Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya menghubungkan silaturahim sesama ahli keluarga terdekat mahupun yang jauh.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat memperkata mengenainya, juga dalam hadis-hadis Nabi SAW yang sangat memberikan perhatian terhadap hubungan ini.

Ini adalah bukti jelas betapa pentingnya silaturahim. Umat Islam sewajarnya cakna terhadap hubungan ini khususnya dalam zaman serba moden apabila masing-masing dengan dirinya sendiri, sehingga ramai daripada kalangan anak-anak buah tidak mengenali sesama mereka. Bagaimanakah nanti keturunan seumpama ini bakal menjaga pertalian keluarga mereka pada masa akan datang?

Menyedari kepentingan kekuatan umat Islam itu, kira-kira 13 tahun lalu, satu inisiatif dilaksanakan hingga tertubuhnya Majlis Silaturahim Keluarga Keturunan Haji Awang Kemachi dan Keluarga Wan Puteh Mentuan (Maswapem) oleh Siti Aishah Mat Ali, 72, iaitu generasi kedua daripada keturunan tersebut.

Keturunan Maswapem dikatakan bermula kira-kira 153 tahun lalu di Kampung Kemachi, 10 kilometer jaraknya dari Kota Bharu, Kelantan. Lelaki itu ialah Awang @ Wan Nawang bin Ismail bin Ludin yang dilahirkan sekitar 1864 dan meninggal dunia pada 1924 dengan keturunannya berasal dari Yunan, China.

Beliau mempunyai akhlak terpuji dan arif dalam ilmu agama. Pada usia muda iaitu sekitar 30-an diberikan kepercayaan menjadi Imam Mukim Binjai, bersebelahan Kampung Kemachi pada 1894.

Pada masa ini terdapat lebih 1,000 ketua keluarga Maswapem di seluruh negara dengan anggaran bilangan zuriat melebihi 5,000 orang,” katanya.

Untuk menyantuni sebegini ramai ahli keluarga, Maswapem setiap tahun mengadakan majlis silaturahim di Kuala Lumpur dan Kelantan dengan memfokuskan kepada tarikh-tarikh penting kalendar Islam seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Aidiladha dan Aidilfitri serta Awal Muharam untuk diisi dengan agenda pertemuan.

Baru-baru ini, sempena sambutan Awal Muharam, bertempat di Kampung Mentuan, Kota Bharu, Kelantan diadakan Majlis Perdana Kacau Bubur Asyura Maswapem membabitkan lebih 300 ahli keluarga daripada 12 jelujur keturunan keluarga berkenaan.

Siti Aishah berkata, sebanyak 10 buah kawah bubur asyura dimasak menggunakan resipi istimewa turun temurun keturunan Maswapem yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Selain itu, acara selingan untuk memeriahkan majlis turut diadakan seperti sukaneka merebut kerusi oleh kanak-kanak dan dewasa.

“Apa yang menarik dalam majlis itu tiga kawah daripada bubur asyura itu dimasak dengan dapur ghomo menggunakan kayu api sepenuhnya,” katanya.

Teknik ghomo ialah digali satu lubang kecil sedikit daripada kawah dan dua parit kecil turut digali memanjang bagi dimasukkan kayu api. Dapur jenis ini sebenarnya semakin berkurangan digunakan apabila kini semakin ramai memilih dapur jenis tungku.