Bukan sahaja cantik malah kualiti tetap diberi keutamaan, maka tidak hairanlah koleksi kasut Lania rekaan Nurfarah Izzati Che Lamin, 25, menjadi pilihan golongan tersebut.

Terdapat lebih 10 rekaan kasut leper Lania yang unik dan berbeza daripada rekaan kasut yang terdapat dalam pasaran sekarang.

Antaranya Lady Kayla yang mempunyai motif anyaman, Miss Zetty, Zara Flat, Lady Suri, Lady Petra, Miss Lily, Calyna, Jasmine, Sakura dan Dahlia.

Menurut Nurfarah, kebanyakan kasut rekaannya menggunakan material faux leather atau campuran kulit yang tahan lasak.

“Kelebihan produk kami ialah harga yang murah dan berkualiti tinggi setanding kasut yang dijual di butik-butik besar,’’ katanya.

Sesuai dengan konsep santai, kasut Lania dida­tangkan dengan warna-warna gelap dengan dua warna bagi setiap rekaan antaranya, brown matte dan merah tua. Warna-warna seperti ini mudah dipadankan dengan semua jenis pakaian.

“Antara yang paling laris dan terpaksa kami tambah stok ialah Zara Flat dan Dahlia manakala kasut rekaan terbaharu sempena Aidilfitri ialah Carla telahpun dilancarkan dan mendapat sambutan sangat menggalakkan,’’ katanya.

Ujar Farah, Lania beroperasi sejak tiga tahun dengan dibantu suaminya, Ridzuan Abu Bakar, 27. Apapun dia sendiri mula berjinak-jinak dengan perniagaan kasut ini sejak usia 18 tahun bersama ibunya, Saniah Musa.

Meskipun Lania beroperasi melalui laman media sosial seperti Instagram dan Facebook namun jualannya mencecah lebih 750 pasang setiap bulan.

“80 peratus pelanggan Lania adalah pelanggan tetap yang akan membeli setiap rekaan kasut yang ada atau rekaan terbaharu kerana yakin dengan kualiti dan keselesaan kasut kami,’’ katanya.

Malah menurut Farah, lazimnya pelanggan baharu Lania tertarik terhadap rekaan unik kasut selain mengetahui tentang produk daripada pelanggan tetap Lania.

Produk Lania boleh didapati dengan melayari Instagram @laniaofficial_ dan @laniaofficial.