Pada tahun ini, dengan wajah dan landskap politik berbeza, Belanjawan 2019 bakal memugar perancangan para pemimpin negara dalam meneruskan pentadbiran dan pemerintahan seluruh warga Malaysia terutama dari aspek pertumbuhan ekonomi, peluang perniagaan, penawaran pekerjaan dan peruntukan perbelanjaan.

Ada kakitangan awam yang menanti bonus, peniaga yang menunggu projek dan kontrak, pelabur yang menunggu peluang, kementerian yang menilik belanja, begitu jua setiap insan menanti apakah habuan buat dirinya. Yang menyokong mengharap gembira, yang membangkang menuntut haknya.

BAJET SEJAK AZALI

Namun, segalanya ini adalah rencana manusia. Secara tidak sedar, kehidupan kita telah direncanakan segala ‘bajetnya’ sejak azali lagi. Bahkan daripada satu kerajaan yang takkan pernah goyah kedudukannya apatah lagi akan hilang daulatnya. Saban hari, tahun dan masa ada sahaja kurniaan, bantuan, rezeki dan habuan mendatang.

Meskipun kita terdiri daripada kalangan yang ‘menyokong’ manifesto-Nya mahupun yang terus ego ‘membangkang’ segala arahan-Nya. Setiap satu pasti akan sampai ‘peruntukan’. Meskipun berbeza nilai, antara nikmat atau istidraj. Namun, tetap dijanjikan bahagiannya buat makhluk bernama manusia.

Inilah kehebatan sebuah bajet yang datang daripada Tuhan. Segalanya diatur, ditulis dan ditentukan. Namun apakah manusia punya kesedaran. Yang dalam pemberian itu punya hak untuk Tuhan. Belanja harian yang disusun dan digunakan. Adakah terselit padanya sekelumit bahagian? Bajet kita untuk Tuhan?

Allah menyebut perangai manusia dengan jelas. Interaksi psikologi dalam mendepani nikmat dan kesenangan.

Firman Allah dalam Surah al-Fajr ayat 15-20: “Dalam pada itu, manusia tidak menghiraukan balasan akhirat, oleh demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”

“Sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”

“Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang dia berhak menerimanya);

“Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya), serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!”

MANUSIA MUDAH LUPA

Senarai panjang ayat itu menjelaskan interaksi manusiawi:

  • Membuktikan yang nikmat Tuhan itu sentiasa sahaja didustakan. Apa yang diminta sebagai ujian ketaatan sering kali menemui kegagalan.
  • Bila dikurniakan nikmat terasa mulia. Namun bila disekat dituduh Allah menghina dirinya.
  • Sedangkan belanja hidupnya tidak pernah terarah untuk memenuhi keperluan Tuhannya.
  • Tiada anak yatim disantuni, tiada si miskin diajak berkongsi. Harta kemewahan diperlaku semahunya, dibolot untuk kesenangan dan kepuasan diri sendiri sahaja.

Sentiasa sahaja tatkala diminta untuk diinfaqkan harta, pertanyaan yang ditanya pastinya berjela.

Ke mana ia bakal dibelanjakan? Apakah digunakan sebaiknya? Begitu begini bagaimana dan mengapa? Sedangkan dalam belanja hidupnya ada yang tidak pernah dipedulikan.

Sebelah mata pun tidak langsung diperhati. Dihabiskan dan dibelanja tanpa audit mahupun pernah diadili. Apakah perlu atau itu hanyalah semata-mata perbelanjaan yang tidak membawa erti.

Namun bila diminta memberi demi Ilahi. Segala aspek mula diperhati. Mata terbuka mengira setiap sen yang bakal dibelanjai. Katanya memetik pujangga ekonomi. ‘Every dollars and cents must make sense’, setiap yang dibelanja perlu kewajarannya padahal ia adalah peruntukan demi menggembirakan Tuhan.

HATI YANG LIAR

Sungguh! Betapa manusia ini berhati liar. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya hati-hati bani Adam seluruhnya berada di antara dua jemari al-Rahman, laksana hati yang satu. Dia membolak-balikkan hati tersebut mengikut kehendak-Nya.” Kemudian Rasulullah SAW berdoa : “Ya Allah! Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku untuk mentaati-Mu,” - Riwayat Muslim.

Mengapa liar?

  • Meskipun hati manusia sudah berada dalam genggaman Allah masih lagi cintanya melirik kepada dunia dan kemewahannya.
  • Meskipun sudah hati itu berada dalam pemilikan Allah, masih lagi liarnya memandang selain Allah sebagai matlamatnya.
  • Sungguhpun hati itu telah tetap dalam perhatian Allah, namun perhatiannya meliar menagih perhatian makhluk ciptaan Allah.

Sewajarnya manusia lebih akrab kepada Allah. Kerana Dia yang mengurniakan segalanya. Namun, sukar sekali kita menemukan kesempatan dalam hidup untuk kembali mendekati Allah. Jika adapun ruang, peluang itu terasa sangat murah dengan kita mempersianya.

Lantas, keberkatan mula merajuk. Ketenangan semakin menjauh dan memisahkan jurang dengan kehidupan. Kita menduakan cinta Allah SWT!

Kembalilah semula menyulam mesra. Hidup yang tiada perhatian diberikan kepada Allah, menjadikan kita keseorangan. Perkara paling parah dalam hidup insan adalah ketika Allah membiarkannya sendirian. Sendirian tanpa panduan Tuhan ibarat si buta kehilangan tongkat buat berjalan.

Wahai Allah Yang Maha Hidup lagi Maha Abadi, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Perbaikilah segala urusan hidupku seluruhnya. Janganlah sesekali Engkau membiarkan diriku sendirian meskipun hanya sekadar sekelip mata.