Firman Allah ertinya: “Bapa mereka (Nabi Yaakub) berkata: “Aku tidak sesekali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”. Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, dia berkata: “Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.” (Yusuf 12:66).

Para ulama tafsir berselisih pendapat tentang siapa nama anak Nabi Yaakub antara Ruwaybil, Yahuza atau Syam’un. Walau bagaimanapun, antara mereka ada yang paling bijaksana dan didengar cakapnya sebagai ‘ketua’. (Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Razi)

Setelah Bunyamin ditahan di Mesir atas rencana penuh bijaksana Nabi Yusuf a.s., anak-anak nabi Yaakub yang lain mengundur diri. Sebelum mengundur diri mereka terlebih dahulu merayu agar Bunyamin dibebaskan, namun permintaan itu ditolak Nabi Yusuf.

Hal ini diceritakan dalam al-Quran ertinya: “Mereka merayu dengan berkata: “Wahai datuk menteri! Sesungguhnya dia (Bunyamin), punyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambillah seorang antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu daripada orang yang sentiasa berbudi.” Yusuf berkata: “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami berada dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang zalim.” (Yusuf 12:78-79).

Subhanallah! Memang halus sekali bahasa al-Quran dan Nabi Yusuf. Baginda tahu Bunyamin tidak mencuri. Oleh itu baginda berkata, ‘orang yang kami dapati barang kami berada dalam simpanannya’ (hujung ayat).

Frasa ini menunjukkan Nabi Yusuf tidak menuduh Bunyamin mencuri sebaliknya barang yang hilang ditemui dalam karung Bunyamin. Boleh jadi seseorang meletakkannya di situ, namun ini tetap menjadi sebab Bunyamin perlu ditahan di Mesir.

Setelah gagal memujuk Nabi Yusuf, anak Nabi Yaakub yang lain pergi menyendiri sambil berbincang perihal nasib mereka.

Firman Allah ertinya: “Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang paling berusia atau paling bijaksana): “Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji daripada kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.” (Yusuf 12:80).

  • Malu jika gagal

Perhatikan dialog penuh tanggungjawab si ‘ketua’ dalam kalangan anak Nabi Yaakub ini. Ketika berhadapan dengan krisis kepercayaan ayahanda mereka, si ketua begitu bertanggungjawab sehingga sanggup kekal di Mesir untuk memantau keadaan Bunyamin yang berada dalam tahanan.

Beliau juga malu untuk pulang ke Kan’an bertemu ayahanda mereka kerana gagal menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan Bunyamin. Tambahan pula tanggungjawab itu bukan calang-calang kesannya. Ia sudah diikat dengan ‘sumpah dan aku janji’ yang menggunakan nama Allah sebagai Tuhan semesta alam.

Alangkah baiknya jika sikap bertanggungjawab sebegini dimiliki oleh pemimpin negara Islam. Mereka yang dilantik rakyat melalui proses pilihanraya pastinya memegang aku janji serta sumpah setia untuk menjalankan tugas dengan amanah.

Apabila gagal atau tidak mampu menjalankan tugas dengan amanah, mereka sepatutnya segera berhenti dan memberikan laluan kepada yang lain. Malangnya, sesetengah pemimpin negara Islam begitu culas dan bersikap seperti ‘pelepah pisang’ seakan mereka adalah pemimpin lantikan Allah, hanya akan meninggalkan jawatan setelah disentap keras atau dipangkas dengan parang.

Ingatlah! Usahkan kita sebagai orang Islam biasa, nabi Daud a.s. pun diberikan amaran keras agar memimpin dengan adil dan saksama:

Sebagaimana firman Allah ertinya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan allah) itu.” (Sad 38:26).

Lain pula halnya dengan sesetengah pemimpin bukan Islam. Mereka secara terbuka mengumumkan peletakan jawatan apabila gagal berkhidmat dengan adil dan amanah.

Nampaknya nilai murni Islam sudah berpindah ke negara bukan Islam, manakala sifat fasik pula semakin menebal pada hati sesetengah pemimpin yang mengaku beragama Islam. Ya Allah! Pada-Mu kami mohon perlindungan daripada para pemimpin fasik yang mampu menjahanamkan negara.