Warna-warna tersebut diangkat pereka fesyen kelahiran Indonesia, Diana Rikasari, untuk koleksi terbaharu jenama fesyen kegilaan remaja, Schmiley Mo.

Sering menjadikan objek di sekeliling sebagai inspirasi, kali ini dia mengambil ilham daripada keindahan warna-warni Acai Bowl, yang merupakan jenama sarapan sihat terbaharu menggabungkan superfood dari Brazil.

Menurut Diana, koleksi yang dihasilkan lazimnya diilhamkan daripada apa sahaja yang digemari, namun diberi nafas ‘bersahaja’ di atas kain bagi memberi sedikit kelainan.

Menjadi antara menu kegemaran ketika sarapan, kata Diana, Acai Bowl bukan sahaja cantik dipandang, malah sedap serta sihat dimakan yang menjadikan fokus objek itu amat bertepatan dalam menjalin gabung ilham bagi koleksi yang diberi nama Eat Your Breakfast.

“Lihat sahaja warna-warna yang ada di dalam Acai Bowl itu. Warna sangat cantik dan pelbagai, malah susun aturnya kemas dan berseni seperti sebuah karya.

“Warna dan suasana begini sudah pasti memberikan mood yang ceria dan gembira pada awal pagi yang sangat penting sebagai permulaan hari yang panjang,” katanya.

Koleksi Eat Your Breakfast kali ini menampilkan rekaan kemeja-T, jumper, baju panas, skirt tutu serta cullote dengan potongan longgar yang memberi keselesaan buat pemakai.

Uniknya, koleksi itu mencipta elemen rekaan seperti bentuk hati daripada buah strawberi, bintik hitam daripada chia seed, cetakan motif timbul seperti garfu, yang merupakan antara elemen mudah dilihat pada meja sarapan.

Selain itu, butiran manik dan labuci turut digunakan mewakili bijian yang terdapat dalam mangkuk acai, seperti yang direka pada skirt balut menggunakan kain tulle, yang mana hujungnya diberi perincian bagi memberikan sentuhan feminin.

Palet warna digunakan sesuai digayakan pada musim bunga dan panas memandangkan warnanya tidak terlalu terang dan tropika, namun masih mengekalkan sentuhan penuh keceriaan.

Bukan Diana jika koleksi dihasilkan tidak unik dan penuh dengan elemen kejutan. Jika ada yang mengatakan menyarungkan baju dan seluar bercetak sama seperti gaya pijama, Diana pula sebaliknya.

“Sesetengah orang berpendapat memadankan baju dan seluar dengan cetakan yang sama akan membuatkan gaya kelihatan seperti memakai baju tidur dan sedikit selekeh.

“Namun, bagi saya gaya begitu adalah cool, namun kita perlu bijak menyuai padan untuk nampak bergaya. Misalnya, memadankan dengan kasut tumit tinggi yang cantik atau aksesori lain,” ujarnya.

Bagi yang kurang menggemari cetakan bermotif, koleksi itu juga mengeluarkan rekaan asas dan polos dengan sedikit elemen statement daripada Schmiley Mo, seperti warna-warna ceria, emoticon Smiley serta motif-motif cetak yang timbul.