Bagi penceramah terkenal Indonesia, Ali Saleh Mohammed Ali Jaber atau lebih dikenali sebagai Ali Jaber, anak-anak masih berkesempatan untuk berbakti dan membuat kebaikan terhadap ibu bapa meskipun mereka sudah tiada.

Menurut pendakwah kelahiran Madinah itu, ia adalah dengan mengeluarkan sedekah yang dilakukan atas nama ibu bapa tidak kira di mana sahaja terutama di kawasan yang boleh memberi manfaat sejagat.

Ali Saleh Mohammed Ali Jaber
ALI SALEH MOHAMMED ALI JABER 

Sedekah itu tambahnya, tidak semestinya pada jumlah yang besar, sebaliknya pada kadar sedikit juga boleh asalkan ikhlas.

“Saat anda bersedekah, hatta walau sebungkus nasi untuk orang miskin atau walau sekadar sebuah santunan sederhana untuk anak-anak yatim, ia sudah cukup terbaik untuk dilaksanakan. Atau kita juga boleh melakukan sedekah atas nama ibu bapa ketika saat mahu melaksanakan solat Jumaat dengan meletakkan sedikit sedekah dalam tabung di masjid.

“Jangan lupa pada saat anda menggerakkan sedekah tersebut, berniatlah agar pahala sedekah itu diberikan kepada orang tua kita. Ya Allah, aku mohon pahala sedekah ini untuk kedua orang tuaku. Untuk ibuku, untuk ayahku,” jelasnya.

Ali Jaber berkata, bersedekah atas nama ibu bapa menjanjikan manfaat yang luar biasa. Malaikat akan mencatat segala amalan baik tersebut dan sampai cahaya yang begitu indah serta luar biasa dahsyatnya buat kedua orang tua si pemberi sedekah.

Saat ketika kedua ibu bapa menerima cahaya itu, mereka bertanya: “Ini apa dan dari mana?”. Ketika itu malaikat berkata, ini adalah sedekah daripada anakmu yang berada di dunia. Dari situlah mereka mula tersenyum dan di situlah juga Allah SWT mengangkat amalan baik tersebut.

Tambahnya, jika arwah kedua ibu bapa berada dalam keadaan susah di alam kubur, Allah SWT akan mengangkat amalan sedekah yang diberikan atas nama ibu bapa itu bagi digantikan dengan rahmat.

DR. KHALID BASALAMAH
DR. KHALID BASALAMAH 

Malah Allah juga akan mengangkat dan menjadikan tempat yang gelap dalam kubur menjadi tempat yang makmur dengan cahaya berkat daripada amalan sedekah seumpama itu.

“Oleh kerana itu, setiap anda diminta untuk memperbanyakkan amalan sedekah dan saya mengusulkan untuk jangan lupa sedekahkan amalan baik itu kepada orang tua kita,” katanya.

PUNCA KEKAYAAN

Sementara itu, bagi penceramah terkenal di Indonesia, Dr. Khalid Basalamah dalam satu ceramah menjelaskan, amalan infaq dan sedekah harus diperbanyakkan dalam masyarakat Islam pada masa ini, bukan hanya menyimpan segala harta yang dimiliki dalam tabung.

Jelasnya, umat Islam pada masa ini seharusnya mengubah pemikiran dan tanggapan yang dibawa oleh golongan kapitalis mengatakan bahawa kaedah serta amalan menabung merupakan ‘pangkal’ kekayaan.

Sebaliknya, amalan bersedekahlah punca kekayaan buat umat Islam yang mengamalkan amalan baik tersebut, biarpun secara zahirnya menabung dan bersedekah itu sangat berbeza kaedahnya dalam mencipta kekayaan.

Tegasnya, amalan sedekah sememangnya menyaksikan umat Islam ‘terpaksa’ mengeluarkan harta masing-masing, manakala menabung menyaksikan harta disimpan.

Namun dalam ajaran Islam katanya, semakin banyak seseorang itu bersedekah dan mengeluarkan harta di jalan Allah, semakin terbuka segala pintu rezeki buat si pemberi sedekah tersebut.

“Semakin sempurna atau semakin baik harta yang disedekahkan pada jalan Allah, maka makin sempurna dan lebih baik ganjaran rezeki yang Allah berikan kepadanya.

“Dikisahkan seorang ulama Urwah bin Zubair dan bapanya, Zubair bin Awwam yang merupakan antara 10 sahabat Nabi dijamin masuk syurga pernah berkata, ‘janganlah seseorang antara kalian memberikan untuk Allah iaitu membelanjakan di jalan-Nya menerusi sedekah dengan apa yang dia sendiri malu untuk diberikan kepada pemimpin sesuatu kaum lain,” ujarnya

Justeru tambahnya, berbakti kepada orang tua juga termasuk membelanjakan harta di jalan Allah dan merupakan amalan sangat dituntut yang memperoleh ganjaran besar daripada Allah.

“Seharusnya, pemberian diberikan kepada kedua ibu bapa adalah jauh lebih baik daripada pemberian yang mahu dihadiahkan kepada seseorang pemimpin besar,” tegasnya.