Apatah lagi mendapat sokongan hebat daripada gandingannya iaitu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang tampil sebagai pemimpin dunia pertama mengucapkan tahniah atas kemenangan tersebut.

Tindakan Netanyahu mengumumkan untuk merampas Tebing Barat Palestin dalam janji pilihan raya pada 7 April lalu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Mengapa?

Pertama, Netanyahu sememangnya seorang yang anti Islam. Latar belakangnya selama ini menjadikan beliau antara pemimpin yang akan menjadi ‘duri dalam daging’ dalam hubungannya dengan Palestin.

Kedua, kerana adanya gandingan ideal dengan Trump yang juga terkenal sebagai individu anti Islam, dilihat mampu merealisasikan cita-cita Zionis sekali gus mengakhiri ‘impian emas’ mereka selama ini iaitu untuk mendirikan tanah air mutlak atas kemusnahan dan darah rakyat Palestin.

Gandingan kedua-dua pemimpin ini sudah beberapa kali sengaja ‘menyakiti Palestin dan umat Islam’ dengan pelbagai pengumuman dan tindakan.

Trump, apabila dilantik sebagai presiden Amerika Syarikat pada 2017 tidak mengambil masa lama sebaliknya dengan angkuh mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel yang baharu menggantikan Tel Aviv meskipun dicemuh masyarakat antarabangsa.

Setelah Trump, tiba giliran Netanyahu untuk terus ‘menyakiti’ Palestin. Gaza diserang berkali-kali sementara ratusan rakyat Palestin mati dibunuh, cedera dan ramai yang ditangkap termasuk kanak-kanak dan wanita tidak berdosa.

Netanyahu mengarahkan tenteranya menembak sesiapa sahaja kalangan rakyat Palestin dalam peristiwa ‘Great Return March’ sejak Mac 2018. Masjid al-Aqsa juga menjadi sasaran, ribuan pelampau Yahudi yang dikawal tentera dan polis Israel dibawa memasuki dan melakukan ritual agama dalamnya.

Jelas dalam masa yang singkat, gandingan Netanyahu-Trump sudah membuat beberapa tindakan ‘gila’ terhadap Palestin yang ternyata melanggar undang-undang antarabangsa tanpa sebarang tindakan daripada mana-mana pertubuhan keamanan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

SUDAH DIRANCANG

Jika ditinjau dari sudut sejarah, semua ini bukannya satu kebetulan sebaliknya rancangan untuk menawan Tebing Barat adalah Pelan Strategik Jangka Panjang Zionist sejak 1897 yang dicetuskan dalam Persidangan Bale, di Switzerland iaitu ‘First Zionist Congress’.

Persidangan itu antara bertujuan menubuhkan negara Yahudi mutlak di tanah Palestin. Umat Islam seharusnya mengenal manusia bernama Theodor Herzl dan Abraham Salz yang merupakan dua individu Yahudi menjadi dalang membakar semangat Zionisme seluruh dunia.

Malah, usaha kaum Yahudi untuk menduduki tanah Palestin telah dilakukan lebih awal iaitu pada 1882 menerusi ‘Friends of Zion’ dengan memohon kebenaran untuk tinggal di wilayah yang subur tersebut.

Sejak itu, pelbagai langkah telah disusun dan diambil untuk merealisasikan impian bagi penubuhan sebuah negara Yahudi di atas tanah Palestin.

Satu persatu usaha daripada pelan penubuhan negara Yahudi digerakkan secara terancang dan strategik sehingga berlakunya Perjanjian Balfour 1917, perisytiharan negara haram Israel pada 1948 dan banyak lagi.

Kini, Netanyahu membuat pengumuman untuk merampas Tebing Barat Palestin sepenuhnya. Regunya, Trump pula mengisytiharkan Bukit Golan di Syria sebagai wilayah rejim Zionis.

Kedua-dua pengumuman ini adalah perbuatan biadab lagi melampau yang boleh disifatkan sebagai isyarat ‘perang’ terhadap negara dan umat Islam keseluruhannya.

Rancangan jangka panjang Zionis juga menyasarkan untuk menghapuskan mana-mana pemimpin Islam yang diketahui boleh merosakkan impian mereka menawan Palestin.

Tidak hairanlah sejak awal-awal lagi pemimpin-pemimpin Palestin yang berani menentang dan mengangkat senjata seperti Sheikh Mohamad Yassin dan Abd. Aziz al-Rantisi ditentang dan dibunuh.

Malah, mana-mana pertubuhan yang dilihat mempunyai kemampuan anggota dan senjata seperti Hamas, Briged Al Qasam dan Hezbollah dilabel sebagai pertubuhan pengganas untuk diperangi.

PERSEDIAAN UMAT ISLAM

Persoalannya sejauh mana pemimpin dan umat Islam keseluruhannya sedar realiti ini dan sedia bertindak balas mempertahankan Palestin, al-Aqsa dan Islam keseluruhannya?

Masihkah mahu terus berdemonstrasi, memboikot dan menghantar memorandum bantahan? Hakikatnya, ia tidak menggentarkan musuh.

Masihkah mahu terus duduk berbincang dan bermesyuarat? Hakikatnya, musuh tidak pernah sekalipun mengendurkan hasrat dan cita-cita mereka untuk menawan Palestin atau mahu duduk berdamai!

Adakah pemimpin dan umat Islam hari ini berani dan bersedia? Rencana ini ditulis sekurang-kurangnya untuk menyedarkan umat Islam bahawa musuh semakin menghampiri cita-cita mereka, jika tidak bersedia untuk melawan, maka bersedialah untuk mati.