Tidak dinafikan pasaran tudung tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dibanjiri dengan rekaan selendang. Ia sedikit sebanyak menenggelamkan populariti tudung sarung yang suatu ketika menduduki carta teratas.

Namun, dua sahabat baik, Marina Ismail, 48, dan Dalila Faisal, 46, tidak terheret dengan trend tersebut.

Sebaliknya, kedua-duanya mempertaruhkan jenama Chentaqaseh sejak 2010.

“Kami tidak terheret dengan trend tersebut, sebaliknya kekal dengan kekuatan sendiri dalam menghasilkan tudung sarung berkualiti sama ada dengan awning atau gaya Syria.

“Kami bermula dan dikenali dengan tudung sarung awning lembut. Memang tidak dinafikan, apabila trend pasaran beralih kepada selendang, kami cuba buat selendang supaya tidak ketinggalan,” kata Marina.

Terus diminati

“Kami dapati kekuatan kami adalah pada tudung sarung. Jadi, kami memutuskan untuk fokus pada tudung tersebut. Kami percaya ia masih relevan dan terus diminati bahkan, kami mempunyai ramai pelanggan setia sejak 2010 sehingga kini,” katanya.

Kedua-duanya berkata bahawa kekuatan yang dimiliki tudung sarung Chentaqaseh menyebabkannya mampu bertahan sehingga hari ini.

“Kemasan pada potongan yang labuh dan jahitan kemas selain pemilihan fabrik berkualiti menjadikan tudung itu terus diminati sehingga kini.

Malah katanya, niat asal dia dan Dalila menghasilkan tudung adalah untuk mendapatkan tudung mudah dipakai dan labuh menutup dada sebagaimana ditetapkan syariat.

“Asalnya kami berdua adalah peminat tudung. Kami sanggup duduk berjam-jam di hadapan komputer untuk melihat koleksi tudung yang dijual dalam talian. Tetapi, masa itu sukar sungguh untuk mencari tudung sarung yang benar-benar labuh menutup dada. Jadi, kami memutuskan untuk menghasilkan sendiri.

“Sebab itu semua tudung Chentaqaseh biarpun yang bersaiz S, tetap labuh melepasi dada. Potongannya juga cantik terutama pada bahagian muka dengan awning yang dipotong hingga ke paras pangkal rahang agar wajah kelihatan lebih runcing.

“Satu lagi rahsia tudung sarung kami adalah jahitan pada bawah dagu yang boleh disesuaikan dengan semua saiz muka. Jahitan boleh dibuka kalau saiz wajah besar atau sebaliknya,” katanya.

Menurut Marina, tudung terletak cantik apabila dipakai kerana selain potongan, mereka juga menggunakan fabrik berkualiti seperti moss crepe, scuba dan cotton lycra yang sejuk serta tidak melekat apabila dipakai.

Untuk lebih eksklusif, kebanyakan corak fabrik adalah rekaan sendiri agar tidak sama dengan jenama lain di pasaran.

“Kami reka corak sama ada bermotif flora, abstrak, geometri dan sebagainya. Ia kemudian ditempah pada pengilang fabrik,” katanya.

Sementara itu, Dalila berkata, satu lagi kekuatan Chentaqaseh adalah pada jahitan yang kemas kerana mereka sangat teliti dan cerewet memilih tukang jahit.

Tidak mempunyai bengkel jahitan sendiri, mereka hanya mengupah tukang jahit yang hasilnya betul-betul terbaik.

“Walaupun kami bayar sedikit mahal berbanding tukang jahit lain, kami tidak kisah kerana yang penting jahitannya berkualiti dan pelanggan puas hati.

“Walaupun kami beli fabrik di luar negara, semua kerja-kerja menjahit dilakukan di sini supaya kami dapat mengawal kualiti jahitan,” katanya yang mengakui jarang menerima aduan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati.

Bertanya rahsia terus kekal dalam industri dan berdepan dengan saingan di pasaran, Marina berkata, mereka berusaha untuk orang sentiasa ‘nampak’ Chentaqaseh dan setiap hari membuat strategi pemasaran dalam media sosial.

Tingkatkan jualan

“Kami ada lebih 250,000 pengikut Facebook dan Instgram. Jadi, hari-hari kami akan update dalam media sosial tentang jenama kami. Supaya pelanggan tidak jemu, setiap bulan kami akan pastikan paling kurang pun ada satu koleksi atau rekaan baharu.

“Dengan cara ini kami dapat membantu lebih 60 ejen dan 100 dropship kami di seluruh negara meningkatkan jualan. Ini termasuk ejen kami di Brunei, Singapura, Pakistan dan Filipina selain di tujuh butik vendor,” katanya yang berharap pada 2019 dia dapat membimbing lebih ramai wanita menambah pendapatan sebagai wakil jualan produknya.

Antara koleksi Chentaqaseh yang mendapat perhatian adalah Nuraa iaitu tudung corak dengan awning kosong; Nidaa, tudung awning corak eksklusif; Arlaa, tudung awning kosong; Adnee, tudung Syria kosong; dan Adraa, tudung Syria corak.

“Harga tudung juga mampu milik bermula daripada RM45 hingga RM59 kecuali pada musim perayaan apabila kami tampil dengan tudung sarung yang ditambah hiasan seperti batu swarovski dan sebagainya. Itu pun tidak melebihi RM90 sehelai,” katanya.

Bagi yang ingin melihat koleksi Chentaqaseh boleh melayari laman sesawang www.chentaqaseh atau Facebook, ChentaQasehCQ.