Bukan sahaja golongan berusia, batik ketika ini menjadi antara rekaan yang diminati golongan muda yang mahu tampil eksklusif serta elegan dengan potongan-potongan moden seperti peplum, cardigan, blaus, palazo serta jaket.

Mahu menepati keinginan penggemar batik, jenama batik dari Kelantan, Matase Sutera tampil mengangkat seni indah batik dalam spektrum yang lebih moden dan segar.

Menampilkan konsep practicality, iaitu kesesuaian pakaian batik kepada acara-acara tertentu, jenama tersebut mengetengahkan rekaan moden seperti baju mini kurung, blaus, baju kurung tradisional, kebaya, kurung Pahang, kurung Riau dan juga kurung moden.

Menurut pengasasnya, Martinie Elmie, Matase Sutera memfokuskan koleksi busana mengikut trend terkini, yang direka khas bersesuaian dengan kehendak peminat batik, terutama penjawat awam yang perlu memakai pakaian batik setiap Khamis bersempena Hari Batik Malaysia.

Katanya, selain baju wanita, jenama itu menyediakan persalinan batik berpasangan untuk wanita dan lelaki, di samping kemeja formal dan kasual lelaki.

“Jika sebelum ini, kami memilih material sifon kerana lebih nipis dan ringan, namun lama kelamaan, kami merasakan perlu berbalik kepada konsep kesesuaian dan keselesaan.

"Daripada situ kami mula memperkenal material crepe kepada pelanggan dan kekal sehingga ke hari ini.

“Bagi pilihan warna pula, kami lebih cenderung untuk memilih warna pastel, tetapi tetap mengeluarkan warna yang lebih terang untuk memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai,” katanya yang butiknya beroperasi di Wisma Cikgu Hamid, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Gemar memilih motif flora dan abstrak, untuk koleksi terbaharu ditampilkan kain sarung atau skirt batik yang dipadankan dengan potongan baju kurung atau baju kebaya daripada fabrik renda lembut.

Padanan fabrik renda dengan batik menterjemahkan aura moden dan elegan, selain memberikan penampilan yang sangat feminin.

Buat ibu-ibu yang mahukan penampilan sedondon dengan anak perempuan, Matase Sutera turut menawarkan pakej istimewa dengan pakaian sedondon ketika sambutan hari raya.

Memilih potongan moden yang selesa, gaya sedondon ibu dan anak yang ringkas, namun kelihatan sangat anggun menjadikan rekaan jenama tersebut sesuai digayakan ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Selain busana, jenama yang ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu itu turut menawarkan koleksi batik skaf seperti selendang dan tudung empat segi yang juga mendapat permintaan tinggi di Brunei.

Jelas Martinie, jenama tersebut turut bekerjasama dengan Swarovski Malaysia bagi menghasilkan rekaan eksklusif menggunakan perincian kristal, sekali gus mengangkat industri batik pada mata dunia.

“ Koleksi baju kurung kami bermula dari harga RM575 untuk sutera crepe dan RM350 untuk voile kapas. Bagi koleksi yang lebih eksklusif, kami ada menawarkan harga bermula dari RM750 sehingga RM1,000,” katanya.

Bagi yang ingin mendapatkan boleh layari laman www.matasesutera.com.