelajar perlu selidik terlebih dahulu dan jangan terlalu teruja serta terpedaya dengan janji manis bulan bintang yang ditawarkan sesetengah skim pelaburan.

“Cuba fahami produk yang ingin terlibat dan apa risiko bakal dihadapi sebelum meneruskan sesuatu pelaburan itu.
 “Orang ramai boleh merujuk kepada Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana kedua-dua badan ini bertindak memastikan segala pelaburan itu betul atau tidak di samping sentiasa memberi maklum balas atau amaran kepada masyarakat tentang pelaburan berunsur penipuan,” ujarnya.

Program dengan kerjasama Bursa Malaysia-i, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM)- UUM, RHB Investment Bank dan Lembaga Zakat Selangor itu dihadiri seramai 1,500 peserta.

Selain Asri, simposium dibarisi tokoh pelaburan saham antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; Timbalan Pengerusi Eksekutif DNEX Berhad, Datuk Samsul Husin; Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mahummar Gadaffi Sorilaut Omar; Presiden Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA), Nik Ihsan Raja Abdullah dan Pengasas serta Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan MyFinB, M. Nazri Muhd.

Pelbagai topik menarik berkisar pelaburan saham dibincangkan seperti Strategi Pelabur Bijak, Khazanah Kekayaan di Bursa Malaysia, Merancang Persaraan dan Market Outlook dan Menyatukan Manusia dan Mesin Untuk Berjaya Dalam Pelaburan.
Pada program itu, Mahummar Gadaffi membincangkan topik Peruntukan Saham Khas Bumiputera dalam Agenda Pemerkasaan Pemilikan Ekuiti Bumiputera.

Ini kerana ramai tidak tahu bahawa golongan bumiputera berpeluang membeli saham yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia menerusi Initial Public Offering (IPO) lebih awal daripada orang lain.

KOLABORASI ULAMA


Selain itu, program turut disertai oleh tokoh agama seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Shukri Yusoff; penceramah bebas dan amil profesional, Ahmad Husni Abd. Rahman; penceramah bebas dan Pelabur Bursa Malaysia, Haslin Baharin dan Syed Norhisyam Tuan Padang.

Topik-topik yang dibincangkan adalah Melabur Tanpa Ragu, Kenapa Perlu Kaya?, Kaya Dunia Akhirat (Jutawan Dunia, Hartawan Akhirat), Pelaburan dan Produk Patuh Syariah dan Pelaburan vs Perjudian.

Kolaborasi julung kali diadakan antara pemain industri pelaburan saham dan tokoh agama dilihat sebagai suatu usahasama yang baik kepada masyarakat.

Dengan adanya program seperti ini diharapkan dapat menarik minat lebih ramai pelabur di Malaysia khususnya golongan bumiputera. Ini bagi membolehkan mereka melihat sendiri potensi yang ada bagi pelaburan patuh syariah seterusnya mula melabur.

Asri berkata, membawakan pakar-pakar agama dan mereka yang terlibat secara langsung dalam pelaburan saham, penganjuran simposium kali ini dibawakan dengan konsep berbeza.

Tambahnya, menerusi penjelasan ilmuwan agama, diharapkan merungkai segala kekeliruan sekali gus dapat membuka mata lebih ramai orang untuk melabur tanpa ragu-ragu.

“Kesedaran masyarakat dalam pelaburan saham adalah di tahap yang baik. Statistik Bursa Malaysia mendapati peningkatan berlaku khususnya dalam kalangan golongan bumiputera. Pendedahan ini perlu diteruskan kerana masyarakat masih tertarik dengan skim pelaburan yang salah.
“Kita mengharapkan dengan pendedahan ini dapat melahirkan lebih ramai pelabur bijak dan mereka dapat memahami tentang risiko serta peluang dalam pelaburan saham yang sah sekali gus terlibat dalam pelaburan tersebut.
“Sebab itu kita beri pendedahan awal agar pelajar terutama yang mengambil jurusan berkaitan kewangan dan pelaburan saham memahami keadaan sebenar pasaran saham dan mereka boleh mengamalkan ilmu dipelajari,” jelasnya.

Beliau berkata, program itu juga merupakan satu agenda pemerkasaan ekonomi dalam pemilikan ekuiti bumiputera berikutan ketika ini pemilikan ekuiti mereka masih berada di tahap rendah.

“Kita ingin melihat lebih banyak pelaburan oleh bumiputera agar pemilikan ekuiti dapat ditingkatkan. Kerajaan sendiri menggalakkan supaya rakyat ada pendapatan sampingan bagi menghadapi kos sara hidup,” ujarnya.