Larangan ini banyak disebut di dalam al-Quran dan hadis yang menegah umat Islam menjatuhkan maruah diri dengan hanya mengharapkan simpati serta ihsan orang lain sahaja. Nabi SAW mengingatkan perkara ini dengan sabdanya dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam r.a. bahawa Baginda bersabda:

“Tangan yang di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima). Dahulukanlah orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-baik sedekah adalah yang lebih daripada keperluan tanggungannya. Sesiapa menjaga kehormatan dirinya (daripada meminta-minta), maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya dan sesiapa yang merasa cukup, maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya,” - Riwayat Bukhari.

Bahkan, seseorang yang malas berusaha dan hidupnya hanya meminta-minta ihsan orang lain akan dibangkitkan pada hari akhirat dalam keadaan tanpa daging pada wajahnya. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

“Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pundi wajahnya,” - Riwayat Bukhari.

ELAK LANGGAR SYARIAT

Sesungguhnya Islam menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari nafkah dengan pelbagai cara selagi tidak melanggar syariat. Kita juga disuruh supaya bersikap ta’affuf (memelihara diri daripada minta-minta), sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 273:

“Pemberian sedekah itu ialah bagi orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

Ayat ini diturunkan untuk menceritakan kepada kita tentang sikap mulia sebahagian sahabat Nabi SAW yang terdiri daripada orang miskin, tetapi mereka tidak mengharapkan bantuan orang lain walaupun mereka sangat memerlukan. Sehingga orang yang tidak mengenali keadaan sebenar kehidupan sahabat Nabi SAW menyangka bahawa mereka adalah orang kaya disebabkan mereka menjaga kehormatan diri daripada meminta-minta kepada orang lain.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada hamba-hamba-Nya yang berusaha dan bekerja untuk memberi nafkah kepada keluarganya. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

“Dinar (harta) yang kamu belanjakan pada jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.” - Riwayat Muslim.

MANFAATKAN KELEBIHAN

Bagi mereka yang suka meminta-minta sedangkan tubuh badan masih sihat wajiblah berusaha sedaya upaya untuk mencari pekerjaan. Gunakan segala kemahiran, kekuatan yang dimiliki dan peluang yang ada demi memperoleh hasil pendapatan untuk menyara diri serta keluarga, Ingatlah! Allah tidak akan mengubah nasib hamba-Nya sehinggalah dia berusaha untuk mengubah nasib dirinya sendiri.

Sesungguhnya, hasil yang diperoleh melalui apa jua kemahiran yang ada itu lebih baik dan mulia daripada bersikap malas serta hanya meminta-minta kepada orang lain. Ini berdasarkan hadis daripada Zubair bin Awwam r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya seseorang daripada kalangan kamu mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar di atas belakangnya, kemudian dia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada orang lain, sama ada mereka memberinya atau tidak memberinya.” - Riwayat Bukhari.

Bagi mereka yang malas dan sengaja enggan bekerja, masyarakat sewajarnya memberikan nasihat dan bimbingan kepada mereka supaya jangan bersikap malas dan hanya mengharapkan simpati orang ramai semata-mata.

Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. pernah memberi nasihat dan menegur segolongan rakyatnya yang salah faham terhadap konsep tawakal dan berserah semata-mata tanpa usaha. Katanya: “Siapakah kamu semua ini?” Mereka menjawab, “Kami orang yang bertawakal”. Sayidina Umar menyatakan dengan tegas, “Kamu berbohong!”

"Orang bertawakal yang sebenar ialah orang yang menanam biji benih kemudian bertawakal kepada Allah. Janganlah kamu malas mencari rezeki dan hanya berdoa “Ya Allah, berilah aku rezeki” sedangkan dia tahu langit tidak akan menurunkan hujan dinar dan dirham.”

“Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara ghaib dan nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (al-Taubah : 105).