“Lima perkara ini ada atau tidak dalam Islam? Pertama doa. Adakah sampai doa kita untuk orang mati? Mestilah sampai. Kalau tak sampai doa untuk orang mati, tidak akan diajar oleh Nabi kepada Aisyah r.a. untuk berdoa kepada ahli kubur dengan menyampaikan salam,” jelas pendakwah terkenal dari negara jiran, Indonesia, Ustaz Abdul Somad Lc MA.

Beliau yang merupakan pendakwah bebas berkata, memberi salam terbahagi kepada tiga. Salam jenis pertama wajib dijawab, salam kedua tidak boleh dijawab dan salam ketiga, kita tidak ingin mendengar jawapannya.

Jelasnya, salam jenis pertama yang wajib dijawab itu adalah salam daripada seorang insan kepada insan lain, manakala salam jenis kedua yang tidak boleh dijawab adalah salam yang diucapkan oleh imam semasa mengakhiri solat.

“Salam ketiga yang tidak ingin didengari jawapannya adalah salam yang disambut oleh ahli kubur. Kalau dijawab, kita yang mati,” katanya berjenaka kepada kumpulan hadirin yang hadir mendengar ceramahnya.

Mengulas lanjut berhubung penganjuran majlis tahlil atau arwah, beliau menegaskan, perkara kedua yang ada dalam penganjuran majlis arwah atau majlis tahlil adalah bacaan ayat suci al-Quran.

Soal beliau, adakah sampai sedekah bacaan ayat suci al-Quran dalam majlis arwah itu kepada orang mati? Jawapannya mestilah sampai.

“Imam Nawawi berkata dalam kitab Majmuk Sarah Muazab, Nabi mengajar untuk mencucukkan pelepah kurma di atas kubur. Pelepah kurma ini bertasbih dan tasbih yang diucapkan oleh pelepah kurma itu sampai kepada orang mati.

“Jika tasbih pelepah kurma pun sampai kepada orang mati, apatah lagi bacaan al-Quran orang yang beriman,” katanya sinis.

Tambahnya, Ibn Umar r.a. berpesan, katanya apabila aku mati nanti, bacakan pada bahagian kepala aku pangkal surah al-Baqarah, manakala pada bahagian kakiku, hujung surah al-Baqarah dan pesanan beliau itu tercatat dalam kitab Ar-Ruh.

Tegasnya, penulis kitab Ar-Ruh itu ialah Ibn Qayyim al-Jauziah dan beliau adalah anak murid kepada Ibnu Taimiyyah.

“Ibnu Taimiyyah dalam kitab Majmuk Sarah Muazab ada menyatakan, bacaan al-Quran yang ditujukan kepada orang mati adalah sampai,” katanya.

Menjelaskan berhubung penganjuran majlis tahlil, beliau menegaskan, perkara ketiga yang ada di dalam majlis seumpama itu adalah bab menyediakan makanan.

“Adakah sampai atau tidak sedekah (memberi makanan) itu? Ketika Jaafar r.a. meninggal dunia, Nabi menyuruh membawa makanan untuk ahli keluarga Jaafar.

“Dahulu orang Melayu bila ada orang meninggal dunia, mereka datang membawa beras, bawa air dan ada yang datang bawa gula. Supaya apa? Supaya ahli keluarga ditimpa musibah itu tidak berhadapan dengan kesusahan.

“Tapi jika dia kaya dan mahu menyediakan makanan, maka dia berkata, ini bukanlah harta pinjaman dan harta ini bukan juga harta fakir miskin, ini kami sebagai anaknya yang kaya ingin bersedekah. Bolehkah? Sampai tak amalan bersedekah ini?,” katanya.

Menjelaskan perkara keempat, beliau menyatakan ada atau tidak sebarang sesi tazkirah pada penganjuran majlis tersebut?

Katanya, tazkirah atau pesanan ringkas kepada ahli keluarga yang meninggal itu supaya bersabar menerima dugaan Allah SWT.

Menurutnya, setiap kita sebagai umat Islam tahu bahawa azab kubur itu pedih dan membuatkan kita berasa susah hati dan risau tentang si mati.

Maka perlu diberi pesanan buat ahli keluarga untuk banyak bersabar dan mendoakan yang terbaik buat si mati agar dilindungi dengan rahmat Allah.

Perkara yang terakhir katanya, setiap yang hadir ke majlis arwah atau bacaan tahlil perlu menunjukkan susah 
hati dan sedih dengan dugaan yang menimpa ahli keluarga si mati.

Malah berusaha memberi semangat dan kekuatan kepada ahli keluarga dengan menyenangkan hati mereka, sekali gus menjadikan kehadiran kita sebagai tanda sokongan yang kuat.

“Jika di dunia si arwah banyak kawan, maka masa hari kematian pun, dia masih ramai kawan yang hadir, selain dapat memberi penghormatan terakhir dan mendoakan yang baik-baik kepada arwah,” katanya.