Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Fauzi Asmuni berkata, salah faham berhubung kebebasan beragama dan kesamarataan yang ditafsirkan oleh sebahagian pihak sebagai amalan toleransi dalam negara ini adalah jauh tersasar.

Beliau yang juga Ketua Biro Hubungan Antarabangsa dan Kajian Tamadun di Isma berkata, meskipun orang ramai bebas beragama, namun hak agama Islam yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan harus dipatuhi serta disanjung oleh seluruh lapisan masyarakat.

Katanya, amalan toleransi masih ada batas, jika sesuatu perkara itu boleh menyebabkan tersebarnya kekufuran, maka tiada lagi amalan toleransi dan tidak lagi relevan diguna pakai.

“Kita sebagai umat Islam tidak boleh membenarkan kekufuran atau maksiat berlaku kerana kemungkaran akan menyebabkan rahmat Allah tidak akan bersama kita lagi.

“Sebuah negara dan bangsa akan tenggelam atau musnah akibat kekufuran. Apabila berlaku kerosakan besar di muka bumi, maka tidak ada lagi rahmat Allah kepada kita termasuk mereka yang bukan beragama Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, batas yang ditetapkan dalam Islam itu sendiri adalah rahmat kerana berjaya mengelak manusia daripada hancur akibat perbuatan mereka sendiri.

Jelasnya, apabila rahmat Allah hilang atau ditarik balik, kesan buruk yang besar boleh menimpa manusia dan seluruh alam kerana perbuatan maksiat yang berleluasa tanpa sebarang batasan.

Sebagai contoh katanya, sekiranya amalan rasuah berleluasa dan tidak boleh dibendung, pastinya satu-satu bangsa serta negara itu boleh musnah akibat amalan buruk yang menular dalam masyarakat.

“Begitu juga dengan maksiat lain, sekiranya sebelum ini dilakukan secara tersorok, tetapi kini telah dihebahkan dan diisytiharkan kepada seluruh masyarakat atas sebab mahu kesaksamaan. Maka wajib kita sebagai umat Islam untuk menentang serta mencegah daripada terus menular kerana bimbang rahmat Allah akan hilang di muka bumi ini.

“Namun jika sesuatu maksiat itu dilakukan secara tersorok dan kita sendiri tidak mengetahuinya, maka itu adalah perkara peribadi si pendosa dengan Allah. Dia masih boleh bertaubat dan memohon ampun kepada Allah atas kesalahan dilakukan,” katanya.

Tambahnya, mengenakan hukuman terhadap pesalah juga satu rahmat kerana tindakan tersebut akan mengelakkan si pelaku daripada meneruskan atau mengulangi kesalahannya pada masa hadapan. itu juga bagi memastikan masyarakat berasa aman kerana adanya pembalasan terhadap pesalah.

Menurutnya, selain berjaya menyekat dan mengurangkan maksiat daripada terus berleluasa, pesalah juga dihukum setimpal dengan kesalahannya manakala orang ramai mendapat hak masing-masing.

Sehubungan dengan pelaksanaan hukum Islam katanya, sesebuah negara berupaya membentuk sebuah persekitaran dengan sistem kenegaraan Islam yang adil dan memberi kesaksamaan kepada semua termasuk bukan beragama Islam.