Pada awalnya, dia hanya memiliki tudung bawal ringkas sahaja sehinggalah jatuh cinta dengan produk Bawal Exclusive (BE). Kegilaannya memiliki BE mendorong dirinya membuka butik lalu diangkat sebagai penjual premium BE.

Kini, Datin Hamizan Puteh hanya menjual produk BE di butiknya, ByQiss Boutique By Bawal Exclusive. Hamizan menjelaskan, apabila dilantik sebagai penjual premium BE pihaknya tidak boleh menjual barangan lain kecuali jenama tersebut. Boleh dikatakan 99 peratus koleksi tudung BE boleh ditemui di butiknya yang terletak di Kuantan, Pahang.

BE tampil dengan corak eksklusif.
BE tampil dengan corak eksklusif.

Bagi Hamizan, bawal yang berbentuk empat segi mungkin dilihat ringkas, namun gaya pemakainya boleh dipelbagaikan seperti dipusing atau dililit kemas dengan tahap kelabuhan boleh diselaraskan sekali gus mencipta varian gaya termasuk ala turban bergantung kepada cita rasa pengguna.

Pendek kata, cukup dengan sedikit suntikan kreativiti, tudung BE mampu mengubah penampilan selain mudah dibentuk serta diperbuat daripada material berkualiti. Menurutnya, masyarakat menyangka produk BE terlalu mahal sedangkan terdapat varian tudung mampu milik yang dijual pada harga serendah RM57.

Bercerita lanjut, sesuai dengan nilai eksklusif yang diketengahkan, pelanggan turut membuat tempahan khas mengikut peruntukan kewangan masing-masing misalnya sekitar ratusan ringgit sehelai sehinggalah mencecah ribuan ringgit. Malah, Tokoh Usahawan Wanita 2018 peringkat negeri Pahang dan Ikon Usahawan 2018 Pahang itu mendedahkan, tempahan tudung bernilai RM50,000 yang tular baru-baru ini adalah dari butiknya.

Begitupun, tudung tersebut masih dalam proses pembikinan dengan pereka Swarovski di Austria dan telah berhubung dengan pelanggan tersebut yang juga merupakan ahli perniagaan untuk mengetahui lebih lanjut kriteria rekaan didambakan.

“Mengikut rekod peribadi, ByQiss pernah menjual tudung berharga RM3,000 diikuti RM5,000 hingga RM15,700 dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

“Ini membuktikan elemen moden dan nafas baharu yang diberi kepada setiap rekaan tudung bawal dapat memenuhi impian pengguna setara dengan nilai eksklusif yang dibawa,” jelasnya.