Terbaru, Perkim Cawangan Bukit Damansara (PCBD) menziarahi ibu tunggal yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur bagi menghulurkan bantuan.

Malina Muhammad, 49, berkata, dalam kejadian tersebut dia terhidu bau hangit dan terlihat percikan api dari atas siling rumahnya lalu menyambar ruangan bilik tidur utama.

Dia yang ketika itu sedang bersiap untuk pergi kerja bergegas keluar dari rumah bersama anaknya untuk mendapatkan pertolongan. Bagaimanapun api marak menyebabkan dia gagal menyelamatkan segala dokumen penting dan barang bernilai dengan anggaran kerugian berjumlah RM10,000.

“Alhamdulillah, syukur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran selang beberapa minit dibantu orang ramai,” katanya.

Malina bekerja sebagai pembantu kedai di kawasan berhampiran untuk menyara tiga anaknya iaitu Nurul Najihah Mamat, 20; Muhammad Aidil Nadzri, 18 dan Nurul Nabilah, 16.

Selain Perkim, wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut menziarahi Malina sekeluarga dengan menawarkan penempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong.

Dia turut mendapat sumbangan daripada Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, wakil Ahli Parlimen Batu, kariah surau dan penduduk setempat serta beberapa individu persendirian.

Rombongan Perkim diketuai Pengerusi PCBD, Datuk Abdul Hanif Harun dan yang turut serta Naib Pengerusi PCBD, Datin Puteh Kalsom Shamsuddin serta Setiausaha Kehormat PCBD, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Pada majlis itu, PCBD turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,500 kepada Malina.

Sementara itu Abdul Hanif berkata, ziarah kebajikan seperti ini perlu dilaksanakan lebih kerap bagi membentuk kerohanian mangsa yang mengalami kesulitan di samping mengelakkan mereka berasa terabai.

BANTU MANGSA KONFLIK

Dalam pada itu, PCBD turut menziarahi mangsa konflik rumah tangga, Noor Sarah Sulaiman Kanesan, 31, yang menetap di bilik kecil rumah kedai saudara baharu, bertempat di Taman Jejaka 5, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Akibat tidak bersefahaman dan keretakan rumah tangga menyebabkan Sarah bersama dua anaknya, Nur Anissa Sofia Abdullah dan Nazim Zafran tekad melarikan diri daripada suaminya.

Sarah yang mendirikan rumah tangga pada Ogos lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, membuat keputusan untuk tinggal berasingan kerana tidak menemui jalan perdamaian.

Dia yang sedang mengandung lima bulan ditemani kakak kandungnya, Siti Raziah Sulaiman Kanesan mendiami bilik sewa itu sejak Disember tahun lalu dengan sewa RM400 sebulan.

Akibat kurang pendapatan, Sarah memerlukan kelengkapan bantuan bagi keperluan anaknya seperti lampin pakai buang, susu tepung dan pakaian.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun bank Maybank bernombor (164164896462) atas nama Noor Sarah binti Sulaiman Kanesan.

Pada ziarah itu, PCBD menyampaikan sumbangan sebanyak RM400 kepada Sarah.

BANTU PESAKIT TERLANTAR

Destinasi ketiga membawa rombongan PCBD ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menziarahi mualaf yang terlantar akibat jatuh di bilik air.

Tachayene Rajamani atau nama Islamnya Siti Mariam Abdullah, 17, terpaksa bersengkang mata untuk mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di katil wad ortopedik 6P HKL bermula 13 November dan berakhir 5 Disember lalu dalam kesakitan.

Menurut ibunya, Siti Rafiedah Veronica Abdullah, Mariam telah dibawa ke klinik dan hospital beberapa kali untuk membuat rawatan susulan selepas kejadian tersebut, bagaimanapun doktor gagal menemukan punca kesakitan pada kaki kiri Mariam.

Malangnya, kaki Mariam mula membengkak selepas beberapa minggu sebelum dikejarkan ke zon merah hospital kerana mengalami sesak nafas akibat jangkitan kuman pada kaki yang telah membusuk.

Kini, Mariam mampu menarik nafas lega setelah menjalani empat sesi pembedahan yang melibatkan pembuangan kulit dan pembedahan pemindahan kulit dari bahagian tubuh lain.

Siti Rafiedah yang merupakan ibu tunggal kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menyara lima anak termasuk Mariam.

Rafiedah memerlukan bantuan bagi menampung kos keperluan Mariam seperti lampin pakai buang, keperluan perubatan bulanan dan kos perubatan harian.

Mariam masih dalam pemantauan dan kawalan pihak hospital untuk beberapa bulan.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam bernombor (14014021025816) atas nama Siti Rafiedah Veronica Abdullah atau menghubungi talian 016-9796979.

Dalam kunjungan itu, PCBD menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM300 kepada Mariam.