Walaupun bantuan mencurah-curah datang daripada pelbagai sudut dan kehidupan penduduk di situ kembali normal, namun masih ada pihak yang perlu diberikan perhatian.

Atas dasar itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) dengan kerjasama Universitas Syiah Kuala, (Unsyiah) Aceh turun padang untuk bersama-sama menyelami dan membantu waris serta mangsa tsunami.

Mereka menyampaikan sumbangan dan berkongsi kepakaran di Rumah Kebajikan Dayah Nurul Huda di pinggir bandar Aceh seperti memasang lampu solar, pam air, mengecat bangunan serta memasang penapis air.

Keadaan rumah kebajikan yang agak uzur itu menempatkan 230 anak yatim di atas tanah keluasan 3,500 meter persegi.

Pengetua rumah kebajikan berkenaan, Tgk. Darman M. Daud, 45, berkata, rumah kebajikan itu semakin sesak sejak kejadian tsunami tersebut jika dibandingkan pada awal penubuhannya pada 2001 iaitu dengan hanya mempunyai 50 penghuni sahaja.

‘’Apa yang kami lakukan ini bukan untuk tujuan peribadi tetapi bagi menyelamatkan manusia. Semoga mereka menjadi anak berguna masa hadapan,’’ katanya ketika ditemui semasa misi kemanusiaan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Penasihat Matahari, Datin Fazia Ali berkata, selain bantuan kewangan pihaknya turut memasang alat penapis dan pam air bagi memastikan bekalan air yang disalurkan sentiasa terjamin kebersihannya.

‘’Mereka sangat berterima kasih sehingga mengalirkan air mata. Kami akan bekerja lebih keras agar terus bersemangat untuk mengutip dana bagi membela nasib mereka,’’ katanya.

Tambah Fazia, Aceh merupakan lokasi kedua misi kemanusiaan UMP yang dilaksanakan di luar negara selepas Kemboja.

Realitinya, meskipun banyak bantuan dari seluruh dunia disalurkan, namun masih banyak kemudahan asas belum disediakan dengan sempurna

Seramai enam mahasiswa UMP, 10 mahasiswa Unsyiah, 15 ahli Matahari dan 11 wakil media turut serta dalam Misi Kemanusiaan UMP selama empat hari berkenaan.

Dalam misi itu, selain menceriakan mereka dengan aktiviti mewarna dan bantuan, UMP turut mendedahkan kepentingan menguasai Bahasa Inggeris dengan mengadakan kelas dan bengkel singkat.