Di pertengahan jalan bertemu dengan kafilah kembara Abu Ubaidah al-Jarrah r.a.

“Aku membawa pesan dan khabar. Wabak telah melanda negeri Syam.”

Terkejut seluruh kafilah bukan kepalang. Sayidina Umar al-Khattab r.a mula bertindak. Sekalian warga bermula dalam kalangan Muhajirin, disusuli kemudiannya oleh golongan Ansar dipanggil untuk berbincang pelan tindakan. Setelah meneliti semua cadangan dan keadaan, Umar lantas membuat keputusan.

“Kita kembali semula ke Madinah! Kembara ini terhenti di sini sahaja.” Mendengarkan hal itu, Abu Ubaidah bertindak menyoal. “Apakah kita mahu lari daripada takdir Allah (di bumi Syam?)”, Jawab Umar, “Kita lari daripada satu takdir Allah menuju ke takdir Allah yang lain.”

Apa pandanganmu jika engkau punyai sekumpulan unta ke dua lembah. Sebahagiannya dibawa ke lembah yang subur dan sebahagian lagi dibawa ke lembah yang kering kontang?

Bukankah kedua-duanya itu dibela di kawasan yang masing-masing mengikut takdir Allah semuanya?

Kemudian datang Abdul Rahman bin Auf r.a mengingatkan tentang sebuah sabda Nabi SAW: “Jika kamu mendengar tentang (wabak) di suatu kawasan, maka janganlah kamu mendatanginya. Jika pula kamu berada di tempat yang telah terkena wabak, jangan pula kamu lari keluar darinya.”

Lantas Umar mengucap kalimah hamdalah (Alhamdulillah) dan berlalu pergi.

MISTERI SEBUAH TAKDIR

Manusia sering kali lelah. Tatkala melihatkan seolah-olah takdir tidak berpihak kepadanya. Apatah lagi jika dilanda ujian dan kesulitan. Justeru, ramai yang menyangka yang bukan-bukan pada Tuhan.

Namun, bukan semua. Ada yang jernih dan cerah hatinya lalu reda dalam pasrah.

Hakikatnya takdir itu punya dua wajah. Satu daripadanya bersifat mubram. Ini yang tidak mampu diusahakan manusia. Contohnya seperti kejadian manusia, rupa fizikal, warna kulit yang semula jadi dilahirkan, bentuk mata dan seumpamanya.

Walaupun ada yang mengubah dek kecanggihan teknologi, namun ia bukan asli dan pasti punya implikasi bila mengubah kejadian sempurna daripada Ilahi.

Kedua, takdir yang bersifat mu’allaq yang mempunyai kaitan dengan ikhtiar dan usaha manusia. Meskipun segalanya tetap berada dalam ketentuan dan urusan Allah, namun manusia boleh berusaha mencari jalan takdir yang terbaik untuk dirinya.

Semua ini memberi faham bahawa Allah berhak melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya dan kemahuan-Nya. Apatah lagi menurut setiap ilmu-Nya yang luas dan hikmah-Nya tidak terbatas.

Inilah yang bakal menjadikan kita lebih waras tatkala berada di posisi dan kedudukan yang pada hemat kita adalah buruk dengan melihat kepada zahirnya, namun mampu mengawasi emosi dan minda menjadi tenang serta jelas.

Kita tidak kecewa, tidak mudah marah kepada Allah, meskipun ada tanpa dapat dinafikan, tetapi boleh dirasionalkan dengan memahami takdir Tuhan.

Dalam Surah al-Nahl ayat 53 Allah berfirman maksudnya: “Segala nikmat yang ada padamu datangnya daripada Allah. Apabila tiba waktu dirimu ditimpa kesengsaraan, maka hanya kepada-Nya kamu memohon pertolongan.”

REDA DENGAN TAKDIR

Ibnu Ataillah al-Sakandari dalam karya agungnya al-Hikam menjelaskan agar ujian terasa lebih ringan, lihatlah kepada yang memberimu ujian iaitu Allah. Itulah Zat yang sentiasa menetapkan takdir bersifat pelbagai ragamnya. Itulah juga Zat yang sentiasa memberikan kepadamu pilihan terbaik.

Ya, senang dikata namun amat payah untuk ditanggung tatkala menimpa diri. Apa yang Allah berikan kepada kita bukan bertujuan mencelakakan diri sendiri. Kita sentiasa kabur dan samar terhadap segala kebaikan yang terhasil daripada kesabaran sebuah ujian.

Memang kerana keterbatasan manusia barangkali. Daripada itu, kita secara psikologi dan emosi akan melihat ujian sebagai pemusnah kebahagiaan.

Abu Talib al-Makki pernah mengatakan bahawa seorang hamba Tuhan itu membenci kemiskinan. Dia benci pada kekurangan, kelemahan dan bahaya. Padahal itulah segala kebaikan baginya pada destinasi akhirat. Mungkin dia sukakan kekayaan, kesihatan dan menjadi terkenal. Namun pada hakikat ilmu Tuhan itu adalah keburukan dan kejelekan buat dirinya.

Dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, daripada Anas bin Malik r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda bahawasanya Allah berfirman: “Ada dalam kalangan hamba Ku yang tidak baik imannya kecuali dengan keadaan kefakiran. Jika Aku kurniakan ke atasnya kemewahan, imannya akan rosak.

“Ada hamba Ku yang tidak molek imannya kecuali diberi kesihatan. Jika Aku jadikannya sakit, maka itu akan memusnahkan imannya.

“Ada pula hamba Ku yang tidak murni imannya kecuali diberikan kesakitan. Jika Aku berikan kesihatan kepadanya dia akan rosak imannya.

“Ada pula hamba Ku yang memohon dibukakan pintu ibadah untuknya namun Aku tutup daripadanya agar tidak dimasuki sifat ujub pada dirinya. Sesungguhnya Aku menjalankan urusan hamba-hamba Ku dengan ilmu dan pengetahuan Ku dengan setiap yang ada dalam hati-hati mereka. Sesungguhnya Aku adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Mendalam Pengetahuannya.”

Nasihat ini paling utama buat diri penulis sendiri. Sedar diri bahawasanya tidak mampu menjamin untuk merasionalkan segala ujian dihadapi. Marilah sama-sama kita berdamai dengan takdir.

Berserah sepenuhnya dalam kehebatan tadbir al-Mudabbir. Mengharap sinar dan harapan. Dalam kesulitan punya kesempatan. Yakini bahawasanya Tuhan tidak sesekali akan membiarkanmu sendirian. Kebahagiaan bukan semestinya ditemui tatkala ia dicari, justeru ciptalah kebahagiaanmu sendiri!