Pendek kata, sebarang perkara berkaitan sekolah tidak lagi menjadi perhatian mereka. Malah, ramai beranggapan, inilah masanya untuk berehat, berseronok dan melakukan sesuatu yang digemari akibat kekangan masa dan peluang sewaktu sesi persekolahan berlangsung.

Bagaimanapun, sebagai ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak agar terus leka dan mensia-siakan masa lapang berharga tersebut, sebaliknya memanfaatkan dengan aktiviti berfaedah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Dua nikmat yang sering memperdaya manusia: kesihatan dan kelapangan masa.” - Riwayat Bukhari

Ungkapan ‘masa itu emas’ sering disebut-sebut bagi menggambarkan betapa berharga masa lapang. Ini kerana perkara paling berharga setelah memiliki iman dan Islam dalam diri adalah masa.

Menerusi al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan masa sebagai peringatan bahawa pentingnya masa kepada manusia.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr: 1-3)

Ini menunjukkan masa adalah nikmat Allah yang sangat bernilai. Imam Fakhruddin al-Razi ketika mentafsirkan surah al-Asr berkata: ‘Seolah-olah Allah bersumpah bahawa masa dan waktu itu adalah nikmat yang berhasil, tiada aib padanya, yang rugi dan aib itu adalah manusia’. (Tafsir al-Kabir)

JADI ORANG BIJAK

Orang bijak adalah orang yang menggunakan masa sebaik-baiknya. Dalam hal ini, peranan ibu bapa adalah perlu bagi memastikan anak-anak dapat melakukan aktiviti bermanfaat sepanjang cuti persekolahan.

Biasanya, anak-anak mempunyai perancangan tersendiri bagi mengisi waktu mereka. Apa yang diharapkan, ibu bapa dapat memantau aktiviti anak-anak agar tidak terjerumus ke arah perkara negatif membabitkan kerosakan moral dan akhlak apatah lagi berkaitan dengan akidah.

Ibu bapalah penentu dan mencorakkan masa depan anak-anak. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.” - Riwayat Bukhari

Sebenarnya, pelbagai aktiviti boleh diisi sepanjang cuti persekolahan antaranya seperti:

1. Imarah masjid

  • Libatkan anak-anak untuk menyertai aktiviti masjid seperti solat berjemaah, kelas pengajian, hafazan al-Quran, kelas-kelas fardu ain.

2. Rehlah dan berkelah.

  • Melalui aktiviti ini, dapat memberi peluang kepada mereka mengenali dunia luar, sekali gus melihat keindahan alam ciptaan Allah.

Firman Allah dalam surah al-An’am ayat 11 maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

3. Kem cuti sekolah

  • Program ini biasanya memuatkan pelbagai aktiviti berasaskan motivasi pembinaan dan pembangunan serta sahsiah diri, kerohanian, akhlak dan ibadah. Di samping mendapat ilmu dan pengalaman anak-anak dapat mengenali ramai kenalan baharu.

4. Ziarah menziarahi

  • Terutama ahli keluarga dan sanak saudara supaya dapat mengenali dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengukuhkan ukhuwah.

Sebagaimana saranan Rasulullah maksudnya: “Siapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah menyambung hubungan silaturahim.” - Riwayat Bukhari

Jangan sesekali membiarkan anak-anak menghabiskan masa cuti sekolah dengan perkara tidak berfaedah. Ini kerana perkara negatif sebenarnya tidak membantu dalam memperkembang potensi diri bahkan memberi kemudaratan kepada diri anak itu sendiri.

Sebagai contoh menonton siaran dan program televisyen tanpa pengawasan, bermain permainan video dan telefon pintar tanpa had masa serta berjumpa atau keluar bersama kawan-kawan sehingga lewat malam.

Pengawasan dan pemantauan ibu bapa sangat penting bagi mengelakkan anak-anak mendapat kemudaratan serta terlibat dengan gejala tidak bermoral.

Perkara ini telah diperingat oleh Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, serta tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

Setiap mukmin yang bertakwa akan menghargai setiap detik dan masa. Seterusnya, peranan ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak untuk lebih menghargai masa amat penting demi kecemerlangan mereka di dunia dan di akhirat.