Tidak perlu bersusah-payah mencari saiz baju yang sesuai di butik atau pusat beli-belah, apa kata singgah sahaja di Zalora Malaysia yang kini menawarkan koleksi raya rekaan beberapa pereka tersohor negara antaranya Datuk Tom Abang Saufi, Syaiful Baharim, Lubna dan Ezzati Amira.

Rata-rata koleksi raya yang dipersembahkan peruncit fesyen dalam talian, Zalora menampilkan gaya moden yang disuntik elemen tradisional dengan rekaan elegan khusus buat wanita yang inginkan gaya sederhana tetapi feminin. Paling utama, koleksi ini memenuhi permintaan saiz setiap wanita.

Tom Abang Saufi dilihat masih mengekalkan identitinya dengan rekaan etnik Borneo melalui warna-warna terang seperti kuning, merah jambu, biru dan ungu serta warna-warna selamat seperti hitam dan coklat.

Pereka itu mempersembahkan rekaan baju kurung Kedah dengan potongan lengan kimono selain gaya kaftan dengan sentuhan fabrik sutera satin yang mencetus kelainan.

Sementara itu, Syaiful Baharim pula menampilkan kurung moden dalam sentuhan fabrik renda dan gaya polos yang ringkas tetapi menyerlahkan sifat-sifat kewanitaan si pemakai.

 

Paling unik, kurung labuh dengan ciri-ciri potongan kurung Pahang ciptaannya tampak berbeza dengan pola leher turtle neck dan perincian poket di bahagian hadapan. Tidak gemar fabrik renda, wanita diberi pilihan untuk memilih kurung moden gaya polos dengan pilihan warna antaranya merah, hijau nilam dan coklat.

Lubna membuat kelainan tahun ini apabila menawarkan pilihan pakaian buat wanita berbadan besar. Koleksinya pelbagai dengan gaya ringkas hingga mewah yang dihiasi kilauan labuci. Tetapi, apa yang penting ia menyerlahkan keremajaan dalam bayangan tradisional.

Sentuhan kebaya dan kurung moden yang dihiasi perincian ropol ditambah warna-warna pastel dan alam yang memikat hati daripada merah, kuning, merah jambu, biru, putih, ungu dan hitam. Tentukan sahaja pilihan anda sama ada yang ringkas mahupun mewah.

Bagi peminat Ezzati Amira, rekaannya menampilkan sentuhan moden dan tradisional yang bersatu cantik dalam koleksi yang direka atas semangat kasih sayang dan cinta kepada keluarga dan wanita.

Tumpuan diberikan kepada sentuhan melekap di tubuh mahupun potongan kembang. Pilihan sama ada menggayakan kurung Kedah yang mempunyai lengan kimono, baju kurung dihiasi perincian lisu di bahagian hadapan, skirt peplum dan keindahan tatahan manik.

Menggunakan fabrik mewah seperti sutera satin dalam warna-warna menawan seperti coklat, hijau gelap, jingga dan merah. Lebih indah, rata-rata koleksinya dihiasi motif bunga, dedaun dan abstrak.