Walaupun tahu risiko yang bakal dihadapi, namun kerana minat di samping tanggungjawab untuk menyebarkan Islam kepada golongan di pedalaman mendorong mereka untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Bagi mereka, tiada kuasa mampu menandingi kehebatan Allah SWT dan sekalipun ditakdirkan berdepan pelbagai situasi sukar ketika berdakwah tidak sesekali melemahkan semangat mereka meneruskan usaha menyambung kerja Rasulullah.

Bagi pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM, Mawaddah Mohd. Mokhtar, 23, diberi kepercayaan mengendalikan misi dakwah di Kampung Lobong-lobong, Kota Belud, Sabah menambah siri pengalaman berharga buat dirinya.

Ini kerana katanya, kampung itu terkenal dengan amalan ilmu hitam lebih-lebih lagi bagi pendatang luar yang cuba membawa kepercayaan baharu selain kepercayaan budaya turun temurun nenek moyang penduduk keturunan etnik Dusun tersebut.

“Kami difahamkan amalan sihir masih aktif di kampung itu dan jika mereka mahu sesiapa sahaja orang luar boleh disihir pada langkah pertama menjejakkan kaki masuk ke kampung tersebut.

“Sehinggakan sesetengah pendakwah dan ahli jabatan agama Islam tempatan tidak akan mengambil risiko masuk ke kampung itu sembarangan tanpa kebenaran Tok Batin atau melalui wakil penduduk kampung,” katanya.

Kegigihan dakwah Mawaddah itu sekali gus melayakkan beliau menggondol anugerah Pendakwah Muda Cemerlang Antarabangsa 2019 pada program Anugerah Pendakwah Muda Antarabangsa di Brunei Februari lalu.

Selain cabaran itu kongsinya, beliau pernah menyeberangi Sungai Rajang di Sarawak dengan bertemankan pemangsa sungai iaitu buaya yang berada di bawah bot dinaiki.

Beliau bersama pendakwah lain ketika itu sedang dalam perjalanan untuk mengadakan program bersama penduduk sekitar Kampung Belaga untuk menyampaikan bantuan.

Walau bagaimanapun tambahnya, beliau bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kejadian berbahaya sejak mula aktif berdakwah dua tahun lalu dengan memfokuskan kepada masyarakat Orang Asli dan pedalaman seluruh negara.

“Apa yang penting adalah kita perlu perbetulkan niat, beradab dan mengikut segala tatacara ketika ingin masuk ke tempat orang. Dakwah perlu dilakukan dengan hikmah iaitu bukan dengan kekerasan tetapi contoh teladan yang baik.

“Alhamdulillah, setakat ini kunjungan saya bersama rakan pendakwah lain mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung, malah siapa tahu, disebabkan sikap kita yang baik dapat menarik minat penduduk tersebut untuk memeluk Islam,” ujarnya.

Berkat usaha itu, Mawaddah kini telah meng-Islamkan seorang penduduk kampung ketika berdakwah di pedalaman Sarawak pada November tahun lalu.

Minat dorong berdakwah

Sementara itu bagi penerima Anugerah Pendakwah Muda 2019, Muhammad Nabil Haris, 22, bermula sekadar minat mengembara dan bertemu orang ramai bagi melihat kepelbagaian budaya masyarakat mendorongnya untuk melaksanakan tanggungjawab berdakwah.

Anak keempat daripada sembilan beradik itu berkata, dorongan itu bertambah serius apabila dia mengenali Dr. Athiroh Masyaail Tan yang juga pensyarahnya dan bergiat aktif dalam menjalankan misi berdakwah seluruh negara.

Mengetepikan seketika gelora jiwa mudanya, bagi Muhammad Nabil, kelebihan usia muda itu dapat digunakan untuk menarik golongan sebaya, dalam masa sama mempunyai tenaga mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika berdakwah.

“Sasaran utama dakwah saya adalah kepada rakan-rakan sendiri dan yang seusia bagi mengajak mereka bukan sahaja mengamalkan hidup bersyariat tetapi turut sama berganding bahu melakukan kerja dakwah.

“Namun, tidak dinafikan inilah juga cabaran terbesar bagi saya untuk bersemuka dengan mereka yang kita kenali malah berjumpa setiap hari,” ujarnya.

Merupakan satu-satunya dalam keluarga yang aktif berdakwah, beliau bersyukur kerana diterima baik oleh ibu bapanya dan memberi sokongan kepadanya untuk terus berkhidmat.

Berkongsi pengalaman dilalui dalam berdakwah, Muhammad Nabil berkata tidak terkecuali daripada berdepan cabaran berbahaya yang boleh meragut nyawa.

“Ketika dalam perjalanan ke lokasi di Kampung Sumbilungon, Ranau, Sabah, saya menyaksikan sendiri di depan mata kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki rakan dakwah hampir tergelincir ke dalam gaung. Tidak mustahil kejadian sama berlaku kepada kenderaan saya naiki.

“Ditambah dengan cuaca buruk dan hujan lebat membuatkan laluan tanah merah memasuki perkampungan itu menjadi licin dan berbahaya apatah lagi bagi orang luar yang jarang melalui dan kurang mahir selok belok jalan sempit itu.

“Namun bagi saya, segala cabaran itu terubat apabila menerima sambutan mesra penduduk tempatan dan berpeluang berukhuwah bersama mereka,” katanya.

Ikut berdakwah sejak dua tahun

GOLONGAN kanak-kanak merupakan antara kelompok kumpulan yang kurang diberi perhatian bagi kebanyakan pendakwah ketika memasuki sesuatu penempatan, sedangkan antara strategi penting dakwah berkesan adalah didedahkan sejak usia muda.

Berbekalkan gula-gula dan makanan ringan, itulah kaedah yang dilakukan oleh Haazeq Irfaan Mohd. Ghazali, 8, untuk menarik minat penduduk tempatan dalam kalangan kanak-kanak ketika mengikuti misi dakwah.

Berbeza dengan rakan seusia lain, ternyata umur bukan halangan bagi anak pertama daripada tiga adik beradik itu untuk menggalas tanggungjawab menyebarkan Islam kepada masyarakat pada usia kanak-kanak.

Haazeq yang dianugerahkan sebagai Pendakwah Muda (kanak-kanak) Antarabangsa 2019 mula berdakwah sejak usia lima tahun dengan mengikuti ibu dan bapanya memasuki kampung Orang Asli dan pedalaman tanah air.

“Bila masuk kampung, Haazeq akan berikan gula-gula dan makanan ringan atau apa sahaja bekalan yang dibawa kepada rakan-rakan di sana. Sambil itu, Haazeq bertanya kepada mereka tentang ketuhanan, seperti ‘siapa yang jadikan pokok ini, siapa yang jadikan kita semua’.

“Kebanyakan mereka semua baik-baik, Hazeeq tidak pernah kena marah. Selain itu, Haazeq boleh ajar rakan-rakan yang telah Muslim baca Surah Fatihah dan lafaz azan,” katanya yang bercita-cita menjadi arkitek.

Beliau berkata, tidak dinafikan awalnya sukar membiasakan diri bergaul dengan orang tidak dikenali apatah lagi masyarakat Orang Asli, tetapi setelah beberapa kali mengikuti misi dakwah akhirnya menjadi terbiasa.

“Seronok ikut berdakwah, Haazeq boleh jalan-jalan, berjumpa ramai kawan dan bermain dengan mereka. Haazeq juga suka tengok orang lain berdakwah dan boleh ikut cara mereka,” ujarnya.