Trend tersebut begitu berbeza dengan situasi puluhan tahun dahulu yang menyaksikan anak-anak agak takut untuk dikhatankan. Anak-anak masa kini sebaliknya dilihat begitu berani menempuh ‘detik penting’ dalam kehidupan mereka sebagai seorang anak jantan.

Lebih mengujakan, pada usia yang begitu muda iaitu sekitar lima dan enam tahun, anak-anak sudah bersedia untuk berkhatan tanpa perasaan takut pada raut wajah mereka.

Antaranya, meskipun baru berusia enam tahun, Muhammad Hadif Hanafee Mohd. Hafis kelihatan tenang keluar dari bilik berkhatan Megaklinik Zahran, Bandar Baru Bangi baru-baru ini sambil mengangkat sedikit kain pelekat yang dipakai agar tidak terkena pada luka.

Segak dengan tengkolok kecil yang dipakai sebagai hadiah istimewa daripada pihak pengurusan Megaklinik Zahran, Muhammad Hadif langsung tidak menunjukkan riak wajah muram atau dalam kesakitan.

Sebaliknya, anak kecil itu menyatakan bahawa dia hanya berasa geli semasa dikhatankan dan tidak berasa sakit semasa diberi suntikan penahan sakit.

“Muhammad Hadif merupakan peserta kesembilan yang berkhatan secara beramai-ramai pada hari ini sempena Program Sunathon Amal 3 yang dijalankan di Megaklinik Zahran.

“Sebagai ayah, saya melihat sendiri bagaimana Muhammad Hadif begitu bersemangat untuk berkhatan, malah anak saya ini seakan tidak sabar untuk dikhatankan apabila menyatakan cuti sekolah sudah bermula, bila boleh Muhammad Hadif akan bersunat,” kata bapa kanak-kanak itu ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia baru-baru ini.

Muhammad Hadif merupakan seorang daripada 89 peserta yang terlibat dalam program itu. Sebahagian besar perbelanjaan berkhatan ditaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mazwan Johar.

Menerusi tajaan tersebut, setiap peserta hanya dikenakan bayaran RM30 dan mendapat khidmat berkhatan daripada pegawai perubatan pakar Megaklinik Zahran.

Bagi pasangan kembar Amzar Zafwan dan Amzari Zafwan yang berusia tujuh tahun, kedua-duanya begitu teruja untuk berkhatan, malah tidak sabar mahu menempuhi fasa baharu sebagai seorang lelaki.

Ayah mereka, Mat Redwan Hamili berkata, si adik iaitu Amzari yang selalu bertanyakan bila mereka berdua akan dikhatankan, seakan tiada langsung perasaan takut untuk berkhatan.

“Si adik memang aktif. Pada hari hendak dikhatankan, dia bangun awal dan sudah tidak sabar hendak berkhatan manakala abang kembarnya sekadar mengikut semangat si adik yang sudah tidak sabar untuk disunatkan,” kata Mat Redwan mengenai semangat dua anak kembarnya itu.